Program Penempatan Pekerjaan (3P) Kementerian Sumber Manusia

Leave a Comment
Sebanyak 22 buah lagi pusat mencari pekerjaan akan diwujudkan oleh Kementerian Sumber Manusia di lokasi strategik di seluruh negara menjelang September ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Senator Maznah Mazlan berkata, jumlah tersebut merupakan penambahan kepada 80 pusat yang telah dibuka sebagai langkah membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai terutama di kalangan siswazah menganggur.

''Tambahan pusat mencari pekerjaan atau job centre akan diwujudkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti di kompleks membeli-belah dan terminal bas.

''Sebagai permulaan, sebuah pusat mencari kerja akan diwujudkan di Jalan Kebun Sultan, di sini September ini bagi memudahkan urusan pertemuan antara pencari kerja dengan majikan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan (3P) peringkat negeri di Pusat Dagangan Kelantan, di sini sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (1) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed; Pengarah Tenaga Kerja Kelantan, Pezman Che Hussin; Pengarah Tenaga Kerja Pahang, Mohd. Sazali Keteh.

Maznah menambah, pendekatan ini memberi peluang kepada majikan mencari pekerja di sebuah pusat khas itu diharap dapat melancarkan urusan pengambilan kakitangan oleh majikan.

Katanya, projek penambahan pusat mencari pekerjaan membabitkan peruntukan RM70 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi termasuk pengubahsuaian premis, sewa, penempatan kakitangan, promosi dan sebagainya.

Kerjasama di antara majikan dengan pusat pencari pekerjaan di bawah pemantauan kementerian dijangka akan menawarkan lebih banyak peluang kepada pencari kerja di samping memudahkan pihak majikan mengenal pasti melalui kecenderungan dan minat pemohon.

''Sambutan terhadap program 3P tersebut amat menggalakkan apabila lebih 1,500 pencari kerja mengunjunginya pada hari pertama semalam dan dijangka antara 3,000 hingga 5,000 orang pada hari ini.

''Program ini dilancarkan serentak di seluruh negara dan akan diadakan setiap hari Sabtu minggu kedua dan keempat bagi memberi peluang orang ramai mendapatkan pekerjaan di pelbagai syarikat dan agensi.

''Mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan boleh melayari www.jobsmalaysia.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sistem penjodohan pekerjaan ini," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: