Asrama Konsep 1Malaysia Untuk Pelajar Semua Kaum

Leave a Comment
Kerajaan akan mewujudkan sebuah asrama berkonsep 1Malaysia di Lembah Klang untuk menempatkan pelajar yang menghadapi tekanan sosial di rumah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, asrama itu akan menempatkan pelajar pelbagai bangsa membabitkan pelajar sekolah menengah di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kaum India, di Jabatan Perdana Menteri, di sini, sebentar tadi.

Berita Harian
Read More

Persiapan Menghadapi Gelombang Kedua

Leave a Comment
Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan Influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru agar semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

“Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut. Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini,” katanya. - Bernama

Read More

Air Di Bulan

Leave a Comment
Saintis India kini berada di atas bulan selepas pesawat angkasa sulung India, Chandrayaan-1, telah disahkan menjumpai air di atas permukaan bulan.

Di Bangalore, yang menjadi tempat tinggal bagi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO), pengerusi agensi itu G. Madhavan Nair berkata, alat Moon Impact Probe (MIP) milik India di dalam pesawat Chandrayaan, membuat penemuan yang mengkagumkan itu.

“Penemuan bersejarahnya ialah Chandrayaan-1 telah menemui air di atas bulan. Kami percaya ia merupakan penemuan yang membuka laluan.

“Kuantiti air adalah lebih daripada yang kami jangkakan. Data yang diambil daripada Chandrayaan-1 adalah satu fenomena, ia mungkin mengambil masa enam bulan hingga tiga tahun untuk dianalisis,” kata Nair.

Semalam, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Nasional Amerika (NASA) mengumumkan bahawa alat Moon Mineralogy Mapper (M3), yang dibawa oleh Chandrayaan, di bawah projek bersama oleh NASA dan ISRO pada Oktober lalu menjumpai air di atas permukaan bulan. - Bernama

Read More

Perubahan Terminal Puduraya

Leave a Comment
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bangga dengan perubahan besar di Terminal Puduraya yang kini jauh lebih selesa walaupun pengubahsuaiannya hanya mengambil masa yang singkat.

Dalam lawatan mengejut keduanya ke perhentian bas itu hari ini, beliau gembira kerana kerajaan dan pihak pengurusan terminal berkenaan, UDA Holdings Bhd (UDA), telah mengambil langkah sewajarnya untuk memberi wajah baru kepada terminal itu dalam tempoh 51 hari sahaja.

"Saya percaya mereka yang menggunakan Terminal Puduraya ini akan rasa keadaan jauh lebih baik dan lebih selesa sekarang," katanya ketika meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di Terminal Puduraya di sini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Dalam lawatan pertamanya ke perhentian bas itu pada 25 April lalu, Perdana Menteri mengarahkan kemudahan sedia ada di hentian bas itu diperbaiki bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Najib berkata, sejumlah RM52 juta diperuntukkan untuk tujuan pengubahsuaian keseluruhan Terminal Puduraya bagi menjadikannya sebuah terminal bas moden serba lengkap, selesa serta mampu memberikan perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat.

Beliau berkata, pengubahsuaian yang telah siap kini adalah fasa pertama yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM4.2 juta.

"Fasa kedua (pengubahsuaian) akan menyusul dan dalam jangka masa setahun lebih, Insya-Allah tempat ini akan berubah dengan radikal sekali," katanya yang mengakui akan melawat lokasi itu lagi selepas pengubahsuaian fasa kedua selesai.

Antara perubahan yang boleh dijangkakan ialah kawasan menunggu untuk penumpang akan diluaskan tiga kali ganda, lot kedai serta kawasan sekitar terminal diperindah dan dipermodenkan.

Mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas, Najib berkata keputusan mengenai projek berkenaan akan dibuat tidak lama lagi.

Katanya, projek itu kini di bawah Majlis Ekonomi Negara (EPU).

Projek Plaza Rakyat yang bernilai RM1.2 bilion telah diabaikan selama 12 tahun selepas beberapa kali bertukar tangan. Pemaju sekarang ialah Global Upline.

Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat - untuk ruang pejabat, kondominium dan hotel murah. - Bernama

Read More

09.09.09

1 comment
Tarikh hari ini merupakan yang paling unik sekali. Aku pun dah memulakan kerja & aku harapkan berjaya melakukannya untuk kebaikan semua. Perjalanan perlu diteruskan untuk mencapai apa yang dihajati. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Amin....
Read More

Sesi Persekolahan 2010

Leave a Comment
Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Januari, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.

"Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 September, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Januari 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 September, dan cuti akhir tahun dari 20 November hingga 2 Januari 2011," katanya.

Alimuddin berkata, jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari. - Bernama
Read More

Najib Lulus Projek RM8.9 juta Untuk Manek Urai

Leave a Comment
Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Perdana Menteri berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pas pada pilihan raya kecil itu namun kelulusan projek itu sebagai bukti Kerajaan Pusat menepati janji dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya telah meluluskan pembinaan jambatan dua hala yang menghubungkan Manik Urai Baru dan Manik Urai lama yang berjumlah RM8 juta.

"Saya juga meluluskan projek pembaikan Masjid Temalir berjumlah RM600,000 dan pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor bernilai RM300,000," katanya berucap pada majlis beramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.


Seramai 4,000 penduduk Kuala Krai dan Manek Urai datang ke majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Najib berkata, kelulusan projek itu sebagai menepati janji yang dibuat kerana baginya pengundi telah mencuba sedaya-upaya untuk memberikan sokongan yang penuh bagi memastikan pilihan raya kecil DUN Manek Urai berpihak kepada BN.

Namun, katanya, walaupun Pas menang tetapi mereka susut dalam mendapatkan sokongan rakyat disebabkan kesungguhan pengundi sehingga Pas hanya mendapat 65 majoriti undi.


Dalam pilihan raya kecil itu, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, mendapat 5,348 undi manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, memperoleh 5,283 undi.

Najib berkata, sebelum pilihan raya kecil itu, beliau berjanji akan turun ke Manek Urai jika BN menang.

"Kita cuma perlukan 33 undi. Kalau 33 undi beralih kepada Barisan Nasional kita pasti menang. Tapi walaupun tidak menang saya anggap kita sudah menang dalam pilihan raya kecil Manek Urai," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau datang untuk mengulangi pendirian kerajaan pusat bahawa untung nasib rakyat Kelantan dan Malaysia bergantung kepada pengarahan serta halatuju kerajaan.

"Pengarahan dan hala tuju kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis," katanya.

Najib berkata berdasarkan teras itu, Umno yang juga parti utama mentadbir negara, telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, berlandaskan pegangan itu, Umno terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju. - Bernama
Read More

Penduduk Kampung Buah Pala Akur

Leave a Comment
Setelah bekeras menghalang rumah mereka dirobohkan, penduduk Kampung Buah Pala di sini akhirnya bersetuju berbincang lebih lanjut dengan pemaju berhubung tawaran untuk berpindah bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran berkata, penduduk terpaksa akur dengan arahan mahkamah supaya mengosongkan tanah itu yang dimiliki sebuah koperasi.

“Kami kecewa dengan keadaan ini dan terpaksa menerima tawaran pemaju,” katanya kepada pemberita ketika kerja meroboh empat daripada 23 rumah di situ dijalankan hari ini.

Sugumaran berkata, penduduk di kampung itu meminta tempoh untuk berbincang lebih lanjut bagi mendaptakan penyelesaian sebelum mereka berpindah.

Keadaan di kampung itu pagi ini kecoh seketika apabila pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd., hendak memulakan kerja meroboh rumah di situ.

Pengarah Nusmetro, Gary Ho berkata, sepatutnya syarikat itu merobohkan 12 buah rumah hari ini tetapi ekoran kekecohan yang berlaku pada awalnya hanya empat rumah dapat dirobohkan.

Penduduk dan beberapa pihak luar bertindak membuat benteng manusia bagi menghalang pemaju untuk melakukan kerja meroboh rumah.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Ho turut dipukul sehingga menyebabkan lebam di lutut dan cedera di bahagian badan lain.

“Saya akan pergi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Lebih 100 pegawai dan anggota polis terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkumpul di kawasan kampung itu seawal 7 pagi selain turut menempatkan sebuah balai polis bergerak.

- BERNAMA

Read More