SEPERTI minyak dan air, aktiviti fizikal telah sekian lama dikatakan tidak serasi dengan artritis reumatoid (RA). Ini secara tidak langsung menyebabkan pesakit RA takut untuk bersenam kerana mereka khuatir senaman akan menyebabkan kerosakan sendi mereka.
Tetapi hakikatnya, tidak ramai yang tahu bahawa senaman adalah faktor penting dalam pengurusan keadaan penyakit ini dan usaha untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Mungkin sebelum ini doktor tidak menggalakkan pesakit RA menyertai program senaman, tetapi sekarang aktiviti fizikal dipercayai adalah satu komponen penting dalam pengurusan penyakit.
Menurut hasil kajian di Belanda baru-baru ini, yang membabitkan 300 pesakit RA dalam program senaman atau terapi fizikal selama dua tahun, senaman berat (intensiti tinggi) dalam jangka panjang terbukti selamat untuk pesakit RA.
Ia berkesan membantu pesakit yang mengalami RA peringkat awal untuk berfungsi dengan lebih baik dari segi fizikal dan emosi.
“Meskipun senaman berat biasanya tidak disyorkan, terdapat jenis senaman tertentu yang terbukti selamat untuk pesakit RA dan berkesan mengurangkan kesakitan secara keseluruhan, membina kekuatan otot, dan memperbaiki keupayaan fungsi,” ujar konsultan reumatologi, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad.
Senaman dapat membantu pesakit RA mengekalkan berat badan yang sihat. Ia penting kerana kenaikan berat badan boleh menambah tekanan ke atas sendi, terutamanya lutut, hingga boleh menyukarkan lagi pergerakan.
“Selain itu, senaman diketahui dapat menceriakan mood dan perasaan. Ramai pesakit RA ‘cepat naik angin’ kerana mereka merasa tertekan akibat menghidap penyakit kronik yang menyakitkan hingga memaksa mereka mengubah gaya hidup secara drastik,” ulas Anwar.
Menurutnya, pesakit RA sering kecewa kerana terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk melakukan perkara biasa setiap hari dan sedih kerana menjadi beban dalam keluarga.
Justeru, senaman dapat membantu mengawal kekecewaan dan kesedihan pada tahap minimum dengan membina keyakinan dalam keupayaan fizikal pesakit RA.
Antara jenis senaman yang disyorkan untuk pesakit RA adalah senaman regangan. Senaman ini paling mudah tetapi dapat menambah fleksibiliti sendi dan meningkatkan pergerakan sendi. Ia juga dapat mengurangkan kemungkinan pesakit mengalami kecederaan.
“Senaman ini membabitkan regangan sendi dan kumpulan otot yang berlainan selama 10 hingga 30 saat. Yoga dan tai chi adalah antara senaman regangan yang baik kerana ia menumpukan kepada fleksibiliti dan imbangan,” terangnya.
|
|
Hakikatnya, kelemahan otot boleh dielakkan dan dipulihkan dengan latihan membina kekuatan. Senaman isometrik baik untuk pesakit RA kerana ia menguatkan otot tanpa menggerakkan sendi.
Senaman pelaziman atau senaman aerobik, aktiviti ringan seperti menari, mengayuh basikal, berjalan dan berenang, dapat membantu pesakit membina stamina demi manfaat badan termasuk menguatkan jantung, saluran darah dan paru-paru.
“Antara semua senaman ringan, berenang adalah senaman yang terbaik untuk pesakit RA kerana ia tidak menyebabkan tekanan ke atas sendi tetapi membolehkan sendi bersenam’ hingga mencapai potensi penuh,” kata Anwar.
Menurutnya, pengapungan dalam air akan mengurangkan tekanan ke atas sendi, seterusnya membolehkan pesakit RA bergerak lebih bebas berbanding apabila mereka berada di darat.
0 comments:
Post a Comment