Malaysia Boleh Diisytihar Bebas Penularan H1N1 Rabu Ini

Leave a Comment
Malaysia boleh diisytihar bebas daripada penularan virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh dua hari lagi, jika tiada kes baru dilaporkan sehingga Rabu ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata ini berdasarkan tempoh penularan virus itu, iaitu tujuh hari selepas kes pertama dikesan di negara ini, 13 Mei lepas.

“Setakat ini belum ada penularan virus itu di Malaysia. Dua kes yang dikesan datang dari negara yang sama, jadi mereka mungkin dijangkiti virus itu di sana.

“Selepas 20 Mei mungkin kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini, tetapi kita tidak boleh katakan negara bebas dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara. Selain dari dua kes yang disahkan sebelum ini, kes lain didapati negatif.

Dr Ramlee berkata daripada sembilan kes yang disyaki semalam, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Mengenai kes pertama wabak itu yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Dr Ramlee berkata pesakit itu berada dalam keadaan stabil dan ujian x-ray menunjukkan keputusan normal. Keluarganya yang dikuarantin juga berada dalam keadaan sihat.

Bagi kes kedua yang dirawat di Hospital Pulau Pinang, Dr Ramlee berkata pesakit itu tidak lagi demam dan anggota keluarganya juga sihat.

“Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa dia betul-betul bebas daripada virus itu, dia akan dibenar pulang. Biasanya lima enam hari daripada hari beliau mendapatkan rawatan,” katanya apabila ditanya bila kedua-dua pesakit itu akan dibenar pulang.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr Ramlee berkata tujuh lagi yang dapat dikesan kini dikuarantin di rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat. Sebanyak 17 lagi penumpang yang perlu dikesan.

— BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: