Inter Milan Resah Pertahanan Goyah

Leave a Comment

Inter Milan berharap dapat memperbaiki bahagian pertahanan mereka apabila menjadi tuan rumah kepada Schalke 04 pada perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di San Siro, hari ini.

Kerapuhan benteng pertahanan merupakan satu aspek yang ketara ketika kalah 0-3 dalam pertembungan derby Serie A kepada AC Milan, Sabtu lalu.

Selain daripada melepaskan tiga gol, Inter mampu memberikan tentangan menerusi serangan balas ke kubu Milan.

Ia merupakan musim yang sukar buat bahagian pertahanan Inter yang kehilangan pertahanan tengah Walter Samuel, yang cedera ligamen lutut sejak awal musim lagi.

Samuel dan pemain Brazil, Lucio merupakan asas kepada kejayaan treble Inter musim lalu.

Lucio juga tidak dapat membantu Milan kerana digantung perlawanan namun pemain itu yang dijangka diturunkan semula apabila menentang kelab Jerman itu hari ini, pastinya menjadi suntikan semangat buat Inter.

Selain itu, jurulatih Leonardo percaya Andrea Ranocchia, yang menyertai kelab itu dari Genoa Januari lalu sebagai pembantu kepada Samuel, mempunyai potensi untuk kekal lama di peringkat kelab dan skuad kebangsaan.

"Ranocchia telah melakukan segala-galanya dengan baik tahun ini, dia mengorak langkah sejak Januari lalu.

"Dia mempunyai masa depan yang cerah di Inter dan pasukan kebangsaan Itali. Perlawanan menentang Milan merupakan ujian terhadap kematangannya dan dia melakukannya dengan baik,'' kata Leonardo.

Sementara itu, Schalke juga kian bersemangat dengan jurulatihnya Ralf Rangnick berazam untuk membenam lawan mereka.

"Dengan prestasi kami ketika ini, kami boleh mempamerkan permainan berkualiti di padang sendiri atau padang lawan,'' katanya.

Cuma Schalke berdepan sedikit masalah kecederaan pemain pertahanan Christoph Metzelder yang patah hidung ketika perlawanan Bundesliga menentang St. Pauli pada Jumaat lalu. - AFP

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: