Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Penanti

Leave a Comment

N12: PENANTI : 15,384
1. Mansor Othman (PKR) 6,052 undi
2. Aminah Abdullah (Bebas) 392 undi
3. Nai Khan Ari a/l Nai Keow (Bebas) 494 undi
4. Kamarul Ramizu Idris (Bebas) 56 undi

Jumlah pengundi 7,100

Peratus 46.15 peratus

Undi rosak 106 undi

Majoriti 5,558 undi.

Penyandang: Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) Majoriti: 2,219 undi.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Chelsea Juara Piala FA Benam Everton 2-1

Leave a Comment
Chelsea bangkit selepas ketinggalan saat ke-25 untuk menjuarai Piala FA apabila menundukkan Everton 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley sebentar tadi.

Pemain Perancis, Louis Saha menjaringkan gol paling pantas dalam sejarah perlawanan akhir piala tersebut Everton, tetapi anak-anak buah Guus Hiddink kembali bangkit.

Chelsea berjaya menyamakan kedudukan melalui Didier Drogba pada minit 21 dan Frank Lampard pula mencipta jaringan kemenangan pada minit 72.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Manek Urai: Penamaan 6 Julai, pilihan raya 14 Julai

Leave a Comment
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran.

Beliau berkata, pengundian di kawasan DUN itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos.

''Pilihan raya kecil N41 itu akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu.

''Majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu.

''Jadi mereka tidak mempunyai masalah untuk keluar mengundi dan kita menyasarkan jumlah keluar mengundi boleh mencecah hingga 85 peratus, iaitu peningkatan satu peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli suruhanjaya berkenaan bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus ) dan India (0.23 peratus).

Menurut Abdul Aziz, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Katanya, seramai 350 orang petugas akan terlibat dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu dan mereka akan diberikan taklimat serta latihan yang mencukupi bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya itu berjalan lancar.

Tambah beliau, SPR memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan semua parti politik dan penyokong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah Subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.

''SPR menyeru semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan dan arahan daripada pihak polis," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Maksimum 10 Subjek SPM Mulai Tahun Depan

Leave a Comment
Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Serentak dengan itu, beliau berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

“Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Barca Memang Layak Menang - Ferguson

Leave a Comment
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson enggan memberikan sebarang alasan selepas pasukannya kalah kepada Barcelona sebaliknya berkata kelab Sepanyol itu selayaknya menjadi pemenang pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome awal pagi tadi.

Gergasi Sepanyol, Barca cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas United yang pada awalnya bermula baik namun bergelut mencari prestasi terbaik di sepanjang perlawanan.

``Saya rasa gol pertama telah membunuh kami, kami bermula cemerlang, namun kami agak gementar selepas itu.

``Kami mempunyai banyak masa, kami mempunyai peluang gol terbaik di babak kedua namun ia adalah adil kerana kami kalah kepada pasukan yang lebih baik.

``Selepas jaringan pertama ia amat menyukarkan kami.

``Mereka bertahan agak baik, kami jangkakan kami mampu menembusi pertahanan mereka, namun kami kecewa,’’ katanya kepada ITV.

Pertahanan United cemerlang musim ini namun goyah sejak awal perlawanan dan kerap terdedah yang menjadi punca dua gol dibolosi.

``Memang malang melepaskan jaringan sedemikian apatah lagi pada peringkat seperti ini, sedangkan pertahanan kami cemerlang musim ini.

``Namun kami menentang pasukan yang bagus dan kami patut memberikan mereka pujian. Xavi dan Iniesta menyekat kami di sepanjang perlawanan. Mereka membuatkan kami sukar,’’ kata Ferguson. - REUTERS
Read More

Jerebu Melanda Pulau Pinang

Leave a Comment
Pulau Pinang mengalami jerebu sederhana hari ini dengan jarak penglihatan antara empat hingga enam kilometer.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata setakat pukul 11 pagi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat di stesen Seberang Jaya ialah 68 dengan jarak penglihatan empat kilometer.

“IPU yang dicatat di Perai ialah 53 dengan jarak penglihatan lima kilometer dan Universiti Sains Malaysia 70 dengan jarak penglihatan enam kilometer,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua IPU ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan cuaca dan keadaan jerebu tidak membimbangkan.

Cuaca kering dan tiada hujan sejak kebelakangan ini menjadi penyumbang kepada peningkatan habuk terampai dan berlakunya jerebu, katanya. Tinjauan Bernama mendapati bangunan Komtar dan Pulau Jerejak hanya dapat dilihat samar-samar dari Jambatan Pulau Pinang terutama pada sebelah pagi. — Bernama

Read More

Empat Penjuru Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti

Leave a Comment
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.

Selepas satu jam tempoh bantahan, Pegawai Pengurus pilihan raya Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon akan bertanding pada hari pengundian 31 Mei ini manakala pencalonan seorang lagi calon bebas ditolak.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit di sini, beliau berkata kertas pencalonan ahli perniagaan Mohd Saberi Othman, 49, ditolak berikutan tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebanyak enam bantahan diterima setelah tempoh bantahan ditutup pada kira-kira pukul 11 pagi ini. Bagaimanapun, tiada penjelasan mengenai bentuk bantahan.

- BERNAMA

Read More

Hayati Rukun Negara - Sultan Kedah

Leave a Comment
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru semua lapisan masyarakat terutama golongan pelajar supaya menghayati prinsip Rukun Negara.

Baginda bertitah prinsip itu perlu dihayati demi memupuk semangat patriotik, menghargai nikmat kemerdekaan dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Ia penting kerana semua lapisan masyarakat memainkan peranan penting untuk sama-sama memikul amanah menjaga keamanan serta kestabilan ekonomi dan politik negara demi kelangsungan hidup yang makmur dan berdaulat, titah baginda pada majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud 2009 di sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 200 pelajar cemerlang sekolah Maktab Mahmud menerima sijil penghargaan yang disampaikan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun.

Dua pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Hafizul Amin Sallehuddin dan Nur Syidatul Isma Rosedi yang memperoleh gred Mumtaz dalam peperiksaan itu menerima Anugerah Pelajar Mithali 2009. Anugerah disampaikan baginda Sultan.

Tuanku Abdul Halim turut meminta golongan pendidik, ibu bapa termasuk masyarakat agar melakukan nilai tambah kerana sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan serta tuntutan semasa.

“Beta juga mahu pihak sekolah mengamalkan budaya sekolah cemerlang secara menyeluruh bagi memastikan kecemerlangan yang dikecapi berterusan,” titah baginda.

— BERNAMA

Read More

Jambatan Ketiga Hubungkan Malaysia & Singapura

1 comment
Malaysia telah mencadangkan kepada Singapura bahawa sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke negara pulau itu.

Jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong di sini hari ini.

Najib, yang berada di sini sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari ke republik ini, berkata jambatan baru itu juga akan membantu membangunkan bahagian timur Johor seperti di kawasan di Pengerang, termasuk Desaru, yang masih kurang membangun tetapi mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Beliau berkata jalan penghubung sedia ada seperti Tambak Johor, sudah mempunyai jumlah trafik yang banyak dan telah menjejaskan kelancaran pergerakan orang ramai dan barangan antara kedua-dua negara berjiran.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meneliti cadangan itu daripada segi jangka sederhana dan jangka panjang dan juga bersetuju untuk menjalankan kajian terhadap daya maju jambatan itu, kata Najib dan menurutnya cadangan jambatan baru itu merupakan satu daripada hasil mesyuarat dua hala mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Singapura. - Bernama

Read More

Zambri Kekal Menteri Besar Perak

Leave a Comment
Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Read More

Konsert Search di Terengganu ditunda 29 Mei

Leave a Comment
Konsert Search Di Awan Biru di Kuala Terengganu yang sepatutnya diadakan esok terpaksa ditunda kepada 29 Mei kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut jurucakap penganjur konsert itu, Art-Is At Work Sdn. Bhd., Aida Husin, konsert di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu tetap akan diadakan pada pukul 8 malam pada tarikh baru itu.

Bagaimanapun, katanya, bagi mereka yang telah membeli tiket untuk esok, boleh menggunakan tiket berkenaan untuk konsert pada 29 Mei. - Utusan

Read More

Real Intai Ribery, MU Tarik Nafas Lega

Leave a Comment
Manchester United bakal berdepan Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu depan dengan hati yang lega kerana hampir pasti mengekalkan Cristiano Ronaldo selepas gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid beralih tumpuan kepada pemain sayap Perancis, Franck Ribery.

Gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich difahamkan terpaksa melepaskan Ribery yang telah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan bekas juara Eropah itu.

Walaupun Real gagal dalam usahanya mendapatkan Ronaldo pada musim panas lalu, namun kelab Sepanyol itu masih tidak berputus asa dan dilaporkan sedia memperbaharui usaha membeli bintang Portugal itu pada hujung musim ini.

Bagaimanapun, dengan Ribery kini menjadi pemburuan terbaru, ditambah pula cubaan untuk mendapatkan pemain sayap Wigan, Antonio Valencia, mereka mungkin membatalkan rancangan untuk membawa keluar Ronaldo dari Old Trafford, sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, penyerang Barcelona, Lionel Messi menyuarakan rasa terkejut dengan kegagalan United mencapai perjanjian dengan rakan senegaranya dari Argentina, Carlos Tevez.

"Saya tidak tahu mengapa Manchester United melepaskan Tevez pergi kerana dia adalah pemain yang cukup berbakat untuk beraksi dalam mana-mana pasukan di dunia,'' kata Messi.

Sehingga kini, United masih gagal mencapai perjanjian dengan wakil Tevez mengenai masa depan penyerang itu, yang sudah bertekad untuk mencari pasukan baru.

Tevez beraksi di United menerusi pinjaman dan berharap untuk mengikat kontrak secara tetap bersama juara baru Liga Perdana England itu sejak berpindah dari West Ham.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, Dimitar Berbatov mengakui, dia dijangkiti 'virus' gemuruh setiap kali menyarung jersi United, sembilan bulan selepas berpindah dari Tottenham dengan rekod perpindahan 30.75 juta pound (RM168.7 juta).

"Saya masih gemuruh tetapi apabila anda bermain dengan kelab terbesar di dunia, kadang kala anda menggigil sebelum turun ke padang.

"Saya tahu apa yang telah saya lakukan sehingga hari ini dan saya tahu saya boleh melakukan yang lebih baik lagi. Kadang kala saya kecewa dengan diri sendiri kerana dalam beberapa perlawanan saya gagal mempamer aksi 100 peratus.

"Tetapi percayalah, saya tidak pernah berasa senang hati setiap kali memberikan persembahan terbaik,'' kata Berbatov. - Agensi

Read More

Werder Bremen vs Shakhtar Donetsk

Leave a Comment
Sejarah akan tercipta buat pemenang Piala UEFA di antara kelab Jerman, Werder Bremen dan Shakhtar Donetsk dari Ukraine di Istanbul awal pagi esok.

Kedua-dua pasukan akan beraksi dalam perlawanan akhir buat pertama kali, dengan Shakhtar cuba untuk menjadi pasukan pertama dari Ukraine menjuarai saingan Eropah sejak kejatuhan Soviet Union.

Werder memburu kejuaraan utama Eropah sejak menjuarai Piala Juara-Juara pada 1992, sementara kedua-dua pasukan yang muncul juara akan tercatat dalam buku rekod sebagai juara Piala UEFA yang terakhir sebelum kejohanan tersebut dilancarkan semula sebagai Liga Europa UEFA pada musim depan.

Pasukan Jerman mara ke perlawanan akhir dengan mengalahkan kelab senegara, Hamburg melalui peraturan jaringan di tempat lawan dan mereka juga menyingkirkan pasukan jiran dalam perlawanan separuh akhir Piala Jerman, sebelum menentang Bayern Leverkusen 30 Mei depan.

Walaupun berjaya mendominasi dalam saingan piala, pasukan Thomas Schaap yang menyingkirkan pasukan pilihan, AC Milan dalam pusingan ke-32, gagal menunjukkan prestasi konsisten di saingan liga.

