48,935 atau 75.87% Keluar Mengundi di Hulu Selangor

Leave a Comment
Sejumlah 48,935 orang atau 75.87 peratus pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata, jika kesemua peti undi dari 48 pusat mengundi dapat dibawa ke pusat penjumlahan undi di pekan Kuala Kubu Baharu menjelang 8.30 malam dan urusan penjumlahan siap dalam masa sejam, keputusan dapat diumumkan sebelum 10 malam.

Katanya, SPR pada keseluruhannya berpuas hati dengan proses pengundian itu, walaupun pada awalnya menyasarkan kira-kira 80 peratus keluar mengundi.
"Di Batang Kali dan beberapa tempat lain berlaku hujan lebat petang tadi, jadi mungkin ada yang tidak dapat keluar mengundi. Apa pun, kita berpuas hati dengan 75.87 peratus ini,” katanya ketika dihubungi selepas pengundian tamat pada 5 petang.

Jumlah yang keluar mengundi itu melebihi 47,622 atau 75.24 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Wan Ahmad berkata, terdapat ketegangan di luar beberapa pusat mengundi apabila pihak SPR dan polis cuba menutup pondok panas atau barung yang dipasang oleh para penyokong parti yang bertanding.

"Walaupun ada kekecohan di luar, proses pengundian di pusat mengundi berjalan lancar,” katanya. – Bernama
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: