Suasana Pilu Ketibaan Jenazah Pelajar Dari Russia

Leave a Comment

Suasana Pilu Ketibaan Jenazah Pelajar Dari Russia

Suasana pilu di surau Al-Iman di Presint 9 sebaik ketibaan jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Russia.

Anggota keluarga dan jiran serta kenalan mangsa yang mula berkumpul sejak awal lagi di surau tersebut kelihatan sayu sebaik jenazah tiba jam 12.40 malam tadi.

Jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.05 malam tadi dengan pesawat Emirates Airlines dari Dubai bersama jenazah seorang lagi pelajar Malaysia yang juga mangsa kemalangan sama iaitu Hanisah Muhd. Shah.

Jenazah Adzreen yang merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudian dibawa ke surau tersebut untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini.

Manakala jenazah Hanisah iaitu pelajar tajaan Mara pula dibawa ke Dungun, Terengganu untuk urusan pengebumian.

Dalam kemalangan tersebut, Hanisah dan Adzreen maut manakala lima lagi pelajar cedera apabila van yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van lain.

Kesemua mereka adalah pelajar Tahun 5 di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod dan sedang dalam perjalanan dari Moscow ke Nizhny selepas pulang bercuti di Malaysia ketika kemalangan maut itu berlaku.
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: