Banjir: Lebih ramai dipindahkan di Kota Setar

Leave a Comment
Keadaan banjir di daerah Kubang Pasu semakin pulih dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus berkurangan tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kota Setar terus meningkat.

Sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 32,066 orang daripada 7,938 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat iaitu 21,058 orang dengan jumlah keluarga 5,050 berbanding 19,591 orang petang semalam.


Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula terus berkurangan dengan jumlah terkini ialah 9,351 orang daripada 2,591 keluarga berada di pusat pemindahan manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena ialah 1,413 orang daripada 234 keluarga dan di Pendang seramai 244 orang melibatkan 63 keluarga.

Katanya, sebanyak 83 buah pusat pemindahan masih dibuka iaitu 45 buah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.


Sementara itu, tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar pagi ini mendapati kebanyakkan jalan utama yang menghubungkan ke pusat bandar sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.


Air di kawasan sekitar bandar raya ini mulai surut sejak lewat malam tadi. - Bernama
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: