Tiada Pemberian Tunai Dalam Pakej Rangsangan Kedua

Leave a Comment
Kerajaan tidak menyediakan pemberian wang tunai kepada rakyat di dalam pakej rangsangan ekonomi kedua, kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

"Pakej yang menyaksikan kerajaan menyediakan sejumlah wang yang besar bagi membiayai aktiviti ekonomi adalah semata-mata untuk memulihkan ekonomi negara.

"Antara penerima faedah utama (pakej rangsangan) adalah syarikat besar yang boleh membuka peluang pekerjaan dan perniagaan serta pada masa sama mengelakkan pemberhentian pekerja.

"Apabila mereka kembali pulih, syarikat ini boleh membayar cukai kepada kerajaan," katanya semasa perjumpaan pemimpin bersama rakyat di Pakan, dekat sini, bagi menjelaskan salah tanggapan penduduk luar bandar mengenai pakej rangsangan berkenaan.

Salang berkata, rakyat biasa turut mendapat manfaat menerusi pendapatan yang diperoleh daripada cukai kerana kerajaan boleh membiayai lebih banyak projek pembangunan atau menyediakan subsidi.

Beliau berkata, dengan keadaan kegawatan ekonomi sekarang, banyak kerajaan di dunia mengadakan pakej rangsangan ekonomi masing-masing.

Salang memberi jaminan kepada penduduk luar bandar bahawa kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kebajikan mereka semasa keadaan sukar ini, seperti memberikan rebat petrol kepada pemilik bot panjang. - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: