Terima Kasih Melaka - Shah Rukh Khan

Leave a Comment

MELAKA - "Anugerah ini amat bernilai kepada saya."

Itu pengakuan pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan selepas bergelar Datuk setelah dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) di Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.

Shah Rukh Khan yang berbaju Melayu berwarna hitam lengkap dengan samping bersulam benang emas serta bersongkok menerima anugerah tersebut dari Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Shah Rukh Khan memberitahu sidang akhbar, beliau berterima kasih ke atas pemberian anugerah tersebut dan amat berbangga untuk menerimanya.

Shah Rukh Khan berkata, beliau kemungkinan menjadikan Melaka sebagai salah satu lokasi penggambaran filem terbarunya, Happy New Year pada September tahun depan.

"Melaka merupakan negeri yang cantik," katanya.

Penganugerahan DMSM kepada artis terkenal dengan watak hero itu diberikan bagi menghargai sumbangan beliau terhadap industri hiburan peringkat antarabangsa dan pelancongan di Melaka apabila salah satu babak dalam filem lakonannya, One Two Ka Four dihasilkan di A Famosa Resort, Alor Gajah di sini beberapa tahun lalu.

Sempena kedatangan beliau ke Melaka, Shah Rukh Khan turut dibawa melawat beberapa tempat bersejarah dan menarik di negeri ini antaranya Menara Taming Sari, Victoria Fountain, Eye On Malaysia, Jonker Walk, Kampung Morten dan menyusuri Sungai Melaka menaiki bot Melaka River Cruise.

Sumber : Kosmo

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: