Werder Bremen vs Shakhtar Donetsk

Leave a Comment
Sejarah akan tercipta buat pemenang Piala UEFA di antara kelab Jerman, Werder Bremen dan Shakhtar Donetsk dari Ukraine di Istanbul awal pagi esok.

Kedua-dua pasukan akan beraksi dalam perlawanan akhir buat pertama kali, dengan Shakhtar cuba untuk menjadi pasukan pertama dari Ukraine menjuarai saingan Eropah sejak kejatuhan Soviet Union.

Werder memburu kejuaraan utama Eropah sejak menjuarai Piala Juara-Juara pada 1992, sementara kedua-dua pasukan yang muncul juara akan tercatat dalam buku rekod sebagai juara Piala UEFA yang terakhir sebelum kejohanan tersebut dilancarkan semula sebagai Liga Europa UEFA pada musim depan.

Pasukan Jerman mara ke perlawanan akhir dengan mengalahkan kelab senegara, Hamburg melalui peraturan jaringan di tempat lawan dan mereka juga menyingkirkan pasukan jiran dalam perlawanan separuh akhir Piala Jerman, sebelum menentang Bayern Leverkusen 30 Mei depan.

Walaupun berjaya mendominasi dalam saingan piala, pasukan Thomas Schaap yang menyingkirkan pasukan pilihan, AC Milan dalam pusingan ke-32, gagal menunjukkan prestasi konsisten di saingan liga.

Juara berganda Jerman itu tidak mampu menunjukkan konsisten walaupun menang dengan lima gol ke atas Bayern Munich, Hoffenheim, Hertha Berlin dan Eitracht Frankfurt tetapi bergelut menentang kelab yang lebih lemah.

Kekalahan 3-1 di tempat sendiri menentang kelab tercorot, Karlsruhe dalam saingan akhir musim Sabtu lalu untuk mengesahkan tempat ke-10 liga sebelum beraksi dalam perlawanan terakhir menentang kelab yang memburu kejuaraan, Wolfsburg minggu depan.

Werder tidak dapat menurunkan pemain utama dalam perlawanan di Stadium Sukru Saracoglu, dengan Diego dan penyerang Portugal, Hugo Almeida digantung manakala pertahanan antarabangsa Jerman, Per Mertesacker pula cedera.

"Kami begitu merasai kehilangan Diego di Istanbul tetapi kami mempunyai pasukan yang besar untuk memenangi piala," kata Schaap.

Rakan senegara Diego, Naldo juga masih menjadi tanda tanya sama ada mampu beraksi, selepas mengalami kecederaan otot ketika bertemu Karlsruhe.

"Jika saya masih belum cergas sepenuhnya saya tidak akan bermain. Namun saya akan cuba pulih dan memberikan permaianan terbaik di barisan pertahanan.

"Ia akan menjadi saat manis dan penting untuk kami menjuarai Piala UEFA. Semua pemain dalam pasukan kami boleh menulis nama mereka dalam buku sejarah kelab ini. Kami mahu meninggalkan tanda di sini," kata pemain pertahanan tengah berusia 26 tahun itu. - AFP

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: