Barca Memang Layak Menang - Ferguson

Leave a Comment
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson enggan memberikan sebarang alasan selepas pasukannya kalah kepada Barcelona sebaliknya berkata kelab Sepanyol itu selayaknya menjadi pemenang pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome awal pagi tadi.

Gergasi Sepanyol, Barca cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas United yang pada awalnya bermula baik namun bergelut mencari prestasi terbaik di sepanjang perlawanan.

``Saya rasa gol pertama telah membunuh kami, kami bermula cemerlang, namun kami agak gementar selepas itu.

``Kami mempunyai banyak masa, kami mempunyai peluang gol terbaik di babak kedua namun ia adalah adil kerana kami kalah kepada pasukan yang lebih baik.

``Selepas jaringan pertama ia amat menyukarkan kami.

``Mereka bertahan agak baik, kami jangkakan kami mampu menembusi pertahanan mereka, namun kami kecewa,’’ katanya kepada ITV.

Pertahanan United cemerlang musim ini namun goyah sejak awal perlawanan dan kerap terdedah yang menjadi punca dua gol dibolosi.

``Memang malang melepaskan jaringan sedemikian apatah lagi pada peringkat seperti ini, sedangkan pertahanan kami cemerlang musim ini.

``Namun kami menentang pasukan yang bagus dan kami patut memberikan mereka pujian. Xavi dan Iniesta menyekat kami di sepanjang perlawanan. Mereka membuatkan kami sukar,’’ kata Ferguson. - REUTERS
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: