RM3,293.90 untuk tiket akhir Piala Dunia

Leave a Comment
Kepada yang fanatik terhadap bola sepak, adakah anda bersedia untuk membayar RM3,293.90 untuk harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia?

Jika jawapan anda ya, anda sudah boleh bersiap sedia untuk ke Johannesburg bagi menyaksikan kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010.

Ini berikutan AS$900 (RM3,293.90) merupakan harga tiket bagi perlawanan akhir manakala AS$80 (RM292.96) pula merupakan harga tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan seperti yang diumumkan oleh penganjur kelmarin.

"Kami menganggarkan tiket akan habis dijual. Kami hanya ingin mengedarkan tiket-tiket itu secara adil," kata Pengerusi Jawatankuasa Tiket FIFA, David Will, menjelang penjualan rasmi tiket kejohanan itu hari ini.

Tiket yang paling mahal untuk perlawanan pembukaan untuk tempat duduk stadium kategori satu - terletak di tepi padang - ialah A$450 (RM1,645.86).

Tiket separuh akhir pula akan dijual dengan harga AS$600 (RM2,194.48) dan kos untuk perlawanan akhir pula ialah RM3,293.90.

"Kami tidak pasti apakah impak harga tiket itu terhadap kegawatan ekonomi global sekarang," kata konsultan FIFA untuk Piala Dunia, Hirst Schmidt.

"Apa yang kami tahu ialah peminat bola sepak tidak kisah semua itu, mereka tetap mahu menyaksikan aksi pasukan mereka dengan apa saja kos," tambahnya.

Tiket-tiket itu akan dijual dengan tidak fasa jualan: cabutan secara rawak, siapa cepat dia dapat dan jualan akhir.

"Alasan untuk kami adakan fasa jualan ini adalah bagi membolehkan semua jenis permintaan dilayan selain melihat berapa banyak tiket yang dapat dijual mengikut beberpa peringkat," kata FIFA.

Permohonan untuk fasa satu, jualan secara rawak akan ditutup pada 31 Mac ini manakala cabutannya akan diadakan pada 15 April.

Cabutan untuk jualan akhir akan diadakan pada 1 Februari tahun depan.

"Piala Dunia akan tiba, jadi tidak akan ada cakap-cakap mengenai Pelan B," kata Ketua Pegawai Eksekutif jawatan Kuasa Penganjur, Danny Jordaan.

Buat pertama kami dalam sejarah kejohanan bola sepak tertinggi dunia, FIFA telah mengasingkan 120,000 tiket dengan harga diskaun untuk penduduk Afrika Selatan termasuk 40,000 tiket percuma untuk para pekerja binaan stadium.

Tarikh akhir FIFA untuk menyiapkan 10 stadium bagi perlawanan itu adalah pada 15 Oktober ini.

"Jika stadium ini siap lebih cepat, ia akan membantu untuk mendapatkan jumlah sebenar tiket yang boleh dijual, setakat ini kami boleh menganggarkan kira-kira tiga juta tiket akan dijual," kata Will.

Penduduk Afrika Selatan juga boleh membeli tiket dengan mata wang domestik, rand, dengan nilai tukaran yang tetap di semua cawangan First National Bank, yang merupakan salah satu penaja kejohanan. - AFP

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: