Penantian sepasang suami isteri, Norbazilah Amin, 27, dan
Mohd. Sazalee Mohd. Hilal, 35, untuk memiliki cahaya mata sejak tiga tahun lalu
berbaloi apabila dikurniakan kembar empat pada 14 Oktober lalu.
Kembar empat tidak seiras itu, terdiri daripada tiga
perempuan iaitu Sherlea, Seliesha, Shazrica dan seorang lelaki Shazrick
dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menceritakan pengalaman mengandung dan melahirkan
keempat-empat mereka, Norbazilah, yang bekerja sebagai jururawat di PPUM
terpaksa mengambil cuti setahun sepanjang tempoh itu.
"Ini kerana kesihatan yang tidak menentu dan dalam
tempoh itu saya sering berulang-alik ke PPUM untuk mendapat pengawasan rapi
daripada doktor.
"Saya tidak boleh makan dan hanya minum untuk mengalas
perut yang lapar. Akhirnya saya bersalin menerusi pembedahan pada usia
kandungan mencecah tujuh bulan empat hari," katanya ketika ditemui pada
majlis cukur jambul bayi kembar empat itu di rumah ibu bapanya di Taman Sri
Mas, di sini semalam.
Menurutnya, kesukaran bermula pada minggu ke-10 kehamilan
sehingga saat untuk bersalin dan selepas itu melalui pula pengalaman baru
menguruskan semua anaknya.
"Meskipun pada mulanya agak kelam-kabut kerana
anak-anak saya akan terjaga selang 10 minit setiap seorang untuk minum susu,
tetapi sekarang sudah biasa ditambah pula suami banyak membantu," katanya.
Mereka memperoleh empat bayi sekali gus selepas menjalani
rawatan permanian beradas (IUI) di PPUM selepas tiga tahun tidak dikurniakan
cahaya mata.
Bagaimanapun, doktor memberitahu bahawa potensi untuk hamil
dengan cara itu hanya 10 peratus tetapi dia amat terkejut selepas usia
kandungan mencecah lapan minggu apabila dimaklumkan mengandung bayi kembar
empat.
Pasangan berkenaan bersyukur dikurniakan empat cahaya mata
yang mempunyai karakter berbeza dan kini menjadi penyeri rumah tangga mereka.
Norbazilah dan suami yang menetap di Pangsapuri Mentari
Court, Petaling Jaya, Selangor terpaksa membawa empat bayi tersebut ke kediaman
bapanya, Amin Zainal Abidin, 62, dan ibu, Rohana Sintal, 55, untuk dijaga oleh
mereka.
"Saya tidak punya pembantu rumah dan
terpaksa membawa semua bayi saya ke kampung supaya ibu bapa saya dapat membantu
menjaganya," katanya.
Sumber : Utusan
0 comments:
Post a Comment