KIRA-kira 1,000 peminat menyambut ketibaan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang mengutip pingat perak kedua dalam Sukan Olimpik, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi hari ini.
Ruang balai ketibaan KLIA dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera 'LCW - National Hero' dan 'We Love You LCW'.
Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' secara beramai-ramai.
Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali.
Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' dan menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.
Chong Wei turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Olimpik yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.
0 comments:
Post a Comment