Tiada Lagi Misbun Sidek

Leave a Comment

Penamat gembira yang diharapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada kemelut berpanjangan melibatkan Datuk Misbun Sidek bagaimanapun berakhir dengan kejutan, apabila jurulatih itu menolak tawaran kontrak baru sebagai jurulatih kebangsaan biarpun telah membatalkan keputusan meletak jawatan pada awal bulan ini.

Penolakan tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh kelmarin tanpa menyatakan alasan di sebalik keputusan itu, namun dipercayai, skop tugas baru yang ditawarkan BAM kepada Misbun antara yang mendorongnya untuk tidak kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Dalam tawaran baru yang dicadangkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM (C&T) pada pertengahan bulan lalu, Misbun tidak lagi akan melatih anak emasnya iaitu jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya diberi cabaran menaikkan sekumpulan pemain-pemain pelapis, termasuk anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun.

Jurulatih berpengalaman itu turut diberi sasaran melahirkan pemain untuk Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016, selain ditawar gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya: "Gaji baru itu mengambil kira kenaikan harga minyak," ujar Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat exco di Bukit Kiara, semalam.

Menurut Tengku Kamil, beliau tidak dapat menjelaskan faktor yang mendorong Misbun menolak tawaran BAM kerana jurulatih tersebut langsung tidak membincangkannya dalam surat yang diberi kepada Presiden.

"Namun mengakui ia agak mengejutkan kerana jurulatih itu sendiri yang bertindak membatalkan peletakan jawatan pada awal bulan ini, dan keputusan itu telah diterima majlis BAM.

"Beliau hanya kata menolak tetapi tidak cakap mengapa, jadi kami tidak tahu sebabnya.

"Secara peribadi, ia agak mengejutkan exco kerana pada kami kehadirannya mampu membantu menaikkan pemain muda dan melahirkan pengganti Lee Chong Wei.

"Misbun sudah lama dalam skuad kebangsan, dan dengan adanya beliau, kami boleh sama-sama membangunkan badminton.

"Namun, kami menghormati dan menerima keputusan beliau, malah kami merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan besar yang telah diberi kepada negara sepanjang di BAM,'' kata Tengku Kamil lagi. Misbun gagal dihubungi untuk mengulas mengenai keputusannya.

Setiausaha BAM, Ng Chin Chai, yang juga pengerusi C&T berkata, badan badminton negara itu tidak bercadang untuk mencari jurulatih baru bagi mengisi peranan yang pada awalnya ditawarkan kepada Misbun, sebaliknya akan kekal dengan struktur sedia ada.

Bagaimanapun beliau tetap akan membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat C&T akan datang kerana barisan jurulatih kebangsaan yang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza.

"Ketika ini, saya tidak nampak keperluan untuk mencari jurulatih baru kerana kita boleh meneruskan program sedia ada, tetapi memandangkan keputusan Misbun baru diketahui hari ini, mungkin jurulatih lain mempunyai pandangan mereka dalam hal ini,'' kata Chin Chai.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: