Keputusan Pemilihan ke SBP 25 Disember

Keputusan pemilihan dan penempatan pelajar Tingkatan Satu di sekolah berasrama penuh (SBP) tahun depan akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web kementerian iaitu www.moe.gov.my. "Murid Tingkatan Satu SBP dijangka akan mendaftarkan diri di kesemua 53 SBP yang ditawarkan pada 11 Jan depan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Alimuddin berkata, 95,826 permohonan diterima berhubung perkara tersebut, manakala hanya 6,600 tempat saja yang boleh ditawarkan. Beliau berkata, kementerian masih mengekalkan dasar 70/30, iaitu 70 peratus tempat dikhususkan untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus lagi untuk murid sekolah bandar. Katanya, keutamaan akan turut diberikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK), di mana mereka akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, bayaran makanan dan keperluan asrama.
"Melalui pendekatan ini murid-murid berpeluang untuk menikmati kemudahan pembelajaran yang sewajarnya supaya mereka dapat berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat, serta sesuai dengan konsep pendidikan untuk semua yang menjadi matlamat utama pendidikan negara," katanya. Menurut rekod, katanya, seramai 5,794 atau 17.6 peratus daripada 32,836 murid di SBP sehingga Oktober tahun ini telah diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna.
Alimuddin berkata, pengetua SBP juga telah diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing, dan mereka akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan (niche area) sekolah. "Sebagai contoh sekiranya kebitaraan sekolah ialah bidang muzik, maka murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temuduga serta menjalankan proses-proses pemilihan oleh pihak sekolah," katanya. - Bernama
Tag : Education
0 Komentar untuk "Keputusan Pemilihan ke SBP 25 Disember"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top