Berikan Saya Peluang – Najib

Leave a Comment
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini supaya bersikap terbuka serta positif dalam menilai dan seterusnya memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan kepimpinannya itu.

Perdana Menteri berkata, beliau juga beriltizam untuk memahami apa jua aspirasi rakyat dan akan melakukan yang terbaik daripada segi kepimpinan sama ada membabitkan sudut dasar, pelaksanaan dan program yang akan dilakukan.

“Saya cuma berharap rakyat akan bersikap terbuka dan positif menilai kepimpinan saya dan beri saya peluang tunjukkan kepimpinan saya... mudah-mudahan rakyat boleh menerima kepimpinan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya pengacara Ally Iskandar Mohd. Mardzi dalam program wawancara khas Perdana Menteri ke-6 yang disiarkan oleh TV3 di sini malam ini.

Menurut Najib, beliau sentiasa mengingatkan dirinya supaya berpijak di bumi yang nyata dan bersikap mesra rakyat, tegas tetapi penuh dengan perasaan bertimbang rasa kepada orang lain dalam menjalankan tugas.

Katanya, walaupun pada awal menceburkan diri dalam dunia politik adalah satu kejutan kepadanya kerana pada usia muda, beliau terpaksa menyesuaikan diri dalam tempoh yang singkat dan meletakkan kepuasan diri membantu orang lain sebagai suatu perkara yang sesuai dengan hati nuraninya.

Ditanya sama ada terdapat perbezaan semasa beliau mula menerajui kerajaan berbanding semasa ayahandanya menjadi Perdana Menteri, Najib berkata, walaupun terdapat perbezaan namun kegetirannya hampir sama.

“Kegetiran itu boleh dikatakan amat mencabar sebab waktu Allahyarham (menjadi Perdana Menteri), beliau berdepan suasana yang tegang selepas tragedi hitam 13 Mei (1969) dan ketidaktentuan politik di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

“Saya (berdepan dengan keadaan) getir juga sebab saya bermula dengan keadaan politik di mana (Barisan Nasional) kalah di lima negeri dan kini dapat kembali satu. Berdepan dengan pembangkang yang lebih agresif dan bilangan lebih besar di Parlimen dan keadaan krisis ekonomi dunia,” kata Perdana Menteri.

Mengenai pembaharuan yang akan dilakukan, Najib berkata, tumpuan kepada golongan muda yang semakin bertambah menjadi pengundi bukanlah satu pilihan tetapi satu kemestian.

Katanya, selain bilangan yang ramai, orang muda yang berumur 40 tahun ke bawah mempunyai tenaga, semangat selain pengaruh dan kesan yang begitu kuat kepada keluarga berbanding bilangan mereka.

“Saya tidak menganggap mereka ini semestinya anti-establishment. Kalau kita anggap mereka ini tak boleh dipupuk, dibelai (susahlah)... dan saya tidak menolak jika kena pada gaya dan dasar, saya percaya mereka boleh menerima apa yang boleh disuarakan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai 100 hari menduduki kerusi Perdana Menteri apabila apa jua tindakannya sentiasa mendapat perhatian, Najib berkata, beliau tidak mempunyai tempoh bulan madu politik seperti yang diperkatakan oleh sesetengah orang.

“Saya tak fikir ada tempoh 100 hari sebab kegetiran yang ada sekarang ini.

“Saya terpaksa melepasi dua ujian yang begitu cepat, satu pembentukan Kabinet baru dan ucapan sulung sebagai PM. Kalau kedua-dua ini diterima baik oleh rakyat saya percaya rakyat akan lebih terbuka menerima kepimpinan saya, insya-Allah,” katanya.

Najib juga bersyukur bahawa kesabaran, ketabahan dan kesetiaan yang merupakan ciri perwatakan beliau selama ini akhirnya membawa beliau sampai ke kemuncak.

Kepada keluarganya, Perdana Menteri berkata, beliau adalah orang yang sama, bapa yang sama dan suami yang sama, tidak ada perubahan mengenai itu.

“Apa yang saya sandang ialah jawatan formal tapi secara individu saya sama.

“Saya perlu kasih sayang yang sama. Saya perlu ada masa untuk mereka dan mereka perlu ada masa dengan saya.

“Kita perlu melihat sebagai seorang manusia tak kira apa juga jawatan (yang dipegang) paling tinggi ke, (atau) buruh biasa kita pada kesudahannya seorang manusia dan ada keperluannya dari segi emosi, fizikal psikologi,” katanya. – BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: