Harga minyak AS$97.85 setong

Leave a Comment
Harga minyak dunia menjunam ke paras terendah dalam tempoh enam bulan apabila didagangkan pada harga di bawah AS$98 (RM340.40) setong semalam.

Para pelabur berkata, penurunan harga minyak mentah dunia itu didorong oleh pengukuhan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan pengurangan permintaan tenaga di seluruh dunia kesan daripada kelembapan ekonomi.

Harga komoditi itu naik sedikit ketika awal dagangan akibat kebimbangan Taufan Ike yang menghala ke kemudahan minyak penting di perairan selatan AS dan pengumuman Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan bekalan kelmarin bagi mengatasi kejatuhan harga.

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Oktober menurun kepada AS$97.85 (RM339.89) setong semalam iaitu terendah sejak 5 Mac lalu.

Harga di pasaran itu kemudiannya naik sedikit ke paras AS$98.22 (RM341.18) setong.

Harga minyak mentah light sweet untuk penghantaran Oktober di pasaran kontrak utama New York jatuh AS$0.93 sen (RM3.23) kepada AS$101.65 (RM353) setong.

"Harga minyak dijangka terus jatuh kerana pasaran kini menumpukan pada peningkatan mata wang dolar AS dan kebimbangan berhubung permintaan," kata seorang penganalisis, Michael Davies.

Sumber : Kosmo
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: