Google Malaysia sasar tarik 27,000 PKS sertai GMBO

Leave a Comment

Google Malaysia sasar tarik 27,000 PKS sertai GMBO

Google Malaysia menyasarkan untuk menarik 27,000 lagi peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membangunkan laman web dan bergiat dalam talian melalui programnya, Get Malaysian Business Online (GMBO), menjelang akhir tahun ini.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awamnya, Zeffri Yusof berkata sejak program itu diperkenalkan Nov tahun lepas, GMBO telah menarik 23,000 PKS menyertainya.

"Program ini ternyata telah membantu ramai usahawan PKS untuk memasarkan produk di laman web malah ada sehingga ke pasaran Singapura dan kita masih meneruskan usaha untuk menarik lebih ramai lagi usahawan PKS untuk menyertai program ini."

"Kita yakin, menjelang akhir tahun ini, kita mampu mencapai sasaran kita untuk membantu sekurang-kurang 50,000 PKS mempunyai laman web sendiri ," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel penerangan mengenai GMBO di sini yang dihadiri oleh 35 usahawan PKS negeri Johor.

GMBO yang merupakan perkongsian antara Google dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), .My Domain Registry, SME Corp. Dan ITrain dan google sendiri telah melabur RM10 juta untuk program itu sepanjang tahun ini.

Sehingga kini, katanya Google Malaysia telah mengadakan bengkel itu di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Serawak, serta Pulau Pinang dan selepas ini merancang untuk mengadakan bengkel yang sama di Pantai Timur pula.

Melalui bengkel itu, peserta didedahkan cara-cara untuk mereka laman web sendiri secara percuma tanpa perlu menulis sebarang kod, selain membantu mereka memahami konsep asas perniagaan melalui dalam talian dan cara mengendalikan laman web sendiri.

Katanya menerusi GMBO, pembangunan laman web dan "hosting" diberikan percuma oleh Google manakala pembaharuan tahunan untuk domain.com.my akan diberikan pada kadar diskaun iaitu hanya RM23 setahun berbanding harga asalnya RM80.

Beliau berkata hasil maklumat yang diperoleh, daripada 700,000 PKS yang ada di negara ini, hanya 100,000 sahaja yang mempunyai laman web sendiri.

Ini disebabkan kebanyakan PKS tidak mempunyai kemahiran menggunakan komputer selain masalah talian internet.

Sumber : Sinar Harian
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: