Showing posts with label Medic. Show all posts
Showing posts with label Medic. Show all posts

Wanita Maut Terkena H1N1

Leave a Comment

Wanita Maut Terkena H1N1

Seorang wanita telah meninggal dunia di sebuah hospital di Seremban selepas disahkan telah pun terkena virus selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Wanita yang berusia 27 tahun yang bekerja di Singapura dan menetap di Johor itu pulang bercuti di kampungnya di Seremban sebelum jatuh sakit dan dibawa ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian dan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat H1N1.

Virus itu bagaimanapun tidak menjangkiti orang lain dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik.
Read More

Kembar Siam berjaya dipisah di Hospital Kuala Lumpur

Leave a Comment




Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.

Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut

“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.

“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.

Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.

Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.

“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Sumber : Kosmo
Read More

Derma Darah di Hospital Pulau Pinang Sabtu 14 Januari 2012

Leave a Comment

Orang ramai dijemput untuk menderma darah di Unit Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, Sabtu ini.

Kempen akan bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
Read More

Korban E.coli Meningkat

Leave a Comment
Korban wabak bakteria pembunuh, E.coli terus meningkat dan angka terbaru menunjukkan empat orang maut di Jerman, menjadikan keseluruhan angka kematian kini 47 orang.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Jerman, semua mangsa menghidap bakteri 'enterohaemorrhagic E. coli (EHEC)' adalah berasal dari Jerman kecuali seorang iaitu wanita dari Sweden yang baru balik dari Jerman.
Wabak berkenaan yang dikatakan berpunca dari sayur-sayuran organik di utara Jerman kini menyebabkan 3,800 orang penghidap yang merebak ke 16 negara dengan 850 pesakit dilaporkan serius.

Sumber : Berita Harian
Read More

59 Kes Terbaru H1N1

Leave a Comment
Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif virus Influenza A(H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1. Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko. “Penularan H1N1 bukan saja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai simptom ILI seperti deman, batuk, selsema dan sakit tekak mengelakkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi dan kematian. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my. Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-888-10200 dan 03-888-10300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam. - Bernama
Read More

75 Kes baru H1N1 Dikesan

Leave a Comment
Sejumlah 75 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga pukul 5.30 petang semalam menjadikan jumlah terkumpul kes itu setakat ini ialah sebanyak 13,274.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican bagaimanapun berkata, tiada kematian baru dilaporkan semalam.

Beliau berkata, bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 11 orang dengan lapan daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko.

"Jumlah kes penyakit serupa influenza (ILI) yang masih dirawat di wad di seluruh negara adalah sebanyak 624 kes.

"Daripada jumlah tersebut, 85 kes telah disahkan positif H1N1,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Mohd. Ismail berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, pihaknya menerima enam laporan kejadian kluster ILI dari dua negeri iaitu Selangor dan Melaka. - Bernama
Read More

Kekurangan Doktor Dijangka Diatasi Lima Tahun Lagi

2 comments
Kekurangan 60 peratus doktor di hospital dan klinik-klinik kerajaan di seluruh negara dijangka dapat diatasi dalam tempoh lima tahun apabila lebih ramai siswazah dalam jurusan perubatan mula dikeluarkan universiti tempatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagi mengatasi kekurangan itu, Kementerian Kesihatan melalui strategi jangka pendek menawarkan kepada doktor swasta untuk berkhidmat di hospital dan klinik kerajaan secara kontrak.

"Kekurangan doktor terbabit termasuk doktor pakar itu ketika ini bagaimanapun tidaklah menjejaskan perkhidmatan di hospital atau klinik kerajaan.

"Kerajaan yakin kekurangan tersebut akan dapat diatasi apabila 15 universiti di negara ini yang mengadakan jurusan itu dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 siswazah kedoktoran mulai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital Jerantut, di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan juga sentiasa berusaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan terutama bagi rakyat di kawasan luar bandar dengan membina lebih banyak pusat kesihatan, selain menaik taraf pusat kesihatan sedia ada. – Bernama
Read More

Bekalan Darah Kurang

Leave a Comment
Beberapa hospital kerajaan dan swasta mengalami kekurangan bekalan stok darah akibat pendermaan darah yang tidak begitu memberangsangkan sedangkan permintaannya adalah tinggi.

Hospital Pantai Kuala Lumpur umpamanya hanya mempunyai bekalan stok darah 15 unit pain sehari dan terpaksa meminta bekalan darah dari Pusat Darah Negara sekiranya berlaku kes kecemasan bekalan seperti untuk kegunaan pembedahan dan bersalin.

Pegawai Makmal Transfusi Tabung Darah Hospital Serdang, Ruzaina Ariffin pula berkata, bekalan di hospital itu adalah terhad dan hanya akan meminta stok darah dari Pusat Darah Negara apabila diperlukan.

Pegawai Juruteknologi Makmal Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Noor Azura Ismail berkata, hospital itu memerlukan 1,000 pain darah sebulan tetapi masa ini ia hanya mempunyai 600 pain.

Dalam usaha meningkatkan jumlah kutipan darah, Pusat Darah Negara dengan kerjasama pelbagai pihak akan menjalankan kempen menderma darah di beberapa lokasi dari 18 hingga 24 Januari ini. – Bernama
Read More

Serbia Isytihar H1N1 Sebagai Pandemik

Leave a Comment
Kementerian Kesihatan Serbia semalam mengumumkan wabak selesema babi sebagai pandemik, pengisytiharan yang diharap dapat membantu membendung wabak itu daripada terus merebak di negara Balkan ini.
Pengumuman itu bermakna perhimpunan awam besar boleh diharamkan; sekolah boleh ditutup dan lawatan ke hospital dilarang.
Menurut kementerian tersebut, wabak influenza A (H1N1) baru-baru ini memuncak secara mendadak dengan kes yang disahkan sebanyak 258 serta tujuh kematian iaitu meningkat kira-kira 130 kes dan dua kematian pada awal November lalu. – AP
Read More

Persiapan Menghadapi Gelombang Kedua

Leave a Comment
Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan Influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru agar semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

“Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut. Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini,” katanya. - Bernama

Read More

H1N1 : 69 Kematian

Leave a Comment
Seorang wanita berusia 38 tahun menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mangsa sebelum ini mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas menghidapi demam dan batuk selama dua hari.

Katanya, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'.

"Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan Tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 20 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya selepas taklimat media di sini.

Liow berkata, 1,455 pesakit penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 85 buah hospital, termasuk empat hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 285 pesakit disahkan menghidap H1N1, dengan 39 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kemasukan baru.

"Daripada 39 kes itu, 33 kes membabitkan pesakit yang berisiko iaitu penyakit kronik, obesiti, diabetes, kanak-kanak/bayi, penyakit respiratori kronik, postnatal dan Sindrom Down," katanya. - Bernama

Read More

Tindakan Drastik Kawal H1N1

Leave a Comment
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai esok bagi membincangkan mengenai langkah lebih ketat dan drastik bagi mengawal penularan virus Influenza A (H1N1) di negara ini.

Najib berkata beliau akan mendapatkan pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Mereka (Kementerian Kesihatan) ada task force (pasukan petugas), lepas itu baru kita buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Ampang di sini hari ini.

Perdana Menteri yang bimbang dengan peningkatan kes kematian akibat virus itu setiap hari, berkata tindakan drastik seperti membatalkan sebarang perjumpaan secara terbuka mungkin akan dibuat jika virus ini terus menular dengan cepat.

“Masalahnya kita ini kalau hendak buat sesuatu ia melibatkan tindakan seperti membatalkan perjumpaan secara terbuka, tetapi banyak keperluan untuk diadakan seperti mesyuarat Umno dan parti-parti lain serta kegiatan rakyat.

“Tetapi kalau perlu kita buat sesuatu yang lebih drastik, kita kena buatlah nampaknya, kita tidak boleh biarkan perkara ini,” katanya. - Bernama

Read More

Cuti 100,000 Kakitangan Kesihatan Dibeku

Leave a Comment
Berkuat kuasa serta-merta, Kementerian Kesihatan membekukan cuti kira-kira 100,000 kakitangan kesihatan awamnya yang terlibat secara langsung dalam proses pencegahan penularan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, arahan itu antara lain membabitkan kakitangan makmal, jururawat di hospital, lapangan terbang dan yang menjalankan pemeriksaan kuarantin di rumah.

‘‘Langkah ini bertujuan meningkatkan jumlah kakitangan agar dapat menyertai dan menangani wabak HINI kerana ia semakin merebak.

‘‘Banyak aktiviti perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap wabak ini dan ia perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam Kementerian Kesihatan.

‘‘Mereka dikerah membantu memastikan perjalanan aktiviti menangani wabak H1N1 ini dilaksanakan secara sempurna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta majikan memberikan cuti tanpa rekod kepada pekerja atau kakitangan mereka yang sakit dikhuatiri menghidapi H1N1.

Menurutnya, kelonggaran itu bertujuan menjaga keselamatan masyarakat memandangkan wabak tersebut semakin menular di sekitar Lembah Kelang.

Tiong Lai berkata, beliau akan melaporkan isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri esok sama ada perkara itu boleh dijadikan sebagai satu arahan kepada majikan.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Universiti Malaya Pantau Virus H1NI

Leave a Comment
Universiti Malaya kini memantau penularan virus Influenza A(H1N1) di kampusnya yang menempatkan lebih daripada 27,000 pelajar, termasuk 3,000 pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UM Profesor Ghauth Jasmon berkata universiti itu akan memantau semua pelajar terutama penuntut dari negara berisiko tinggi seperti Amerika Syarikat, Kanada, Filipina, Australia, Mexico, New Zealand, Singapura dan Thailand.

Ia juga mewajibkan semua pelajar semester 1 bagi sesi pengajian tahun 2009/2010 mengisi Borang Deklarasi Kesihatan.

Selain itu, katanya UM turut menubuhkan Jawatankuasa Bertindak H1N1 bagi memantau dan menyediakan pelan tindakan yang berkenaan.

Klinik Kesihatan Pelajar dan Pusat Perubatan Universiti Malaya juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menerima kes H1N1, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Bernama

Read More

H1N1: Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Lawatan ke Negara Terjejas

Leave a Comment
Rakyat Malaysia yang ingin melawat negara yang terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) dinasihat menangguhkan sementara hasrat mereka untuk ke negara terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan dalam usaha kerajaan mengelak wabak itu daripada terus menjangkiti rakyat negara ini.

“Mereka yang ingin melawat ke negara yang terbabit dengan wabak H1N1 hendaklah menangguhkan hasrat itu jika tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai 2009 di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Lama, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi garis panduan khusus kepada rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar supaya menjaga kebersihan dalam mengawal penularan penyakit itu.

Ketika berucap, Rosnah berkata kementeriannya akan mengubah pendekatan dalam memajukan masyarakat warga emas daripada konsep kebajikan kepada pembangunan bagi memastikan mereka terus aktif dan produktif.

Perubahan pendekatan ini termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, bersenam, menangani tekanan dengan bijak dan tidak merokok, katanya. - Bernama

Read More

Penumpang AirAsia X D7 2723 Lapor Diri Segera

Leave a Comment
Kementerian Kesihatan hari ini menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lepas supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penumpang-penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

“Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil,” kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan.

- BERNAMA

Read More

Malaysia Boleh Diisytihar Bebas Penularan H1N1 Rabu Ini

Leave a Comment
Malaysia boleh diisytihar bebas daripada penularan virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh dua hari lagi, jika tiada kes baru dilaporkan sehingga Rabu ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata ini berdasarkan tempoh penularan virus itu, iaitu tujuh hari selepas kes pertama dikesan di negara ini, 13 Mei lepas.

“Setakat ini belum ada penularan virus itu di Malaysia. Dua kes yang dikesan datang dari negara yang sama, jadi mereka mungkin dijangkiti virus itu di sana.

“Selepas 20 Mei mungkin kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini, tetapi kita tidak boleh katakan negara bebas dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara. Selain dari dua kes yang disahkan sebelum ini, kes lain didapati negatif.

Dr Ramlee berkata daripada sembilan kes yang disyaki semalam, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Mengenai kes pertama wabak itu yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Dr Ramlee berkata pesakit itu berada dalam keadaan stabil dan ujian x-ray menunjukkan keputusan normal. Keluarganya yang dikuarantin juga berada dalam keadaan sihat.

Bagi kes kedua yang dirawat di Hospital Pulau Pinang, Dr Ramlee berkata pesakit itu tidak lagi demam dan anggota keluarganya juga sihat.

“Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa dia betul-betul bebas daripada virus itu, dia akan dibenar pulang. Biasanya lima enam hari daripada hari beliau mendapatkan rawatan,” katanya apabila ditanya bila kedua-dua pesakit itu akan dibenar pulang.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr Ramlee berkata tujuh lagi yang dapat dikesan kini dikuarantin di rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat. Sebanyak 17 lagi penumpang yang perlu dikesan.

— BERNAMA

Read More

Kementerian Kesihatan jejaki 102 penumpang AK5358 13 Mei

2 comments
Kementerian Kesihatan melalui pejabat-pejabat kesihatan daerahnya akan menjejak 102 penumpang yang menaiki pesawat AK5358 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini ke Pulau Pinang pada pukul 11 pagi, 13 Mei lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, kesemua penumpang pesawat tersebut diminta menghubungi Kementerian Kesihatan melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300.

``Kita perlu menjejak semua penumpang ini kerana pesakit kedua influenza A(H1N1) kedua negara yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang telah menaiki pesawat ini.

``Kami telah menerima semua maklumat penumpang AK5538 dan sedang dalam proses untuk menghubungi mereka,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

- Utusan

Read More

PM minta penumpang MH091 segera periksa kesihatan

Leave a Comment
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua penumpang yang menaiki pesawat penerbangan Malaysia MH091 segera membuat pemeriksaan kesihatan di Jabatan Kesihatan terdekat.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu berikutan setakat ini dua penumpang pesawat tersebut telah disahkan positif influenza A (H1N1). - Utusan

Read More

Influenza A H1N1

2 comments
Kementerian Kesihatan mulai sekarang akan merujuk wabak selesema babi sebagai influenza A (H1N1) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap pihak media akan menggunakan istilah baru itu bagi tujuan penyeragaman berbanding istilah selesema babi ketika ini.

"Dengan penyeragaman nama wabak influenza A(H1N1) ini, ia akan memudahkan laporan, berita akan lebih tepat dan tidak akan menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana pihak," katanya selepas mengadakan wawancara di stesen Radio Star FM di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut di sebalik penukaran istilah tersebut melainkan berkata: "Ia adalah istilah yang ditetapkan oleh WHO.''

Tiong Lai berkata, hasil siasatan WHO mendapati penyebaran wabak itu bukan berpunca daripada kandang-kandang babi yang terletak berdekatan desa di Mexico, negara pertama yang mengalami wabak itu.

Sumber : Kosmo

Read More