Thailand Bersedia Bina Terowong Sempadan

Cadangan mewujudkan terowong yang menghubungkan wilayah Satun di Thailand dan Perlis akan dapat direalisasikan jika kerajaan Malaysia bersetuju dengannya, kata Gabenor Wilayah Satun, Sumeth C Vatnikul.Beliau berkata, Thailand bersetuju dengan cadangan itu yang dibangkitkan lebih enam bulan lalu dan hanya menunggu lampu hijau daripada Kuala Lumpur. Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Kelab Usahawan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di sini, hari ini, katanya jika cadangan ini dapat direalisasikan, ia adalah satu-satunya pintu sempadan yang mempunyai terowong yang menghubungkan Thailand dan Malaysia. Pada Jun lalu, Sumeth dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, berbincang mengenai perkara yang sama dan kedua-dua pihak bersetuju memanjangkan perkara itu kepada kabinet negara masing-masing.Sumeth berkata, jika terowong itu diadakan ia akan menjadi pemangkin baru bagi sektor ekonomi kerana ia juga pasti dapat memikat pelancong.Terowong itu dianggarkan sepanjang empat kilometer dengan 1.5 kilometer merentasi banjaran Bintang di sebelah Malaysia manakala 2.5 kilometer lagi di banjaran Sangkakiri di bahagian Thailand.Sementara itu, Pengerusi Kelab Usahawan NCER, Dr Ammar Hassan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dalam melaksanakan projek yang dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit itu. Katanya, projek itu jika dilaksanakan akan mengubah landskap fizikal dan ekonomi kawasan persekitarannya.“Usahawan dan peniaga terutama di Perlis sudah pasti akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan projek itu,“ katanya. - Bernama
Tag : Public
0 Komentar untuk "Thailand Bersedia Bina Terowong Sempadan"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top