Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau yakin mesyuarat hari ini, yang pertama dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri akan membuat beberapa perubahan dan pembaharuan kepada barisan kepemimpinan Umno.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rombakan yang dijangka dilakukan itu juga dibuat sejajar hasrat untuk memperkukuh, memperkuat dan mempertingkat prestasi serta pencapaian parti pada masa depan.
“Kita tunggulah esok (hari ini). Presiden akan umumkan dan pastinya ada perubahan kerana biasanya selepas pemilihan parti, wujud pembaharuan.
“Apa yang penting, kita perlu memperkukuhkan parti kita dan semua yang dibuat sebenarnya hanya bertujuan memperbaiki serta memperkukuh prestasi Umno,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Mesyuarat MT petang ini akan membuat pengumuman mengenai barisan kepemimpinan baru Umno di peringkat negeri serta pelantikan beberapa jawatan utama di peringkat Pusat.
Dalam mesyuarat hari ini, Najib dijangka mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan Umno selain 10 Ahli Majlis Tertinggi (MT) tambahan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Umno.
Difahamkan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan kekal sebagai Setiausaha Agung parti tetapi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mungkin digantikan oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Najib juga dijangka mengumumkan barisan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang baru selain membincangkan isu sama ada Barisan Nasional (BN) akan ertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
“Keputusan bertanding akan diputuskan esok (hari ini) pada mesyuarat MT dan pada mesyuarat itu pandangan semua pihak akan diambil kira. Lepas ini, pimpinan BN yang akan beri (maklum balas) kepada Perdana Menteri.
“Kita tidak pernah takut kepada sesiapa, pilihan raya biasa kita lalui... menang atau kalah adat pertandingan,” katanya mengulas kenyataan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa BN enggan meletakkan calon kerana takut kalah.
Sementara itu Muhyiddin mahu kepemimpinan Umno Terengganu termasuk semua ketua bahagian dan wakil rakyatnya berhenti dari sikap suka mengkritik secara terbuka, sebaliknya berusaha berkhidmat sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.
Katanya, beliau dan Perdana Menteri sudah memahami kemelut yang berlaku di negeri itu dan akan berusaha untuk mengatasi masalah berkenaan secepat mungkin tetapi yang penting kini adalah usaha dari pemimpin parti berkenaan menjaga kebajikan rakyat. “Kita sudah lebih faham situasi di sana dan pastinya Presiden tahu apa yang akan dibuat untuk memperkukuh kepimpinan di sana sebab Terengganu negeri BN dan orang Terengganu sudah bagi sokongan kepada kita untuk bentuk kerajaan.
“Kita kena jalankan kerja, apa yang perlu diberi perhatian, pemimpin parti termasuk wakil rakyat adalah kebajikan dan kepentingan rakyat, itu yang PM sebut, apa saja isu dan masalah, kita tidak mahu bincang secara terbuka,” katanya.
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment