TM Lancar Pakej Jalur Lebar Dan Netbook Kos Rendah

1 comment
Telekom Malaysia Bhd (TM) mengambil inisiatif memperkenalkan pakej jalur lebar dengan netbook khusus untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Pakej baru itu yang dipanggil pakej jalur lebar TM dengan komputer 1Malaysia akan menawarkan keluarga berpendapatan rendah gabungan netbook dan akses jalur lebar Streamyx dari hanya RM38 sebulan untuk tempoh 24 bulan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, inisiatif jalur lebar negara akan memastikan semua rakyat Malaysia sama ada di kawasan pinggir bandar, pedalaman atau terpencil, mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

Katanya, kerajaan sedang cuba mengatasi isu kemampuan dengan menawarkan perkhidmatan jalur lebar yang mampu dimiliki kepada segmen masyarakat yang memerlukannya.

"Dengan jalur lebar, rakyat mempunyai akses kepada Internet, maklumat dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosialnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pakej jalur lebar dan netbook di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.
Katanya, ini bagi memastikan penduduk kawasan pedalaman tidak ketinggalan daripada arus teknologi komunikasi maklumat nasional.

"Saya memang teruja dengan pengenalan pakej kos rendah yang menarik ini, dengan komputer peribadi dan langganan untuk individu dan isi rumah yang dibekalkan oleh TM.

"Dengan ini, komuniti pedalaman di kawasan yang sukar dicapai sebelum ini, kini sudah boleh menggunakan jalur lebar untuk mendapatkan maklumat berguna dan mengakses kepada perkhidmatan di hujung jari mereka,” katanya. - Bernama
Read More

Cahaya Ganjil Di Barat Kanada

Leave a Comment
GAMBAR menunjukkan lingkaran cahaya aneh yang dirakamkan sebuah kamera milik Steven Murray.

Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.


Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba.


Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.


"Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini," kata Murray.


"Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat," tambahnya.


Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi ia kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.


Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan ia adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer. - Agensi


Sumber : Kosmo
Read More

Mourinho Sah ke Real Madrid

Leave a Comment
Kejayaan menamatkan kemarau 45 tahun Liga Juara-Juara bagaimanapun tidak disambut dengan begitu gembira oleh Inter Milan selepas mengesahkan jurulatihnya, Jose Mourinho akan meninggalkan mereka.

Mourinho dilaporkan akan bertemu dengan pengurusan Real Madrid hari ini untuk merundingkan perpindahan yang mencecah 10 juta euro (RM40.05 juta). - AP
Read More

Chamakh Sah Sertai Arsenal

Leave a Comment
Penyerang kelab Bordeaux dari Perancis, Marouane Chamakh yang dikaitkan dengan kelab bimbingan Arsene Wenger, Arsenal, bakal mendapatkan khidmat pemain itu dengan yuran perpindahan percuma apabila kontraknya tamat. Pemain berusia 26 tahun itu turut mendedahkan Liverpool, Tottenham Hotspur dan Arsenal sudah berhubung dengannya bagi merealisasikan perpindahan beliau ke Liga Perdana Inggeris musim depan.

“Tanpa ragu-ragu, Arsenal adalah kelab pilihan saya. Sasaran saya untuk menyertai Arsenal berbanding kelab Liga Perdana Inggeris yang lain adalah kerana ia kelab impian saya dan sudah menjadi peminat mereka sejak kecil lagi,” katanya yang menjaringkan 79 gol dalam tempoh lapan tahun di Bordeaux.

Walaupun Chamakh dilahirkan dan dibesarkan di Perancis, beliau layak menyertai Maghribi menerusi ibu bapanya. Beliau adalah antara pemain Maghribi yang membantu negara itu melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Afrika 2004 dan menjaringkan 27 gol daripada 53 penampilan untuk negaranya. – bbc.co.uk
Read More

Pengawal Keselamatan Istana Kelantan Meninggal Dunia

Leave a Comment
Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohd., 50, yang ditembak ketika dalam perjalanan balik kerumahnya pada 1 Mei lalu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kira-kira pukul 3.25 pagi ini. Keadaan beliau dilaporkan kritikal sejak dua hari lalu selepas organ pentingnya dijangkiti kuman. - Utusan
Read More

59 Kes Terbaru H1N1

Leave a Comment
Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif virus Influenza A(H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1. Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko. “Penularan H1N1 bukan saja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai simptom ILI seperti deman, batuk, selsema dan sakit tekak mengelakkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi dan kematian. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my. Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-888-10200 dan 03-888-10300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam. - Bernama
Read More

KDNK Suku Pertama 2010 10.1 Peratus

Leave a Comment
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar negara pada suku pertama 2010 adalah 10.1 peratus, kadar yang tertinggi sejak tahun 2000, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar sebentar tadi.-Utusan
Read More

Dasar Baru Untuk Guru

Leave a Comment
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru dijangka diumumkan di Kuantan pada Ahad ini sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata dasar itu mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain. "Kementerian sedang menimbang untuk menambah baik dasar bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi," katanya pada majlis dialog dengan guru dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini. Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 di Sarawak.Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata kerajaan mungkin menimbang mengambil penduduk tempatan di kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia. - Bernama
Read More

Wan Aishah (Keturunan Ketujuh Mahsuri)

Leave a Comment
Keturunan ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Nawawi, 23, yang berkahwin dengan jejaka pilihannya, Alee Tongyon, 27, akan diraikan pada Majlis Kembara Kasih oleh Kota Mahsuri Ulu Melaka di sini esok.

Kedua-dua mereka yang melangsungkan perkahwinan di Phuket, Thailand pada 23 April lepas akan diberi sambutan meriah sebaik menjejak kaki di Kota Mahsuri Ulu Melaka di sini tengah hari esok, kata jurucakap penganjur di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mereka tiba di sini semalam dengan diiringi 49 anggota keluarga, termasuk datuknya, Wan Hashim Wan Hussain, 72; ibunya, Sumaini Yaji, 46; dan bapanya, Nawawi Wan Hashim, 46.

Wan Aishah dan Alee serta anggota keluarganya didatangkan khas dari Kampung Kemala, Phuket sempena majlis itu.

Pada majlis itu, pasangan berkenaan akan menghadiri majlis kenduri rakyat di Kota Mahsuri dan majlis persandingan di Kompleks Jeti pelancongan di Kuah. – Bernama
Read More

Teksi Selaju 248 km/j

Leave a Comment

Sebuah teksi yang mampu membawa penumpang ke destinasi mereka dengan kelajuan dua kali ganda lebih pantas beroperasi selama dua hari di Rom baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Teksi itu mencecah kelajuan sehingga 248 kilometer sejam (km/j).

Kereta itu pada asalnya sebuah kereta konsep rekaan firma pereka automotif terkenal, Giugiaro tetapi dipinjamkan selama dua hari untuk dijadikan teksi.

Ia mampu memecut hingga 100 km/j dalam masa cuma empat saat dan penumpang perlu melambaikan tangan dengan pantas jika mereka tidak mahu tertinggal hampir setengah kilometer di belakang kerana lambat menahan teksi berkenaan.

"Bandar raya ini penuh sesak dan hanya helikopter yang dapat membawa anda ke tempat ditujui dengan pantas," kata seorang penumpang bertuah yang dapat menaiki teksi itu.
"Namun, sekurang-kurangnya anda tiba dengan penuh bergaya," tambahnya.

Teksi berkuasa elektrik itu dapat membawa dua penumpang dan ia turut dilengkapi dua panel solar untuk menukar cahaya matahari menjadi kuasa elektrik. - Agensi
Read More

Wanita Jelita Bawa Penyakit

1 comment
Menemui wanita cantik adalah tidak baik untuk kesihatan anda.Menurut kajian saintis Universiti Valencia, dengan hanya lima minit bersama dengan seorang wanita jelita boleh meningkatkan paras kortisol, hormon stres tubuh.
Kesan itu meningkat di kalangan lelaki yang percaya wanita berkenaan bukan setaraf mereka.
Kortisol dihasilkan oleh tubuh di bawah tekanan fizikal dan psikologi dan dikaitkan dengan penyakit jantung.

Penyelidik menguji 84 pelajar lelaki dengan meminta setiap seorang daripada mereka duduk dalam bilik dan menyelesaikan teka-teki Sudoku.

Dua orang asing, seorang lelaki dan seorang wanita juga berada di bilik yang sama.
Apabila wanita berkenaan meninggalkan bilik dan responden hanya tinggal bersama lelaki asing itu, tahap tekanannya tidak meningkat.

Bagaimanapun, apabila responden hanya berdua dengan wanita asing itu, tahap kortisol mereka meningkat.

Penyelidik merumuskan: “Dalam kajian ini, kami menganggap, bagi kebanyakan lelaki, kehadiran wanita jelita mungkin mencetuskan persepsi bahawa terdapat peluang untuk berkenalan.

“Walaupun sebahagian lelaki mungkin mengelak menemui wanita jelita kerana beranggapan mereka tidak setaraf, majoriti akan berasa bimbang serentak dengan tindak balas hormon.
“Kajian ini menunjukkan paras kortisol lelaki meningkat selepas pendedahan sosial lima minit dengan wanita muda dan jelita.

Kortisol boleh memberi kesan positif jika dosnya kecil. “Tetapi jika parasnya meningkat begitu tinggi, ia boleh memburukkan kesihatan seperti menyebabkan sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan mati pucuk.
- Agensi
Read More

MAS Tambah Lima Penerbangan Ke Ho Chi Minh

Leave a Comment
Malaysia Airlines (MAS) menambah lima lagi penerbangan ke Ho Chi Minh City, bandar raya terbesar di Vietnam, menjadikan jumlahnya kini 19 penerbangan tanpa henti setiap minggu.
Pengurus Besar Kanan (Jaringan Penerbangan dan Pengurusan Hasil) MAS, Dr. Amin Khan berkata, penambahan jumlah penerbangan itu berikutan permintaan yang tinggi.

Kapasiti penumpang telah menunjukkan peningkatan dengan purata 75 peratus, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, komitmen kepada pasaran di Vietnam dan kekerapan penerbangan akan memberi pilihan kepada pelanggan bagi memenuhi keperluan rancangan penerbangan mereka.
Malaysia Airlines menawarkan tiga penerbangan sehari ke Ho Chi Minh City dan satu penerbangan harian ke Hanoi. - Bernama
Read More