Juara berganda Jerman itu tidak mampu menunjukkan konsisten walaupun menang dengan lima gol ke atas Bayern Munich, Hoffenheim, Hertha Berlin dan Eitracht Frankfurt tetapi bergelut menentang kelab yang lebih lemah.

Kekalahan 3-1 di tempat sendiri menentang kelab tercorot, Karlsruhe dalam saingan akhir musim Sabtu lalu untuk mengesahkan tempat ke-10 liga sebelum beraksi dalam perlawanan terakhir menentang kelab yang memburu kejuaraan, Wolfsburg minggu depan.

Werder tidak dapat menurunkan pemain utama dalam perlawanan di Stadium Sukru Saracoglu, dengan Diego dan penyerang Portugal, Hugo Almeida digantung manakala pertahanan antarabangsa Jerman, Per Mertesacker pula cedera.

"Kami begitu merasai kehilangan Diego di Istanbul tetapi kami mempunyai pasukan yang besar untuk memenangi piala," kata Schaap.

Rakan senegara Diego, Naldo juga masih menjadi tanda tanya sama ada mampu beraksi, selepas mengalami kecederaan otot ketika bertemu Karlsruhe.

"Jika saya masih belum cergas sepenuhnya saya tidak akan bermain. Namun saya akan cuba pulih dan memberikan permaianan terbaik di barisan pertahanan.

"Ia akan menjadi saat manis dan penting untuk kami menjuarai Piala UEFA. Semua pemain dalam pasukan kami boleh menulis nama mereka dalam buku sejarah kelab ini. Kami mahu meninggalkan tanda di sini," kata pemain pertahanan tengah berusia 26 tahun itu. - AFP

Read More

BN Tidak Bertanding Pilihan Raya Kecil Penanti

2 comments
Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Sumber : Utusan
Read More

Malaysia Boleh Diisytihar Bebas Penularan H1N1 Rabu Ini

Leave a Comment
Malaysia boleh diisytihar bebas daripada penularan virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh dua hari lagi, jika tiada kes baru dilaporkan sehingga Rabu ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata ini berdasarkan tempoh penularan virus itu, iaitu tujuh hari selepas kes pertama dikesan di negara ini, 13 Mei lepas.

“Setakat ini belum ada penularan virus itu di Malaysia. Dua kes yang dikesan datang dari negara yang sama, jadi mereka mungkin dijangkiti virus itu di sana.

“Selepas 20 Mei mungkin kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini, tetapi kita tidak boleh katakan negara bebas dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara. Selain dari dua kes yang disahkan sebelum ini, kes lain didapati negatif.

Dr Ramlee berkata daripada sembilan kes yang disyaki semalam, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Mengenai kes pertama wabak itu yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Dr Ramlee berkata pesakit itu berada dalam keadaan stabil dan ujian x-ray menunjukkan keputusan normal. Keluarganya yang dikuarantin juga berada dalam keadaan sihat.

Bagi kes kedua yang dirawat di Hospital Pulau Pinang, Dr Ramlee berkata pesakit itu tidak lagi demam dan anggota keluarganya juga sihat.

“Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa dia betul-betul bebas daripada virus itu, dia akan dibenar pulang. Biasanya lima enam hari daripada hari beliau mendapatkan rawatan,” katanya apabila ditanya bila kedua-dua pesakit itu akan dibenar pulang.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr Ramlee berkata tujuh lagi yang dapat dikesan kini dikuarantin di rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat. Sebanyak 17 lagi penumpang yang perlu dikesan.

— BERNAMA

Read More

Kementerian Kesihatan jejaki 102 penumpang AK5358 13 Mei

2 comments
Kementerian Kesihatan melalui pejabat-pejabat kesihatan daerahnya akan menjejak 102 penumpang yang menaiki pesawat AK5358 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini ke Pulau Pinang pada pukul 11 pagi, 13 Mei lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, kesemua penumpang pesawat tersebut diminta menghubungi Kementerian Kesihatan melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300.

``Kita perlu menjejak semua penumpang ini kerana pesakit kedua influenza A(H1N1) kedua negara yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang telah menaiki pesawat ini.

``Kami telah menerima semua maklumat penumpang AK5538 dan sedang dalam proses untuk menghubungi mereka,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

- Utusan

Read More

Manchester United Juara Lagi

Leave a Comment
Manchester United menjulang kejuaraan Liga Perdana England buat kali ketiga berturut-turut selepas mencatat keputusan seri 0-0 yang diperlukan dengan Arsenal di Old Trafford, semalam.

United memerlukan hanya satu mata untuk menjulang kejuaraan dan keputusan seri sudah memadai dan menutup peluang pasukan tangga kedua Liverpool, yang ketinggalan tujuh mata ketika masih tinggal dua perlawanan.

Ini bermakna United telah menjulang 11 kejuaraan liga dalam tempoh 17 musim di bawah pengurus Alex Ferguson dan kini menyamai rekod Liverpool muncul juara liga sebanyak 18 kali.

Ferguson telah memenangi 25 trofi kejohanan utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap dapat menambah kepada 26 trofi apabila United berdepan Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome pada 27 Mei ini.

Ketika sentuhan gol skuad Ferguson dikemudi oleh Cristiano Ronaldo dan prestasi terbaik oleh penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga kukuh di bahagian pertahanan dengan penjaga gol Edwin van der Sar yang mencatat rekod bola sepak liga England apabila melalui 1,311 minit perlawanan tanpa melepaskan gol.

United goyah pada April lalu apabila kalah 1-4 di tempat sendiri kepada Liverpool, disusuli 0-2 di Fulham sebelum memulakan rentak kemenangan untuk meninggalkan musuh ketatnya itu.

Begitupun, agak mengejutkan kerana pada perlawanan, semalam skuad Ferguson beraksi di bawah keupayaan terbaik mereka tanpa banyak mengancam kubu Arsenal.

Arsenal tiba di Old Trafford untuk bersaing merebut tempat ketiga liga, dan skuad Arsene Wenger jelas berhajat untuk merosakkan hasrat United menjulang kejuaraan lebih awal dengan mengambil kesempatan daripada aksi gugup United menerusi beberapa percubaan walaupun berkesudahan tanpa jaringan babak pertama.

Robin van Persie, yang tidak dikawal melepaskan peluang terbaik untuk meletakkan pelawat di depan apabila menanduk bola hantaran silang Samir Nasri pada minit ke-13 tinggi melepasi palang walaupun dia sepatutnya mudah menjaringkan gol.

Empat minit kemudian United hampir menggegar gawang, namun tandukan Wayne Rooney hasil bola lintang Michael Carrick hanya sedikit tersasar.

Arsenal meneruskan asakan di kubu United selepas rehat dan pertahanan remaja Kieran Gibbs melakukan percubaan pada minit ke-58 namun terkena bahagian tepi gawang selepas gerakan melibatkan Barcary Sagna dan Andrey Arshavin.

United membalas menerusi Ronaldo, namun jumlah 26 gol yang dijaringkan oleh pemain itu gagal bertambah apabila percubaannya tinggi melepasi palang selepas mendapat hantaran Carlos Tevez.

Ia merupakan gerakan terakhir oleh Tevez. Tidak lama kemudian pemain antarabangsa Argentina itu dikeluarkan dan tindakan mengeluarkan Tevez diejek oleh penyokong United. - Agensi

Read More

2,141 kuota Guru Cemerlang ditambah

Leave a Comment
Kerajaan meluluskan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga bersetuju menwujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Beliau mengumumkan demikian semasa berucap merasmikan majlis Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. - Utusan

Read More

PM minta penumpang MH091 segera periksa kesihatan

Leave a Comment
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua penumpang yang menaiki pesawat penerbangan Malaysia MH091 segera membuat pemeriksaan kesihatan di Jabatan Kesihatan terdekat.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu berikutan setakat ini dua penumpang pesawat tersebut telah disahkan positif influenza A (H1N1). - Utusan

Read More

United Terbayang Dua Trofi

Leave a Comment
Hanya tinggal lima perlawanan yang perlu diharungi Manchester United untuk melengkapkan musim bersejarah mereka.

Dengan Piala Kelab-Kelab Dunia dan Piala Liga sudah dimenangi, United mahukan kemenangan pada final Liga Juara- Juara bertemu Barcelona, 27 Mei ini dan memerlukan tujuh mata daripada baki empat perlawanan liga untuk menjulang trofi Liga Perdana England buat kali ke-18.

Pertemuan setempat menentang Manchester City di Old Trafford malam ini merupakan perlawanan ke-63 dilalui United sepanjang musim ini dan mereka dilihat berada pada prestasi terbaik sele- pas menang lima perlawanan terakhir berturut-turut.

Biarpun memasuki bulan ke-10 pada kempen musim ini, pemain veteran United, Ryan Giggs berpendapat, tahap kekuatan pasukannya masih kekal tinggi sehingga kini.

"Pada ketika ini, kami perlu menempuhi perlawanan penting secara berteru- san dan kami cukup bersedia. Saya harap kami dapat mencapai prestasi terbaik pada perlawanan ini.

"Pengurus kami sudah tahu dia memerlukan sebuah skuad yang besar kerana perlu mengharungi banyak perlawa- nan. Kini dia telah menggunakan pemain yang dia ada," kata Giggs.

Biarpun tanpa Wes Brown yang terpaksa diketepikan musim ini akibat kecederaan kaki, Gary Neville bakal kembali beraksi malam ini bersama beberapa lagi tonggak utama seperti Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Paul Scholes.

Pengurus United, Alex Ferguson turut bersetuju bahawa pasukannya berada pada kemuncak prestasi apabila keadaan memerlukan.

"Pasukan ini mencapai tahap terbaik mereka pada waktu yang tepat. Saya rasa pemain dapat menghidu setiap perlawa- nan penting itu dengan baik sekali.

"Mereka juga dilihat menyukai situasi seperti itu dan mereka berjaya lakukan- nya. Kini kami semakin dekat dengan dua lagi gelaran," kata Ferguson.

Sementara itu, pengurus City, Mark Hughes pula berasakan, ini adalah masa terbaik untuk beliau membuktikan sesuatu terhadap pasukan lamanya itu.

"Kami sudah empat perlawanan tanpa tewas dan akan ke Old Trafford dengan tahap percaya diri dan keyakinan yang tinggi.

"Itulah yang kami ada. Kami akan ber- aksi baik dan menang perlawanan ini. Kami begitu bersedia dan jika ditanya bilakah masa sesuai untuk kami ke Old Trafford, pasti jawapannya sekarang," kata Hughes. - AFP

Read More

Tahanan ISA bebas

Leave a Comment
Kesemua 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang ditahan di Kem Tahanan Kemunting di sini sejak Disember 2007 dibebaskan hari ini.

Dua pemimpin itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, 48, dan K. Vasantha Kumar, 36, dibawa keluar dari kem tersebut menaiki kenderaan polis pada pukul 2.35 petang.

Seorang lagi pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar, 47, yang menaiki kereta persendirian, keluar dari pusat tahanan itu pada pukul 2.55 petang.

Difahamkan, kelewatan membawa keluar Uthayakumar itu berikutan keengganan beliau menandatangani surat pembebasan bersyarat.

Terdahulu, pada pukul 12.40 tengah hari, sekumpulan tahanan dibawa keluar dengan sebuah van Jabatan Imigresen manakala kumpulan kedua menaiki van lain diiringi beberapa kereta polis pukul 1.20 petang.

Mereka terdiri daripada tiga tahanan rakyat Malaysia iaitu Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil dan Admi Pindatun serta tujuh tahanan warga asing.

Dua daripada mereka iaitu Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril ialah warga negara Indonesia manakala Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih merupakan warga negara Filipina.

Mereka merupakan kumpulan kedua selepas 13 tahanan ISA yang turut membabitkan pemimpin Hindraf dibebaskan sejurus Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Pembebasan terbaru itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Sementara itu, kira-kira 50 ahli keluarga dan para penyokong Hindraf kelihatan berkumpul di depan kem tahanan tersebut sejak pukul 11 pagi.

Kesemua mereka bersurai sebaik sahaja ketiga-tiga pemimpin tersebut meninggalkan kem tahanan itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Kasut Tumit Tinggi Bahaya

Leave a Comment
Berkasut tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita kerana selain menjadi sebahagian daripada fesyen, penampilannya akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi.

Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S. M. Mohamed Idris berkata, kasut tumit tinggi direka untuk menolak dada ke depan dan punggung ke belakang sehingga spina dan pinggul terkeluar daripada kedudukan asalnya dan menimbulkan masalah kesihatan bukan sahaja kepada kaki tetapi keseluruhan badan.

Katanya, CAP juga mendapati kasut tumit tinggi jika dipakai terlalu lama boleh menyebabkan kencing tidak lawas, masalah belakang dan tulang pinggul.

''Selain itu ia juga boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, berkasut tumit tinggi selama bertahun-tahun akan menyebabkan tendon Achhilles menjadi pendek hingga menyebabkan sakit tumit.

Tambahnya, memakai kasut tumit tinggi mengubah cara jalan seseorang dengan mengenakan pusat graviti ke atas bebola kaki dan meletakkan tekanan berlebihan sehingga 26 peratus pada lutut iaitu kes biasa osteoprosis.

''Hasil kajian pakar pembedahan ortopedik dari Kolej Perubatan Baylor, Houston, Profesor Madya Dr. John Marymont, seseorang yang memakai kasut bertumit 2.5 inci memberi 50 peratus manakala kasut bertumit 3 inci memberi 76 peratus tekanan pada kaki.

''Masalah lebih menyakitkan berkaitan pemakaian kasut tumit tinggi ialah neuroma iaitu kaki dipaksa masuk ke dalam kasut tumit tinggi yang ketat dan runcing di depan,'' katanya.

Jelasnya, ia kemudian akan menekan saraf dan tisu mula terbentuk di sekitar saraf yang menyebabkan kesakitan sehingga pembedahan mungkin perlu dilakukan untuk memulihkannya.

Kecacatan Haglunds juga, katanya, sering dialami wanita berkasut tumit tinggi yang mana berlaku pembesaran tulang bahagian belakang kaki sehingga kaki bengkak, merah dan menyakitkan.

''Masalah yang biasa berlaku ialah pergelangan kaki terseliuh kerana sukar mengimbang badan kerana memakai kasut tumit tinggi.

''Sehubungan itu CAP menasihati kaum wanita agar berhenti menyeksa tubuh mereka dengan mengelak kasut tumit tinggi yang boleh menyelamatkan diri daripada mengalami pelbagai masalah kesihatan,'' jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Barcelona Belasah Real

Leave a Comment
Gol berganda Thierry Henry dan Lionel Messi memberi Barcelona kemenangan besar 6-2 ke atas juara Real Madrid dalam perlawanan Primera Liga di Bernabeu semalam.

Kemenangan itu bermakna Barca yang memburu gelaran pertama dalam tiga tahun, melebarkan jurang dengan Real di tempat kedua kepada tujuh mata dengan baki empat perlawanan.

Pasukan Pep Guardiola itu akan menjadi juara jika menang perlawanan dengan Villarreal Ahad depan manakala Real kalah kepada pasukan tempat keempat, Valencia, sehari sebelum itu.

Kekalahan semalam menamatkan rekod tanpa kalah Real dalam 18 perlawan liga, 17 kemenangan dan satu seri sejak mereka tewas 2-0 di Barca pada Disember lalu.

Kelab Madrid itu memenangi kejuaraan itu sejak dua tahun lalu. - Reuters
Read More

Lima Anugerah AIM16 Untuk Siti Nurhaliza

Leave a Comment
Datuk Siti Nurhaliza malam tadi merangkul lima anugerah utama pada Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Anugerah yang diraih ialah Susunan Muzik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik.

Penyanyi nombor satu negara itu juga berjaya mengekalkan kejuaraannya seperti tahun sebelumnya menerusi Persembahan Vokal Terbaik (Wanita).

Dengan kemenangan itu juga, Siti Nurhaliza yang tidak dapat hadir malam tadi kerana sedang mengerjakan umrah berjaya mencipta sejarah apabila memenangi gelaran tersebut buat kali kesepuluh sekali gus menghampakan tiga calon lain iaitu Ayu, Dina dan Shila.

Sementara itu, Anugerah Vokal Terbaik (Lelaki) Dalam Lagu pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Aizat yang mengetepikan saingannya iaitu Reshmonu, Bob dan Rithan.

Sumber : Kosmo

Read More

Benzema Ganti Tevez

Leave a Comment
Manchester United sedia menawarkan £30 juta (RM158 juta) bagi mendapatkan penyerang Lyon, Karim Benzema.

Akhbar SunSports melaporkan bahawa pengurus United, Alex Ferguson telah menghantar abangnya, Martin untuk menilai prestasi Benzema di Perancis minggu lalu.

Difahamkan, Ferguson mahu mengambil Benzema bagi menggantikan tempat Carlos Tevez yang dijangka dijual pada penghujung musim ini.

Musim ini, Tevez lebih banyak diletakkan di bangku simpanan selepas kehadiran penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov.

"Saya lebih cenderung untuk meninggalkan United daripada terus kekal di sini," jelas Tevez.

"Ia terlalu sukar untuk menyatakan sama ada saya akan berada di sini tahun depan. Saya tidak tahu."

Sementara itu, dua bintang United, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney berharap Ferguson akan terus mengekalkan khidmat Tevez.

"Dia (Tevez) adalah pemain yang hebat. United perlu mengekalkan pemain terbaik mereka dan Tevez adalah pemain yang terbaik.

"Saya sudah beraksi dengannya selama dua tahun dan kami saling kenal-mengenali antara satu sama lain," katanya.

Rooney pula menambah: "Tevez memberi 100 peratus apabila beraksi dan adalah cukup hebat apabila beraksi bersama pemain sepertinya." - Agensi

Read More

Tomok kini jutawan juarai OIAM3

Leave a Comment
Vokalis kumpulan New Boyz (NB), Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 25, mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi artis lelaki pertama menjuarai rancangan realiti One In A Million musim ketiga (OIAM3) di sini semalam.

Dua musim OIAM terdahulu dimenangi berturut-turut oleh peserta wanita iaitu Suki dan Ayu.

Kemenangan Tomok yang membawa lagu Hanya Kau Yang Mampu nyanyian Aizat (AF5) dan sebuah lagu baru, Rindu Terhenti ciptaan Aubrey dan Tinta S. sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta.

Sememangnya hadiah tersebut telah ditakdirkan menjadi rezeki Tomok walaupun pada awal rancangan dia diumumkan mendapat undian paling rendah dan hampir dikeluarkan.

Bagaimanapun, pada saat-saat akhir dia dimasukkan semula sebagai finalis atas permitaan khidmat pesanan ringkas (SMS) orang ramai.

Kemenangan tersebut membenam impian dua finalis lain iaitu Esther dan Aweera untuk bergelar juara pada pertandingan akhir terbitan 8TV yang berlangsung di Stadium Malawati di sini.

Sumber : Kosmo

Read More

Influenza A H1N1

2 comments
Kementerian Kesihatan mulai sekarang akan merujuk wabak selesema babi sebagai influenza A (H1N1) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap pihak media akan menggunakan istilah baru itu bagi tujuan penyeragaman berbanding istilah selesema babi ketika ini.

"Dengan penyeragaman nama wabak influenza A(H1N1) ini, ia akan memudahkan laporan, berita akan lebih tepat dan tidak akan menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana pihak," katanya selepas mengadakan wawancara di stesen Radio Star FM di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut di sebalik penukaran istilah tersebut melainkan berkata: "Ia adalah istilah yang ditetapkan oleh WHO.''

Tiong Lai berkata, hasil siasatan WHO mendapati penyebaran wabak itu bukan berpunca daripada kandang-kandang babi yang terletak berdekatan desa di Mexico, negara pertama yang mengalami wabak itu.

Sumber : Kosmo

Read More