59 Kes Terbaru H1N1

Leave a Comment
Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif virus Influenza A(H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1. Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko. “Penularan H1N1 bukan saja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai simptom ILI seperti deman, batuk, selsema dan sakit tekak mengelakkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi dan kematian. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my. Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-888-10200 dan 03-888-10300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam. - Bernama
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: