Raja Puan Muda Perlis dilantik Pro Canselor UniMAP

Leave a Comment
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pertama berkuatkuasa 13 Mac lalu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP, menyampaikan watikah pelantikan itu pada majlis ringkas yang berlangsung di Istana Arau di sini hari ini.

Pelantikan itu akan berkuatkuasa sehingga 12 Dis 2011.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin ketika ditemui selepas majlis itu berkata pelantikan baginda dibuat atas cadangan Senat Universiti dan diperakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Pelantikan itu diperkenan oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP,” katanya.

Kamarudin berkata istiadat pemasyhuran baginda sebagai Pro Canselor pertama akan diadakan pada 15 Ogos ini sempena konvokesyen keempat UniMAP.

Pro Canselor berperanan mewakili Canselor pada istiadat konvokesyen atau menghadiri mana-mana majlis rasmi atas jemputan universiti sekiranya canselor berangkat ke luar negara, katanya.

— BERNAMA

Read More

Raja Pop Michael Jackson

Leave a Comment
Kematian Raja pop, Michael Jackson, diratapi peminat industri hiburan di seluruh dunia yang terkejut dengan pemergian penghibur serba boleh itu.

Jackson, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi waktu Malaysia), selepas jantungnya gagal berfungsi.

Raja Pop itu dilapor tidak sedarkan diri di rumah mewah yang disewanya

di Holmby Hills, di sini, sebelum dikejarkan ke sebuah hospital oleh sepasukan paramedik.

Jurucakap Pejabat Koroner Wilayah Los Angeles, Leftenan Fred Corral berkata, proses bedah siasat ke atas mayat Jackson akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca kematiannya.

Biarpun terkenal kerana keunggulannya dalam legasi muzik sepanjang karier selama empat dekad, kehidupan selebriti itu turut dicemari dengan kelakuan pelik serta skandal seks yang mengaitkannya dengan pencabulan ke atas kanak- kanak.

Beliau menggemparkan dunia pada 2002 apabila dirakam sedang menghayunkan bayi lelakinya yang berusia sembilan bulan di sebuah balkoni hotel di Berlin.

Pada 2003, beliau dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di Belanda, namun pendakwaan itu digugurkan dua tahun kemudian.

Kehidupannya turut dibayangi masalah kewangan pada 2006, membuatkan beliau terpaksa melepaskan hak ke atas rumahnya di ladang ternak Neverland dengan keluasan 1,052 hektar, selain terpaksa memberhentikan kebanyakan pekerjanya selepas bersetuju membayar beribu-ribu dolar bagi mengelakkan tuntutan mahkamah oleh pegawai buruh negeri.

Jackson pernah berkahwin dengan Lisa Marie Presley, anak kepada ikon rock n roll, Elvis Presley pada 1994, namun bercerai pada 1996.

Jodohnya dengan seorang jururawat, Debbie Rowe, 37, juga hanya bertahan hampir tiga tahun apabila mereka bercerai pada Oktober 1999. Bersama Rowe, beliau dikurniakan dua anak lelaki, Prince Michael dan Paris Michael Katherine.

Pada 2001, beliau dikurniakan anak ketiga, Prince Michael II, daripada seorang ibu tumpang.

Kematian Jackson itu berlaku ketika penyanyi itu merancang membuat kemunculan semula dalam satu konsert siri jelajah di London bermula 13 Julai depan, yang juga persembahan pertamanya selepas lebih 10 tahun.

Jackson mencapai kemuncak kariernya pada tahun 1980-an, apabila muncul sebagai penghibur serba boleh, selain menjadi faktor kepada penyatuan masyarakat kulit hitam dan putih, sekali gus memecahkan jurang antara dua kaum itu di MTV.

Album ‘Thriller’ pada tahun 1982 yang memuatkan lagu hit ‘Beat It’, ‘Billie Jean’ dan ‘Thriller’, muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 50 juta salinan di seluruh dunia.

Jackson pernah datang untuk menghiburkan peminat di Malaysia dalam siri jelajah HIStory World Tour di Stadium Merdeka pada 27 Oktober 1996 dan 29 Oktober 1996, yang berjaya mengutip RM1.2 juta hasil jualan tiket.

Konsert yang berlangsung selama dua jam 15 minit itu dibanjiri lebih 80,000 peminatnya dengan dendangan lagu Scream, They Don‘t Care About Us, Wanna Be Starting Something, Stranger In Moscow dan Smooth Criminal dengan gimik berbeza pada setiap lagu.

Walau apapun, Jackson yang mula membuat penampilan di dunia hiburan melalui kumpulan Jackson Five tetap menjadi ikon bukan sahaja dalam dunia muzik tetapi juga dalam menyatukan kulit putih dan kulit hitam melalui ‘muzik’ – Agensi

Read More

Cuti 100,000 Kakitangan Kesihatan Dibeku

Leave a Comment
Berkuat kuasa serta-merta, Kementerian Kesihatan membekukan cuti kira-kira 100,000 kakitangan kesihatan awamnya yang terlibat secara langsung dalam proses pencegahan penularan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, arahan itu antara lain membabitkan kakitangan makmal, jururawat di hospital, lapangan terbang dan yang menjalankan pemeriksaan kuarantin di rumah.

‘‘Langkah ini bertujuan meningkatkan jumlah kakitangan agar dapat menyertai dan menangani wabak HINI kerana ia semakin merebak.

‘‘Banyak aktiviti perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap wabak ini dan ia perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam Kementerian Kesihatan.

‘‘Mereka dikerah membantu memastikan perjalanan aktiviti menangani wabak H1N1 ini dilaksanakan secara sempurna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta majikan memberikan cuti tanpa rekod kepada pekerja atau kakitangan mereka yang sakit dikhuatiri menghidapi H1N1.

Menurutnya, kelonggaran itu bertujuan menjaga keselamatan masyarakat memandangkan wabak tersebut semakin menular di sekitar Lembah Kelang.

Tiong Lai berkata, beliau akan melaporkan isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri esok sama ada perkara itu boleh dijadikan sebagai satu arahan kepada majikan.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Universiti Malaya Pantau Virus H1NI

Leave a Comment
Universiti Malaya kini memantau penularan virus Influenza A(H1N1) di kampusnya yang menempatkan lebih daripada 27,000 pelajar, termasuk 3,000 pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UM Profesor Ghauth Jasmon berkata universiti itu akan memantau semua pelajar terutama penuntut dari negara berisiko tinggi seperti Amerika Syarikat, Kanada, Filipina, Australia, Mexico, New Zealand, Singapura dan Thailand.

Ia juga mewajibkan semua pelajar semester 1 bagi sesi pengajian tahun 2009/2010 mengisi Borang Deklarasi Kesihatan.

Selain itu, katanya UM turut menubuhkan Jawatankuasa Bertindak H1N1 bagi memantau dan menyediakan pelan tindakan yang berkenaan.

Klinik Kesihatan Pelajar dan Pusat Perubatan Universiti Malaya juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menerima kes H1N1, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Bernama

Read More

Toyota Prius Hybrid

Leave a Comment
Syarikat UMW Toyota Sdn. Bhd. (UMW Toyota) akan melancarkan kereta terbaru yang mempunyai fungsi hibrid pada bulan Ogos ini. Ini merupakan langkah yang bijak supaya dapat menjimatkan penggunaan minyak di samping memelihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya. Justeru, diharapkan banyak lagi syarikat pengeluaran kereta akan melakukan langkah yang sama untuk kepentingan semua pihak.
Read More

Temuduga Pengurus IT Kawasan Padang Terap

Leave a Comment
Alhamdulillah, pada pagi tadi saya telah menghadiri temuduga bagi jawatan sebagai Pengurus IT yang dijalankan oleh Telekom Malaysia Sdn Bhd bersama Syarikat MSD Digital Sdn Bhd . Proses temuduga dimulakan dengan mengisi borang maklumat diri yang turut memuatkan dua soalan esei.Esei tersebut berkaitan dengan kelebihan diri saya berkaitan dengan jawatan tersebut dan apa yang saya fahami berkaitan tugas-tugas yang dijalankan oleh seorang pengurus. Setelah semua proses tersebut selesai, saya dipanggil untuk sesi temuduga yang diadili oleh empat orang panel. Saya sangat berharap & berdoa supaya diterima kerja untuk jawatan ini iaitu membabitkan kontrak selama lima tahun. Jawatan ini dapat memberikan peluang kepada saya untuk membantu masyarakat setempat supaya celik IT untuk mempelajari berkenaan teknologi maklumat yang sentiasa berkembang. Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada syarikat MSD, TM, wakil pentadbiran kerajaan negeri dan semua pihak yang terbabit untuk menjalankan sesi temuduga ini.
Read More

Ramadan: Tiada sambutan "Di Ambang Merdeka"

Leave a Comment
Hari Kemerdekaan ke-52 tahun ini akan disambut sederhana kemungkinan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai menghormati bulan Ramadan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan "Di Ambang Merdeka" bagi mengira detik 12 tengah malam seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, tidak akan diadakan kali ini memandangkan pada malam itu, ia dipenuhi dengan program keagamaan seperti solat tarawih.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini, Rais berkata, sesuai dengan bulan puasa, ada cadangan agar tempat sambutan kali ini diubah dari Dataran Merdeka ke Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ini akan ditentukan oleh kabinet.

Beliau berkata, antara manfaat untuk sambutan perayaan hari kemerdekaan diadakan di stadium ialah ia kawasan tertutup, mempunyai kemudahan asas dan logistik yang lengkap serta mampu memuatkan 100,000 orang pada satu-satu masa.

- Bernama

Read More

KPLI 18 Bulan

1 comment
Kementerian Pelajaran akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak selain mengakui tempoh yang diamalkan selama ini kurang berkesan bagi melahirkan guru berkualiti.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum membentangkannya bagi tindakan kementerian.

"Paling awal pelaksanaan lanjutan tempoh pengajian itu adalah bagi pengambilan Januari 2010. Memang jika boleh nak dilaksanakan segera, tetapi untuk tahun ini amat mustahil kerana pengambilan akan datang adalah pada Julai tahun ini.

"Namun, berdasarkan penelitian serta mengambil kira pandangan semua pihak, BPG positif lanjutan tempoh itu perlu dilaksanakan dan mempunyai rasional kukuh. Cuma ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Mengenai desakan beberapa pihak supaya tempoh pengajian itu dipanjangkan kepada dua tahun, Misrah berkata, ia tidak relevan kerana terlalu mengambil masa bakal guru.

Katanya, jika tempoh KPLI terlalu lama, mungkin graduan tidak berminat dengan kerjaya perguruan kerana jangka masa sama sebenarnya mencukupi untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas dakwaan bahawa bidang perguruan menjadi tempat longgokan graduan menganggur, berkata sistem tapisan bakal guru bagi mengikuti KPLI cukup ketat.

Katanya, semua pemohon KPLI perlu lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda sebelum dipanggil mengikuti ujian khas pemilihan guru.

"CGPA itu bukan kecil. Ini bermakna pemohon untuk KPLI terdiri di kalangan antara yang terbaik di universiti. Apabila menduduki ujian pula, banyak perkara boleh dinilai bagi melihat kesungguhan pemohon untuk menjadi guru.

"Jika melepasi ujian, ada pula peringkat ketiga iaitu temu duga yang membolehkan penemuduga menilai secara terperinci sahsiah dan karakter pemohon," katanya.

Katanya, dakwaan itu mungkin berlaku satu ketika dulu kerana tapisan mengikuti KPLI tidak sebegitu ketat, namun dengan 80,000 permohonan tahun ini dan hanya 5,132 pengambilan, persaingan itu pasti sengit dan calon terpilih pastinya antara terbaik.

Pada masa sama, katanya, kementerian kini memperbanyakkan pengambilan guru untuk Program Sarjana Muda Perguruan yang bakal mengisi sehingga 6,200 tempat.

Sumber : Berita Harian

Read More

Ahmadinejad Menang Majoriti Besar

Leave a Comment
Mahmoud Ahmadinejad memperolehi kemenangan besar pada pilihan raya Presiden Iran semalam, sekali gus mempertahankan jawatannya untuk mengetuai kerajaan bagi tempoh empat tahun lagi, di sebalik dakwaan pencabar utamanya berlaku banyak penyelewengan.

Sokongan besar terhadap Ahmadinejad, kira-kira dua kali jumlah undi yang dimenangi oleh bekas Perdana Menteri, Mirhossein Mousavi, mengejutkan penganalisis politik, yang sebelum ini meramalkan persaingan sengit antara kedua-dua calon tersebut dan mengheret mereka untuk bertarung dalam pengundian pusingan kedua.

“Doktor Ahmadinejad, yang memperolehi majoriti undi, telah menjadi pemenang mutlak pada pilihan raya Presiden (Iran) ke-10,” lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA sementara penyokong beliau membanjiri jalan raya untuk meraikan kemenangan itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Kerajaan Akan Mengambil Lebih Ramai Kakitangan Awam

Leave a Comment
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.

Kerajaan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan doktor, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menambah bahawa lebih banyak biasiswa dan pinjaman diperoleh untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus perubatan tempatan dan luar negara.

Pada masa yang sama, katanya Kementerian Kesihatan mengkaji kemungkinan mengambil doktor asing untuk memenuhi kekosongan itu. - Bernama

Read More

H1N1: Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Lawatan ke Negara Terjejas

Leave a Comment
Rakyat Malaysia yang ingin melawat negara yang terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) dinasihat menangguhkan sementara hasrat mereka untuk ke negara terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan dalam usaha kerajaan mengelak wabak itu daripada terus menjangkiti rakyat negara ini.

“Mereka yang ingin melawat ke negara yang terbabit dengan wabak H1N1 hendaklah menangguhkan hasrat itu jika tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai 2009 di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Lama, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi garis panduan khusus kepada rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar supaya menjaga kebersihan dalam mengawal penularan penyakit itu.

Ketika berucap, Rosnah berkata kementeriannya akan mengubah pendekatan dalam memajukan masyarakat warga emas daripada konsep kebajikan kepada pembangunan bagi memastikan mereka terus aktif dan produktif.

Perubahan pendekatan ini termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, bersenam, menangani tekanan dengan bijak dan tidak merokok, katanya. - Bernama

Read More

Shukery Hashim Meninggal Dunia

Leave a Comment
Pelakon lelaki terkenal, Shukery Hashim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada pukul 1.15 petang ini.

Allahyarham yang berusia 55 tahun meninggal dunia selepas menderita sakit barah pankreas. - Utusan

Read More

Bakal Guru Bukan Melayu dan Lelaki Kurang (UPSI)

Leave a Comment
Perkara ini bukan sahaja berlaku di UPSI malahan turut juga berlaku di universiti lain di Malaysia ini. Jumlah siswi ketara lebih ramai daripada siswa. Ini mungkin disebabkan lelaki mengambil pendekatan berbeza seperti mengambil kursus-kursus yang lebih berkaitan dengan teknikal berbanding dengan perempuan. Justeru, tidak hairanlah bahawa di UPSI juga mengalami masalah ini. Apa yang paling penting di sini ialah setiap lelaki dan perempuan mempunyai kemampuan yang berbeza dan ianya mengikut kesesuaian yang dimiliki setiap pelajar.
Read More

Isu Bahasa Inggeris Wajib Lulus SPM

Leave a Comment
Isu ini adalah isu ketiga yang hangat diperkatakan selepas isu berkenaan PPSMI dan juga isu hanya 10 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM pada tahu hadapan. Orang ramai yang ingin mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung isu Bahasa Inggeris akan digunapakai sebagai syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh berbuat demikian melalui saluran telefon dan e-mel yang disediakan Kementerian Pelajaran.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran pada hari ini menyatakan bahawa perkara ini boleh disalurkan ke talian khidmat pelanggan kementerian itu di 03-77237070 atau e-mel di kpkpm@moe.gov.my. Segala ulasan berkenaan perkara ini akan diambil kira sebagai panduan untuk kepentingan semua rakyat di Malaysia ini.

Read More

Kaka Milik Real Madrid

Leave a Comment
Real Madrid mengumumkan menandatangani kontrak pemain antarabangsa Brazil, Kaka dari AC Milan.

Real tidak memberi sebarang maklumat lanjut berhubung nilai perpindahan tersebut, tetapi laporan akhir semalam menyatakan kelab Sepanyol itu akan membayar Milan sebanyak 65 juta euro (RM317.7 juta).

Jumlah pembayaran tersebut bakal menjadikan perjanjian paling mahal dalam sejarah bola sepak. - AP

Read More

Buku Najib Perdana Menteri Keenam Dilancarkan

Leave a Comment
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan buku Najib Perdana Menteri Keenam di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini hari ini. Buku berkenaan ditulis oleh pasangan suami isteri, Yusof Harun dan Noor Asmah MN
Read More

Penumpang AirAsia X D7 2723 Lapor Diri Segera

Leave a Comment
Kementerian Kesihatan hari ini menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lepas supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penumpang-penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

“Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil,” kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan.

- BERNAMA

Read More

Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden Pas)

Leave a Comment
Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Tuan Ibrahim Tuan Man dipilih sebagai Naib Presiden Pas pada Muktamar Ke-55 parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.
Read More

Nasharudin Mat Isa Timbalan Presiden Pas

Leave a Comment
Nasharudin Mat Isa pertahan jawatan Timbalan Presiden Pas pada muktamar parti Ke-55 di Stadium Malawatai di Shah Alam dengan mendapat 480 undi mengalahkan Datuk Husam Musa (281 undi) dan Mohamad Sabu (261 undi).
Read More

Minyak AS$85 Setong

Leave a Comment
Peningkatan harga minyak diramalkan akan mencecah sehingg AS$85 setong disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang dijangka beransur-ansur pulih. Setakat ini harga minyak akan menghampiri paras AS$70 setong. Perkara ini memang membimbangkan dari segi peningkatan harga minyak mungkin akan semakin tinggi tetapi di sebalik perkara ini kadar pengangguran akan menurun disebabkan permintaan guna tenaga kerja yang ramai. Ramai syarikat yang akan menawarkan peluang pekerjaan dan seterusnya ini akan menjamin pemulihan ekonomi yang lebih berkesan.
Read More

Hari Tanpa Plastik

Leave a Comment
Kerajaan Pulau Pinang telah melakukan pendekatan yang proaktif dengan melancarkan program "Hari Tanpa Plastik" yang bermula pada bulan Julai ini. Ianya diadakan pada setiap hari Isnin bertujuan untuk menghijaukan keadaan persekitaran di sekitar negeri tersebut. Program ini diharapkan akan diteruskan setiap hari dan juga dibuat di seluruh negara bagi menjaga persekitaran negara.
Read More

Pemulaan Baru AS-Islam

Leave a Comment
Presiden Barack Obama mahu memulakan persahabatan yang baru dengan dunia Islam apabila berucap di Universiti Kaherah, Mesir. Beliau juga berkata bahawa negara AS bersama-sama dengan dunia Islam dapat memerangi keganasan yang berlaku di seluruh dunia. Ini bagi memastikan dunia aman daripada serangan pengganas dan juga ancaman lain.

Obama mestilah mengotakan janjinya dengan berusaha bersungguh-sungguh supaya negara Israel dapat menghentikan terus penjajahan yang kejam ke atas negara Palestin supaya dapat menyakinkan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Negara AS juga mestilah membuat perundingan yang seadil-adilnya dengan negara Iran yang telah dituduh membuat senjata nuklear padahal tenaga nuklear yang dijanakan tersebut digunakan untuk membekalkan tenaga kepada penduduk-penduduk di negara Iran.

Obama mesti melaksanakan apa yang telah dijanjikannya supaya beliau dapat mengubah terus dasar pentadbiran yang telah dilaksanakan oleh Presiden AS sebelum ini dengan membuka ruang baru bagi rundingan perdamaian yang memberikan kebaikan kepada seluruh penduduk di dunia ini.
Read More

Mansor TKM1 Pulau Pinang

Leave a Comment
Mansor Othman mengangkat sumpah hari ini sebagai Timbalan Ketua Menteri I yang baru selepas memenangi pilihan raya kecil Penanti. Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menyaksikannya di kediaman rasminya di Seri Mutiara. Beliau juga menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainal Rahim Seman. Pelantikan ini diharapkan dapat memajukan lagi negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih cemerlang.
Read More

Pengubahsuaian Blog

Leave a Comment
Rasanya sudah lama blog ini tidak mengalami pengubahsuaian yang lebih ceria dan berkesan. Proses pengubahsuaian akan dilakukan secara berperingkat dari segi template yang baru dan juga penyusunan semula ikon-ikon di dalam blog ini.

Selain itu, isu-isu semasa yang berlaku sama ada di dalam negara atau pun di luar negara akan dikemaskini secara berterusan. Saya akan berusaha untuk membawa kelainan kepada artikel-artikel yang diletakkan supaya terdapat pengulasan yang padat dan berkesan.

Ini bagi memastikan artikel yang ditonjolkan adalah segar dan memenuhi citarasa pengunjung di blog ini. Justeru, saya akan melakukan yang terbaik dan sentiasa belajar perkara-perkara yang baru yang berkaitan dengan dunia blogger ini.
Read More

Aspek Penyelenggaraan dan Budaya Cemerlang Bagi TUDM - Sultan Pahang

Leave a Comment
Seluruh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu bertekad meningkat keupayaan dari aspek penyelenggaraan, dan memelihara semangat berkerja berpasukan serta mengamalkan budaya cemerlang demi mempertahankan kedaulatan dan keutuhan bangsa, agama dan negara.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM bertitah baginda menaruh harapan agar kesinambungan TUDM kekal menjadi satu institusi yang gagah dan kukuh.

“Berjuanglah dengan acuan kita sendiri, bersilaturrahim menguasai maruah dan kepercayaan yang tidak dicurigai,” titah baginda pada Majlis Perbarisan Sempena Ulang Tahun TUDM ke 51 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini. - Bernama

Read More