Manek Urai: Penamaan 6 Julai, pilihan raya 14 Julai

Leave a Comment
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran.

Beliau berkata, pengundian di kawasan DUN itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos.

''Pilihan raya kecil N41 itu akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu.

''Majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu.

''Jadi mereka tidak mempunyai masalah untuk keluar mengundi dan kita menyasarkan jumlah keluar mengundi boleh mencecah hingga 85 peratus, iaitu peningkatan satu peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli suruhanjaya berkenaan bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus ) dan India (0.23 peratus).

Menurut Abdul Aziz, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Katanya, seramai 350 orang petugas akan terlibat dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu dan mereka akan diberikan taklimat serta latihan yang mencukupi bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya itu berjalan lancar.

Tambah beliau, SPR memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan semua parti politik dan penyokong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah Subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.

''SPR menyeru semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan dan arahan daripada pihak polis," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: