Jepun Rugi RM639 bilion Akibat Tsunami

Leave a Comment

Bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu memusnahkan bangunan serta infrastruktur bernilai 16.9 trilion yen (RM639 bilion), lapor kerajaan hari ini.

Jumlah tersebut tidak termasuk kos kerosakan akibat kemalangan loji nuklear Fukushima yang terjadi selepas berlaku bencana tersebut.

Anggaran yang dibuat oleh pejabat Kabinet itu juga tidak termasuk kos-kos lain seperti bayaran ganti rugi bagi mangsa bencana dan orang yang dipindahkan.

Ia meliputi kerosakan struktur ke atas loji nuklear Fukushima Daiichi dan kemudahan nuklear yang lain, tetapi tidak termasuk kos akibat kebocoran radiasi seperti kesan ke atas pertanian, perikanan dan pelancongan.

Bencana di timur laut Jepun itu yang menyebabkan seramai 23,000 orang terkorban atau hilang, memusnahkan rumah, kedai, bangunan pejabat dan kilang yang dianggarkan bernilai 10.4 trilion yen (RM393 bilion).

Kesan terhadap kerosakan sistem air, gas, tenaga elektrik dan rangkaian telekomunikasi pula dianggarkan bernilai 1.3 trilion yen (RM49 bilion).

Kerosakan infrastruktur lain termasuk sungai, jalan raya, pelabuhan, sistem pembetungan, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan dianggarkan bernilai 5.2 trilion yen (RM197 bilion).

Anggaran itu jauh melebihi jumlah kerosakan akibat gempa bumi Hanshin berjumlah 9.6 trilion yen (RM363 juta) yang memusnahkan pelabuhan Kobe dan turut mengorbankan sehingga 6,400 nyawa.

Sumber : Utusan

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: