Selepas satu jam tempoh bantahan, Pegawai Pengurus pilihan raya Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon akan bertanding pada hari pengundian 31 Mei ini manakala pencalonan seorang lagi calon bebas ditolak.
Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit di sini, beliau berkata kertas pencalonan ahli perniagaan Mohd Saberi Othman, 49, ditolak berikutan tidak menepati syarat ditetapkan.
Sebanyak enam bantahan diterima setelah tempoh bantahan ditutup pada kira-kira pukul 11 pagi ini. Bagaimanapun, tiada penjelasan mengenai bentuk bantahan.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment