15 Jersi Ronaldo Dijual Tiap Seminit

Leave a Comment

Cristiano Ronaldo sudahpun memberi impak kepada Real Madrid walaupun belum turun beraksi, apabila 15 helai jersinya dijual tiap seminit di kedai pakaian kelab yang terletak di Stadium Santiago Bernabeu, semalam.

Kelab tersebut menjual 2,000 helai jersi bernombor sembilan yang tertera nama bintang Portugal itu dengan setiap satu dijual pada harga 85 euro (RM396).

Keseluruhannya untuk sehari saja, gergasi bola sepak Sepanyol itu berjaya meraih keuntungan 170,000 (RM841,900) untuk penjualan jersi Ronaldo, lapor akhbar harian AS dan Marca.

Dalam keadaan kelam kabut, sebanyak 300 helai jersi hitam dan putih Ronaldo telah dicuri. Pesta 'Cristianomania' berterusan keesokan hari apabila jersi saiz dewasa habis dijual di kedai tersebut.

Sambutan yang diterima oleh Ronaldo, 24, jauh lebih hebat daripada seorang lagi bintang baru Real, Kaka, yang menyertai kelab itu dari AC Milan pada awal Jun lalu.

Sepanjang dua jam selepas sesi memperkenalkan Kaka kepada peminat yang diadakan di Stadium Bernabeu pada 30 Jun lalu, kedai kelab telah menjual 600 jersi bintang Brazil itu, atau bersamaan lima jersi setiap seminit.

Malah, 75,000 penonton membanjiri stadium untuk melihat sesi memperkenalkan Ronaldo, berbanding 55,000 yang hadir untuk menyambut Kaka.

Ronaldo menyertai Real Madrid dari kelab Liga Perdana England, Manchester United Jun lalu dengan kontrak enam tahun dan perjanjian bernilai 80 juta pound (RM458 juta).

Pemain Terbaik Dunia itu dilaporkan menerima bayaran 13 juta euro (RM64.3 juta) setiap musim, menjadikannya penerima gaji tertinggi di dunia.

Dalam satu temu bual yang dikeluarkan AS semalam, bintang Portugal itu berkata, harga yang dibayar untuk perpindahannya adalah munasabah.

Real Madrid merupakan kelab bola sepak terkaya di dunia, mengatasi Manchester United dan Barcelona, berdasarkan laporan firma penasihat kewangan antarabangsa, Deloitte.

Kelab tersebut menerima pendapatan hasil penjualan jersi dan cendera hati lain dan keuntungan besar mula diperoleh sejak mereka mengamalkan polisi memancing pemain-pemain bintang seperti perancang utama Perancis, Zinedine Zidane dan bintang England, David Beckham pada 2000. - AFP

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: