Persiapan Menghadapi Gelombang Kedua

Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan Influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru agar semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

“Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut. Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini,” katanya. - Bernama

Tag : Medic
0 Komentar untuk "Persiapan Menghadapi Gelombang Kedua"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top