Hayati Rukun Negara - Sultan Kedah

Leave a Comment
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru semua lapisan masyarakat terutama golongan pelajar supaya menghayati prinsip Rukun Negara.

Baginda bertitah prinsip itu perlu dihayati demi memupuk semangat patriotik, menghargai nikmat kemerdekaan dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Ia penting kerana semua lapisan masyarakat memainkan peranan penting untuk sama-sama memikul amanah menjaga keamanan serta kestabilan ekonomi dan politik negara demi kelangsungan hidup yang makmur dan berdaulat, titah baginda pada majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud 2009 di sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 200 pelajar cemerlang sekolah Maktab Mahmud menerima sijil penghargaan yang disampaikan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun.

Dua pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Hafizul Amin Sallehuddin dan Nur Syidatul Isma Rosedi yang memperoleh gred Mumtaz dalam peperiksaan itu menerima Anugerah Pelajar Mithali 2009. Anugerah disampaikan baginda Sultan.

Tuanku Abdul Halim turut meminta golongan pendidik, ibu bapa termasuk masyarakat agar melakukan nilai tambah kerana sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan serta tuntutan semasa.

“Beta juga mahu pihak sekolah mengamalkan budaya sekolah cemerlang secara menyeluruh bagi memastikan kecemerlangan yang dikecapi berterusan,” titah baginda.

— BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: