Bekalan Daging, Ayam dan Telur cukup untuk Aidilfitri

Leave a Comment
 Bekalan Daging, Ayam dan Telur cukup untuk Aidilfitri

Bekalan daging, ayam dan telur untuk musim perayaan Aidilfitri dijamin mencukupi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Beliau berkata, pada masa sama Jabatan Veterinar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memantau keperluan daging, ayam, telur dan barangan keperluan harian lain adalah mencukupi dan dijual pada harga berpatutan.

``Kementerian telah mengambil langkah proaktif kerana menjangka permintaan pada musim perayaan akan meningkat,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bubur lambuk untuk orang ramai di persimpangan lampu isyarat Taman Tengku Maheran Bandar Darulaman di sini lewat petang semalam.

``Secara umum bekalan daging ayam bertambah satu hingga dua peratus iaitu 11 juta ekor seminggu sebelum perayaan, 11.1 juta ekor seminggu pada musim perayaan dan 11.2 juta ekor seminggu selepas perayaan,'' katanya.

Beliau berkata, harga pasaran ayam dijangka berada pada paras RM3.60 satu kilogram (harga ladang) dan harga runcit ayam standard RM5.90 sekilogram manakala harga runcit ayam super iaitu tanpa kaki, kepala, hati dan pedal RM6.60 sekilogram.
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: