Nabil Bintang Paling Popular 2008

2 comments

GENTING HIGHLANDS 12 April - Seperti yang diramal, gelaran Bintang Paling Popular menjadi milik juara Raja Lawak musim kedua, Nabil dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008) di Arena of Stars di sini malam ini.

Dia yang mendapat 127,524 undi untuk kategori itu, membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 termasuk sebuah kereta Nissan Sylphy 2.0L (A) berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. selain barang kemas dan pakej penginapan.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga menjadi artis komedi kedua yang memenangi kategori tersebut selepas Saiful Apek dinobatkan gelaran sama pada tahun 2003.

Bukan itu saja, Nabil turut memenangi dua kategori lain iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular dengan menewaskan nama-nama besar seperti Afdlin Shauki, AC Mizal dan Saiful.

Kejayaan Nabil menggenggam gelaran itu ternyata membenamkan impian penyanyi Mawi untuk mempertahankan gelaran tersebut bagi tahun keempat berturut-turut.

Pun begitu, Mawi, juara Akademi Fantasia 4, berjaya mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut.

Datuk Siti Nurhaliza pula membuktikan keunggulannya sebagai penyanyi nombor satu negara apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular bagi tahun ke-12 berturut-turut.

Dalam kategori itu, Siti berdepan saingan yang cukup sengit daripada penyanyi baru seperti Elyana, Jaclyn Victor, Mila dan Stacy.

Band indie yang semakin popular, Meet Uncle Hussain (MUH) pula membawa pulang gelaran Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular sekali gus membenamkan impian saingan terdekat, Hujan.

Sementara itu, Fara Fauzana berjaya mempertahankan gelaran Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Rakan setugasnya, Faizal Ismail juga mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.

Pemenang lain ialah Aznil Nawawi iaitu kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Noorhiriah (Artis Komedi Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi/Artis Nasyid Popular).

Juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy pula dipilih Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular masing-masing dimenangi Que Haidar dan Maya Karin manakala Rosyam Nor dan Dynas pula membawa pulang gelaran Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular.

ABP2008 turut menyaksikan Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup atas sumbangannya dalam bidang seni.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

2 comments:

Sahniana said...

nmpk jugak muka baru naik pentas kn..

Asraff Ruslan said...

betul2.....
muka baru........
xda la org yg sama je.....