Pudu Sentral Ganti Nama Terminal Bas Puduraya

Leave a Comment
Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru saja di naik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet selepas bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.
" Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini hari ini.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral," katanya.

Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lalu, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu di naik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambil kira keselamatan awam selepas ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV). CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Sumber : Berita Harian
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: