FHW KWSP Rancakkan Pasaran Perumahan

Leave a Comment
Pengeluaran Perumahan Fleksibel (FHW), kemudahan baru yang ditawarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membantu merancakkan pasaran perumahan di negara ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.
Beliau yang menyambut baik langkah itu berkata, kemudahan itu akan memudahkan orang ramai membeli rumah, khususnya dalam lingkungan harga sederhana.
"Saya pasti pemaju akan dapat menjalankan perniagaan dengan lebih baik dan menjual lebih banyak rumah menerusi konsep itu.
"KWSP yang mempunyai simpanan banyak daripada pencarum secara tidak langsung dapat meningkatkan penjualan rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ekspo iProperty.com Expo-Luxury Collection di sini hari ini.
Semalam, KWSP mengumumkan ahlinya kini boleh menggunakan kemudahan FHW bagi pinjaman rumah pada kadar lebih tinggi bermula 1 Ogos.
Bagi kemudahan itu, ahli boleh memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 2 ke dalam akaun FHW dan diikuti oleh pindahan amaun caruman bulanan yang ditetapkan ke dalam akaun perumahan tersebut.
Ahli yang belum pernah membuat pengeluaran dari Akaun 2 untuk membeli rumah atau mengurangkan baki pinjaman perumahan juga boleh memohon bagi simpanan semasa dan masa depan mereka untuk dipertimbangkan semasa memohon pinjaman perumahan dengan institusi kewangan. - Bernama
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: