Banjir di Kedah Makin Buruk

Leave a Comment
Banjir yang melanda negeri ini tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih malah jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada 28,569 orang berbanding 25,000 semalam.

Keadaan banjir menjadi semakin buruk di daerah Kota Setar apabila air mula melimpah memasuki kawasan bandar dan taman-taman perumahan yang sebelum ini tidak pernah dilanda bencana alam itu.

Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah berkenaan melonjak kepada 8,184 orang berbanding 1,788 semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, sebanyak 105 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dengan Kubang Pasu sebanyak 46 pusat, Padang Terap (35), Kota Setar (15), Pokok Sena (lapan) dan Pendang (satu).

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan turut menunjukkan peningkatan di daerah Kubang Pasu iaitu seramai 15,648 orang dan Pokok Sena (1,824) berbanding hanya 1,259 orang, semalam.

Sementara itu di Pendang, seramai 176 penduduk dipindahkan manakala di Padang Terap banjir mula surut dan hanya 2,737 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,105 orang, semalam.

Banjir juga meragut dua lagi nyawa apabila dua kanak-kanak, Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam tali air di Tanjung Bendahara di sini.

Ia menjadikan jumlah kehilangan nyawa setakat ini tujuh orang termasuk seorang remaja di Perlis yang masih belum ditemui sejak semalam.

Beberapa jalan utama masih ditutup kepada lalu lintas antaranya Jalan Alor Setar-Kangar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru, Jalan Alor Setar-Kepala Batas, Jalan Hutan Kampung-Kepala Batas dan Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang.

Sumber : Utusan
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: