Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.
''SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Pulau Pinang berhubung kekosongan kerusi tersebut pada 17 April lalu.
''Selaras dengan peruntukan Seksyen 12 (3) Akta Pilihan Raya 1958, adalah perlu SPR menjalankan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi bagi kerusi DUN Penanti di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Menurut Abdul Aziz, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahya dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Penanti.
SPR juga, kata beliau, membenarkan Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil itu.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memutuskan untuk menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
Beliau berkata, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraannya akan dibuat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.
''Sebanyak sembilan pusat mengundi pula melibatkan lapan buah sekolah dan sebuah dewan dengan 32 saluran mengundi," katanya.
Menurutnya, SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.
''Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, SPR mengingatkan parti-parti politik yang bakal bertanding agar mematuhi Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan larangan berkempen pada hari mengundi dan juga arahan pihak polis.
Untuk itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan program penerangan kepada parti politik dan pengundi supaya mereka dapat memahami hak serta tanggungjawab masing-masing serta menghayati peruntukan akta tersebut.
''Kami serius untuk menguatkuasakan peraturan yang telah ditetapkan dengan lebih tegas dan sebab itu kami akan mengadakan mesyuarat dengan pihak polis tidak lama lagi berhubung perkara ini.
''Ini kerana kami mahu mewujudkan suasana aman bagi pengundi untuk menuaikan tanggungjawab mereka," katanya.
0 comments:
Post a Comment