Eksperimen yang dibiayai Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) itu bertempat di dalam sebuah terowong sepanjang 27 kilometer, pada kedalaman 100 meter di bawah permukaan bumi di sempadan Perancis-Switzerland.
Menggunakan alat pemecut partikel atau jirim terbesar pernah dibina dengan kos AS$5 bilion (RM17.2 bilion) dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC), projek CERN cuba mengulangi teori Letupan Besar atau Big Bang yang menurut sains, membawa kepada pembentukan alam semesta.
Selain itu, eksperimen tersebut yang menelan belanja lebih AS$10 bilion (RM34.3 bilion) bermatlamat menerobos kewujudan dimensi lain dan mengesahkan teori Hawking bahawa Lohong Hitam atau Black Hole di angkasa lepas mengeluarkan pancaran radiasi.
Hawking yang dilahirkan pada tahun 1942, merupakan seorang profesor matematik di Universiti Cambridge, London. Beliau mengalami kelumpuhan kekal dari leher ke bawah akibat penyakit saraf dan memerlukan bantuan kerusi roda dan alat elektronik bagi membantunya bertutur.
Namun, di sebalik kecacatan fizikalnya, pengarang buku A Brief History of Time itu disifatkan sebagai ahli fizik termasyhur selepas Albert Einstein dan bertanggungjawab mengutarakan teori bahawa Lohong Hitam memancarkan sinaran radiasi atom sehingga kehabisan tenaga sebelum meletup.
Istilah Lohong Hitam diperkenalkan oleh seorang pakar fizik, John Wheeler pada tahun 1960-an merujuk kepada fenomena kemusnahan bintang besar (berkali-kali ganda lebih besar dari matahari).
Teori Hawking itu mendapat tentangan ahli-ahli fizik masa kini kerana menurut mereka, apabila fenomena Lohong Hitam berlaku semua jirim atau atom yang membentuk bintang itu ranap lalu mengeluarkan tarikan graviti amat kuat sehingga berupaya menyedut semua benda termasuk cahaya.
Istilah Big Bang pula dicipta oleh seorang saintis Britain, Fred Hoyle pada tahun 1949, merujuk kepada keadaan alam semesta ini yang pada asalnya bercantum padu, kemudian berselerak dan mengembang selepas satu letupan kuat kira-kira 13 bilion tahun dahulu.
Pakar-pakar sains cuba membentuk keadaan Big Bang pada skala kecil di dalam terowong itu dengan memecut dan menghentam dua partikel proton hampir pada kelajuan cahaya bersamaan 300,0000 kilometer sesaat.
"Ini adalah saat yang mengembirakan untuk fizik," kata seorang pakar fizik di Universiti Southampton, Profesor Nick Evans.
"Mesin itu akan membantu para saintis membongkar rahsia alam semesta. Apa yang menarik mengenai eksperimen ini adalah kami pastinya akan membuat penemuan baru," tambahnya.
Walaupun eksperimen itu disifatkan sebagai merevolusikan penemuan fizik, saintis-saintis yang terlibat dengan projek CERN tidak terlepas daripada menerima ugutan bunuh.
Keadaan itu berlaku kerana terdapat kelompok pakar dan individu yang bimbang letupan yang tercetus turut akan membentuk Lohong Hitam dengan tarikan graviti mega.
Sumber : Kosmo
0 comments:
Post a Comment