Real Intai Ribery, MU Tarik Nafas Lega

Leave a Comment
Manchester United bakal berdepan Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah minggu depan dengan hati yang lega kerana hampir pasti mengekalkan Cristiano Ronaldo selepas gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid beralih tumpuan kepada pemain sayap Perancis, Franck Ribery.

Gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich difahamkan terpaksa melepaskan Ribery yang telah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan bekas juara Eropah itu.

Walaupun Real gagal dalam usahanya mendapatkan Ronaldo pada musim panas lalu, namun kelab Sepanyol itu masih tidak berputus asa dan dilaporkan sedia memperbaharui usaha membeli bintang Portugal itu pada hujung musim ini.

Bagaimanapun, dengan Ribery kini menjadi pemburuan terbaru, ditambah pula cubaan untuk mendapatkan pemain sayap Wigan, Antonio Valencia, mereka mungkin membatalkan rancangan untuk membawa keluar Ronaldo dari Old Trafford, sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, penyerang Barcelona, Lionel Messi menyuarakan rasa terkejut dengan kegagalan United mencapai perjanjian dengan rakan senegaranya dari Argentina, Carlos Tevez.

"Saya tidak tahu mengapa Manchester United melepaskan Tevez pergi kerana dia adalah pemain yang cukup berbakat untuk beraksi dalam mana-mana pasukan di dunia,'' kata Messi.

Sehingga kini, United masih gagal mencapai perjanjian dengan wakil Tevez mengenai masa depan penyerang itu, yang sudah bertekad untuk mencari pasukan baru.

Tevez beraksi di United menerusi pinjaman dan berharap untuk mengikat kontrak secara tetap bersama juara baru Liga Perdana England itu sejak berpindah dari West Ham.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, Dimitar Berbatov mengakui, dia dijangkiti 'virus' gemuruh setiap kali menyarung jersi United, sembilan bulan selepas berpindah dari Tottenham dengan rekod perpindahan 30.75 juta pound (RM168.7 juta).

"Saya masih gemuruh tetapi apabila anda bermain dengan kelab terbesar di dunia, kadang kala anda menggigil sebelum turun ke padang.

"Saya tahu apa yang telah saya lakukan sehingga hari ini dan saya tahu saya boleh melakukan yang lebih baik lagi. Kadang kala saya kecewa dengan diri sendiri kerana dalam beberapa perlawanan saya gagal mempamer aksi 100 peratus.

"Tetapi percayalah, saya tidak pernah berasa senang hati setiap kali memberikan persembahan terbaik,'' kata Berbatov. - Agensi

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: