Giggs Akhirnya Pemain Terbaik Pada Usia 35 tahun

Leave a Comment
Pemain yang digelar orang kuat Manchester United, Ryan Giggs telah dipilih sebagai pemain terbaik tahun ini oleh pemain-pemain profesional lain dalam Liga Perdana England (EPL) buat kali pertama pada umur 35 tahun.

Pemain terbaik dalam Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) merupakan penghargaan yang belum pernah dikecapi oleh Giggs dalam bola sepak England sejak dia mula beraksi untuk United pada Mac 1991.

Selepas menerima anugerah tersebut kelmarin, Giggs berharap mampu mencatatkan penampilan ke-800 untuk pasukan pendahulu EPL itu dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal.

Walaupun sudah berumur 35 tahun, Giggs masih kekal menjadi pemain harapan United untuk memburu empat piala musim ini.

Pasukan tersebut sudah menjuarai Piala Kelab Dunia dan Piala Liga, manakala masih memburu untuk mengekalkan kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah.

Giggs, yang masih mempunyai kontrak dengan Red Devils sehingga Jun 2010, telah memenangi 10 kejuaraan liga, dua Liga Juara-Juara Eropah, empat Piala FA dan dua Piala Liga, semuanya bersama United.

"Ia memang betul memenangi anugerah ini adalah satu sanjungan peribadi, ia begitu menakjubkan menerima anugerah hasil undian rakan-rakan pemain.

"Saya begitu bernasib baik memenangi banyak trofi, saya memenangi trofi pemain remaja terbaik dua kali tetapi ini adalah penghargaan yang paling besar," kata Giggs di London.

Bekas pemain antarabangsa Wales itu memecahkan rekod penampilan bersama United Mei lalu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bertemu Chelsea, mengatasi rekod lama yang dilakukan Bobby Charlton iaitu 758 perlawanan.

Walaupun Giggs hanya beraksi sebanyak 12 kali pada awal musim ini seterusnya menyebabkan aksinya sedikit pudar, dia telah bertukar posisi daripada bahagian sayap ke bahagian tengah untuk kekal sebagai pemain tetap dalam mana-mana kejohanan.

United mengatasi Liverpool dengan tiga mata untuk berada di puncak EPL termasuk baki satu perlawanan di dalam tangan.

"Ia musim yang sangat menarik, saya rasa ia semakin tegang, terdapat perlawanan yang lebih penting selepas perlawanan penting. Itulah yang kamu mahu dan perlu di dalam kelab seperti Manchester United," katanya.

Giggs yang merupakan salah seorang dari lima pemain United yang disenarai pendek untuk anugerah itu, berterima kasih kepada pengurus, Sir Alex Ferguson kerana membantunya kekal pada dengan permainan terbaik sepanjang 19 tahun. Ferguson yang berusia 67 tahun telah menjadi pengurus di Old Trafford sejak 1986. - AP

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: