Impak Besar Jalur Lebar Kepada Ekonomi

Leave a Comment

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat menyedari betapa pentingnya impak jalur lebar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mengambil langkah perlu untuk memperluaskan penggunaannya serta kualiti penyampaian. Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar penembusan jalur lebar Malaysia pada 36.1 peratus masih ketinggalan berbanding Singapura (150 peratus) dan Korea Selatan serta Jepun (melebihi 80 peratus). "Daya saing sesebuah negara di peringkat global bergantung besar kepada penggunaan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan jalur lebar oleh pihak swasta dan pihak kerajaan negara tersebut," katanya ketika melancarkan "Digital Pagoh-Muar 1Malaysia" di Pagoh hari ini.

Berdasarkan kajian ke atas negara Asean katanya, didapati bagi setiap peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar, ia boleh menyumbang kepada satu peratus di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Muhyiddin berkata, adalah jelas negara perlu berusaha lebih kuat untuk menandingi kadar penembusan jalur lebar yang tinggi sebagaimana yang terdapat di Singapura, Korea Selatan dan Jepun. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Muhyiddin berkata, teknologi ICT dan jalur lebar adalah pemangkin dan pembolehcara untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. "Dalam dunia yang bergerak pantas dan tanpa sempadan, semuanya bergantung kepada kecepatan dan kecekapan dalam mengurus perhubungan, penyampaian maklumat dan melakukan transaksi dan bertindak," katanya.

Model Baru Ekonomi (MBE), katanya, juga menekankan aspek kreativiti dan inovasi untuk menjana ekonomi pendapatan tinggi dan menerusi kemudahan jalur lebar ia boleh menyokong industri-industri untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa. Beliau berkata, di dalam memacu pencapaian yang lebih tinggi di dalam bidang ICT dan jalur lebar, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jalur Lebar yang dipengerusinya telah pun bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara. Di antara perkara itu, katanya, adalah pelaksanaan projek daerah digital untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, sebagaimana Digital Pekan yang telahpun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Projek Digital Pagoh-Muar adalah pelancaran daerah digital yang kedua di negara ini.

Projek Komuniti Jalur Lebar untuk mengatasi isu pemilikan komputer peribadi yang rendah, di mana setakat ini sebanyak 2,143 pusat telah dibina di seluruh negara dan 383 lagi pusat akan dibina tahun ini. Muhyiddin berkata, jawatankuasa juga akan mempertingkatkan perkhidmatan selular di kawasan luar bandar dengan membina 1,000 menara baru bagi mencapai 97 peratus liputan kawasan berpenduduk pada hujung tahun ini. Sementara itu, Rais, dalam ucapannya, berkata Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangkakan kadar penembusan jalur lebar isi rumah di negara akan mencecah kadar 50 peratus pada akhir tahun ini. Beliau berkata, sebanyak tujuh Pusat Komuniti Jalur Lebar akan dibina di Pagoh sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong projek Digital Pagoh-Muar. - BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: