Penumpang AirAsia X D7 2723 Lapor Diri Segera

Leave a Comment
Kementerian Kesihatan hari ini menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lepas supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penumpang-penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

“Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil,” kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan.

- BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: