Pernikahan Rita Rudaini, Aidil Zafuan sah

Pelakon, Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar mampu tersenyum puas hari ini apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak di Songkhla, Thailand tahun lalu adalah sah dari segi hukum syarak.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin memutuskan demikian selepas beliau berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pasangan tersebut kepada mahkamah.

Antara dokumen tersebut ialah surat pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, dokumen perjalanan Rita Rudaini dan suami serta surat nikah daripada Pejabat Agama Islam Wilayah Songkhla.

Mereka yang diwakili peguam syarie, Boestamam Ahmad bagaimanapun dikehendaki mendaftarkan pernikahan mereka di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketika ditemui selepas selesai prosiding yang dijalankan di kamar hakim, pasangan itu mengucapkan rasa syukur dan gembira kerana segala urusan pengesahan pernikahan mereka telah selesai.

Mengenai kelewatan mengesahkan perkahwinan mereka, Rita yang kini sedang mengandung anak pertama memberitahu, ia adalah disebabkan masing-masing agak sibuk dengan kerjaya dan bukan sengaja melewatkan pengesahan tersebut.

''Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Sekarang, mahkamah dah beri arahan untuk mendaftarkan pernikahan di JAWI.

''Pasal denda (lewat mengesahkan perkahwinan) kena tunggu apa kata JAWI. Apa pun, semua dah selesai. Terima kasih kepada pihak mahkamah dan semua,'' ujar Mohamad Aidil yang dilihat tidak lekang daripada memegang tangan Rita.

Pasangan itu bernikah di Songkhla pada 25 Februari lalu dan dinikahkan oleh Naib Kadi Wilayah Songkhla, Chowalit Pinsuwan.

Sementara itu, Rita memberitahu, dia akan berehat daripada bidang lakonan sehingga habis pantang bersalin.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja habis pantang, dia akan mula menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Menjawab pertanyaan mengenai kandungannya yang kini berusia enam bulan, Rita memberitahu, mereka berdua masih belum mahu mengetahui jantina bayi mereka dan ingin menunggu sehingga kandungan berusia lapan bulan.

Sumber : Utusan Malaysia

Tag : Celebrities
0 Komentar untuk "Pernikahan Rita Rudaini, Aidil Zafuan sah"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top