Greece Lumpuh Akibat Mogok

Leave a Comment

ATHENS - Sejumlah remaja yang berang bertempur dengan anggota-anggota polis di luar pekarangan sebuah mahkamah di Athens semalam.

Satu mogok awam turut melumpuhkan Greece sekali gus mencetuskan tekanan terhadap kerajaan yang menghadapi rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Dua anggota polis yang terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang pelajar sekolah berumur 15 tahun sehingga mencetuskan rusuhan itu memberi keterangan di dalam mahkamah tersebut.

Sekumpulan remaja membaling bom petrol ke arah bangunan mahkamah manakala anggota-anggota polis melepaskan tembakan pemedih mata.

Sekuarng-kurangnya dua orang cedera dalam kejadian itu.

Anggota-anggota polis dan remaja turut bertempur di pusat bandar ketika tunjuk perasaan yang dihadiri lebih 100,000 orang diadakan bagi membantah dasar ekonomi kerajaan.

Sekolah-sekolah, jabatan perkhidmatan awam, hospital ditutup dan jadual penerbangan ditangguhkan ekoran mogok itu.

"Negara ini tidak ditadbir. Kerajaan tidak dapat meyakinkan orang ramai," kata seorang anggota kanan Parti Socialist, Evangelos Venizelos di Parlimen.

Sementara itu, satu laporan berhubung kematian pelajar itu yang sebelum ini didakwa maut akibat ditembak pihak berkuasa didapati berpunca daripada latunan peluru, kata seorang peguam polis semalam.

"Siasatan mendapati remaja malang itu mati akibat latunan peluru, ia adalah satu kemalangan," kata peguam itu Alexis Kougias.

Kematian pelajar itu, Alexandros Grigoropoulos, 15, itu mencetuskan keganasan sejak Sabtu lalu setelah rakyat Greece semakin marah dengan kerajaan berhubung cara kerajaan mengatasi masalah ekonomi, pengangguran, kemiskinan dan skandal membabitkan ahli politik.

- Agensi

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: