Tahanan ISA bebas

Leave a Comment
Kesemua 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang ditahan di Kem Tahanan Kemunting di sini sejak Disember 2007 dibebaskan hari ini.

Dua pemimpin itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, 48, dan K. Vasantha Kumar, 36, dibawa keluar dari kem tersebut menaiki kenderaan polis pada pukul 2.35 petang.

Seorang lagi pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar, 47, yang menaiki kereta persendirian, keluar dari pusat tahanan itu pada pukul 2.55 petang.

Difahamkan, kelewatan membawa keluar Uthayakumar itu berikutan keengganan beliau menandatangani surat pembebasan bersyarat.

Terdahulu, pada pukul 12.40 tengah hari, sekumpulan tahanan dibawa keluar dengan sebuah van Jabatan Imigresen manakala kumpulan kedua menaiki van lain diiringi beberapa kereta polis pukul 1.20 petang.

Mereka terdiri daripada tiga tahanan rakyat Malaysia iaitu Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil dan Admi Pindatun serta tujuh tahanan warga asing.

Dua daripada mereka iaitu Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril ialah warga negara Indonesia manakala Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih merupakan warga negara Filipina.

Mereka merupakan kumpulan kedua selepas 13 tahanan ISA yang turut membabitkan pemimpin Hindraf dibebaskan sejurus Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Pembebasan terbaru itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Sementara itu, kira-kira 50 ahli keluarga dan para penyokong Hindraf kelihatan berkumpul di depan kem tahanan tersebut sejak pukul 11 pagi.

Kesemua mereka bersurai sebaik sahaja ketiga-tiga pemimpin tersebut meninggalkan kem tahanan itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: