Hishammuddin berkata beliau akan menggunakan kesempatan di penyertaan ini untuk memaklumkan kepada Ketua Pengarah dan semua ahli lembaga Pengarah UNESCO mengenai pelantikan kabinet baru negara.
Dalam kabinet baru itu, Muhyiddin menggantikan Hishammuddin selaku Menteri Pelajaran baru manakala Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
“Secara amalan Menteri Pelajaran akan mewakili negara ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO selepas kejayaan negara dipilih menduduki kerusi tersebut di Persidangan Agung UNESCO ke 34 bagi tempoh empat tahun bermula tahun lalu hingga 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya mesyuarat itu akan digunakan bagi membantu Muhyiddin mengambil alih tanggungjawab selaku Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah UNESCO.
Mesyuarat itu yang diadakan sebanyak dua kali setahun merupakan forum kedua tertinggi UNESCO selepas Persidangan Agung.
Hishammuddin berkata mesyuarat ini bertujuan menggubal dasar serta mengkaji keberkesanan program-program UNESCO dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan, sains sosial dan komunikasi.
“Saya yakin dengan kewibawaan dan komitmen Muhyiddin, beliau mampu memainkan peranan yang berkesan dalam mengemukakan pandangan negara serta meningkatkan visibiliti negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Hishammuddin berkata sebagai wakil TPM, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pandangan negara dan perkara-perkara utama mendapat perhatian negara-negara anggota selain membincangkan isu-isu semasa.
— BERNAMA
0 comments:
Post a Comment