Obama Rai 100 Hari Pentadbiran

Leave a Comment

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) menyambut hari ke-100 hari pemerintahan beliau semalam dengan melakukan lawatan ke pedalaman AS sebelum mengadakan sidang media berhubung pentadbirannya.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 20 Januari lalu, Obama terpaksa menangani krisis ekonomi terburuk sejak Zaman Kemelesetan Besar pada 1930-an, mengubah dasar ketenteraan di Iraq dan Afghanistan dan terpaksa membuktikan bahawa Presiden kulit hitam pertama AS itu mampu melaksanakan pembaharuan di mata dunia.

Obama kini berdepan cabaran paling getir iaitu serangan selesema babi ke atas AS di mana pihak berkuasa bimbang wabak itu akan merebak di seluruh dunia.

Obama meninggalkan White House pagi semalam dan menuju ke bandar St. Louis di Missouri untuk mengadakan beberapa pertemuan bagi menerangkan perspektif beliau mengenai pemerintahan 100 hari pertamanya.

Obama kemudian akan kembali ke Washington untuk menghadiri sidang media televisyen ke seluruh negara apabila beliau akan menjawab pelbagai soalan berhubung cabaran yang menanti AS.

"Ruang untuk penambahbaikan sentiasa terbuka," kata jurucakap Obama, Robert Gibbs dengan memberikan penarafan baik dan memuaskan berhubung pencapaian ketuanya itu.

"Saya berpendapat Presiden dan pentadbirannya berpuas hati dengan pencapaian 100 hari pertama jika dilihat daripada aspek pemulihan aliran kredit, peningkatan kestabilan kewangan dan pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi serta pelaburan," tambahnya. - AFP

Read More

Terkejut Buaya Di Depan Pintu Rumah

Leave a Comment

FLORIDA - Seorang wanita, Belinda Donaldson terkejut apabila seekor buaya berukuran 3.35 meter 'lepak' di hadapan pintu rumahnya di Westchase, Hillsborough County, di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kehadiran buaya itu pada mulanya disedari beberapa jiran wanita tersebut yang kemudian bertindak menelefonnya.

Bagaimanapun, Belinda tidak mempercayai kata-kata jirannya itu tetapi tergamam selepas melihat kelibat buaya tersebut melalui tingkap rumahnya.

Dia yang ketakutan menghubungi pasukan penyelamat hidupan liar untuk mendapatkan bantuan selepas buaya terbabit enggan berganjak.

Seorang saksi berkata, pasukan penyelamat hidupan liar mengambil masa satu jam untuk menangkap buaya tersebut sebelum membawa haiwan itu dengan menggunakan sebuah trak ke habitat asalnya.

Kemunculan buaya di kawasan awam itu kerap berlaku terutama pada musim panas. - Agensi

Read More

Cuaca panas, harga ayam naik lagi

Leave a Comment
Macam-macam alasan. Demikianlah sikap Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) setiap kali mengumumkan kenaikan harga ayam.

Di sebalik alasan kenaikan kos bahan mentah, makanan ayam, pemintaan yang tinggi pada musim perayaan dan cuti sekolah, semalam mereka memberikan alasan cuaca panas pula.

Semalam persatuan itu mengumumkan kenaikan harga ayam di antara 40 sen dan 60 sen sekilogram.

Menurut Pengerusi Unit Ayam Daging FLFAM, Kwei Yew Tong, harga ladang ayam hidup kini naik 40 sen daripada RM3.40 sekilogram kepada RM3.80 sekilogram manakala harga borong ayam hidup adalah RM4.50 sekilogram berbanding RM4.10 sekilogram sebelum ini.

Katanya, harga borong ayam siang kini RM5.30 sekilogram berbanding sebelumnya sebanyak RM4.85 sekilogram manakala harga runcit ayam hidup pula sebanyak RM5.20 sekilogram berbanding RM4.80 sebelumnya.

Harga runcit ayam siang berserta kaki, kepala, hati dan hempedal turut naik kepada RM6.15 sekilogram berbanding RM5.65 sekilogram manakala harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal adalah RM6.90 sekilogram daripada RM6.30 sekilogram.

Sumber : Kosmo

Read More

MU Lawan Skuad Negara 18 Julai

Leave a Comment

PERLAWANAN persahabatan antara Pilihan Malaysia dengan Manchester United (MU) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 Julai depan akan berlangsung pada sebelah petang.

Lazimnya perlawanan bola sepak di negara ini akan bermula pukul 8.45 malam tetapi untuk pertemuan itu nanti, sepak mula adalah pada pukul 5.30 petang.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzud- din Ahmad berkata, penetapan waktu sepak mula pada sebelah petang itu dibuat atas permintaan kelab tersebut sendiri.

"Mereka (MU) yang minta perlawanan diadakan pada sebelah petang dan keduanya, ia berlangsung pada hari Sabtu, ideal untuk seisi keluarga hadir menyaksikannya.

"Lagipun ia bagi memudahkan penonton dari luar Kuala Lumpur untuk datang dan pulang selepas menyaksi- kan perlawanan tersebut," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan ProEvents International Sdn. Bhd., San Boon Wah serta Pengarah Perhubungan MU, Luisa d'Aprano yang baru tiba di ibu negara pagi semalam untuk sidang media tersebut.

MU akan tiba di Kuala Lumpur pada pagi Jumaat (17 Julai) dan berlepas pula ke Jakarta, Indonesia pada Ahad (19 Julai) bagi meneruskan Lawatan Asia 2009 bertemu Indonesia (20 Julai) diikuti dua lagi perlawanan di Seoul, Korea (24 Julai) dan Hangzhou, China (26 Julai).

Ini merupakan kunjungan keempat MU ke negara ini selepas tahun 1981 dan 1995 untuk perlawanan persahabatan menentang Pilihan Selangor. MU datang lagi pada 2001 yang menyaksikan mereka membelasah Pilihan Malaysia 6-0 di Bukit Jalil.

Sementara itu, Boon Wah berkata, maklumat berhubung penjualan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari lagi sambil membayangkan harganya tidak akan membebankan penonton.

"Kita mengambil kira kegawatan ekonomi global yang berlaku sekarang. Saya boleh beri jaminan, harga tiket adalah lebih kurang harga yang dijual ketika perlawanan persahabatan pada 2001 iaitu dalam lingkungan RM50 hingga RM90.

"Tentang pasukan MU, saya pasti mereka akan datang dengan barisan pemain utama. Ini antara perlawanan pramusim mereka untuk musim 2009/10, jadi sudah tentu semua pemain berusaha memikat hati Alex Ferguson," kata Boon Wah.

Tambah beliau, segala pertandingan atau aktiviti menjelang kedatangan MU ke Kuala Lumpur itu akan dimulakan sebaik penjualan tiket diumumkan dan hadiah-hadiah yang ditawarkan merangkumi pas menyaksikan sesi latihan pasukan berkenaan serta tiket perlawa- nan tersebut nanti.

Segala maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.proevents.com.

Sumber : Kosmo

Read More

Pilihan Raya Kecil Penanti 31 Mei

Leave a Comment
Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

''SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Pulau Pinang berhubung kekosongan kerusi tersebut pada 17 April lalu.

''Selaras dengan peruntukan Seksyen 12 (3) Akta Pilihan Raya 1958, adalah perlu SPR menjalankan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi bagi kerusi DUN Penanti di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut Abdul Aziz, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahya dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Penanti.

SPR juga, kata beliau, membenarkan Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil itu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya memutuskan untuk menggunakan Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata, bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraannya akan dibuat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

''Sebanyak sembilan pusat mengundi pula melibatkan lapan buah sekolah dan sebuah dewan dengan 32 saluran mengundi," katanya.

Menurutnya, SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

''Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, SPR mengingatkan parti-parti politik yang bakal bertanding agar mematuhi Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan larangan berkempen pada hari mengundi dan juga arahan pihak polis.

Untuk itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan program penerangan kepada parti politik dan pengundi supaya mereka dapat memahami hak serta tanggungjawab masing-masing serta menghayati peruntukan akta tersebut.

''Kami serius untuk menguatkuasakan peraturan yang telah ditetapkan dengan lebih tegas dan sebab itu kami akan mengadakan mesyuarat dengan pihak polis tidak lama lagi berhubung perkara ini.

''Ini kerana kami mahu mewujudkan suasana aman bagi pengundi untuk menuaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Read More

Giggs Akhirnya Pemain Terbaik Pada Usia 35 tahun

Leave a Comment
Pemain yang digelar orang kuat Manchester United, Ryan Giggs telah dipilih sebagai pemain terbaik tahun ini oleh pemain-pemain profesional lain dalam Liga Perdana England (EPL) buat kali pertama pada umur 35 tahun.

Pemain terbaik dalam Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) merupakan penghargaan yang belum pernah dikecapi oleh Giggs dalam bola sepak England sejak dia mula beraksi untuk United pada Mac 1991.

Selepas menerima anugerah tersebut kelmarin, Giggs berharap mampu mencatatkan penampilan ke-800 untuk pasukan pendahulu EPL itu dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal.

Walaupun sudah berumur 35 tahun, Giggs masih kekal menjadi pemain harapan United untuk memburu empat piala musim ini.

Pasukan tersebut sudah menjuarai Piala Kelab Dunia dan Piala Liga, manakala masih memburu untuk mengekalkan kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara Eropah.

Giggs, yang masih mempunyai kontrak dengan Red Devils sehingga Jun 2010, telah memenangi 10 kejuaraan liga, dua Liga Juara-Juara Eropah, empat Piala FA dan dua Piala Liga, semuanya bersama United.

"Ia memang betul memenangi anugerah ini adalah satu sanjungan peribadi, ia begitu menakjubkan menerima anugerah hasil undian rakan-rakan pemain.

"Saya begitu bernasib baik memenangi banyak trofi, saya memenangi trofi pemain remaja terbaik dua kali tetapi ini adalah penghargaan yang paling besar," kata Giggs di London.

Bekas pemain antarabangsa Wales itu memecahkan rekod penampilan bersama United Mei lalu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bertemu Chelsea, mengatasi rekod lama yang dilakukan Bobby Charlton iaitu 758 perlawanan.

Walaupun Giggs hanya beraksi sebanyak 12 kali pada awal musim ini seterusnya menyebabkan aksinya sedikit pudar, dia telah bertukar posisi daripada bahagian sayap ke bahagian tengah untuk kekal sebagai pemain tetap dalam mana-mana kejohanan.

United mengatasi Liverpool dengan tiga mata untuk berada di puncak EPL termasuk baki satu perlawanan di dalam tangan.

"Ia musim yang sangat menarik, saya rasa ia semakin tegang, terdapat perlawanan yang lebih penting selepas perlawanan penting. Itulah yang kamu mahu dan perlu di dalam kelab seperti Manchester United," katanya.

Giggs yang merupakan salah seorang dari lima pemain United yang disenarai pendek untuk anugerah itu, berterima kasih kepada pengurus, Sir Alex Ferguson kerana membantunya kekal pada dengan permainan terbaik sepanjang 19 tahun. Ferguson yang berusia 67 tahun telah menjadi pengurus di Old Trafford sejak 1986. - AP

Read More

Lampard beli kekasih banglo RM15 juta

Leave a Comment
Bintang Liga Perdana England, Frank Lampard membelikan banglo berharga £3 juta (RM15.8 juta) kepada bekas tunangnya, Elen Rives, lapor sebuah akhbar semalam.

Lampard yang bermain untuk kelab bola sepak Chelsea membuat pendedahan itu kepada sebuah stesen radio swasta Jumaat lepas bagi menepis tohmahan bahawa dia ialah seorang bapa tidak bertanggungjawab.

"Setiap sen yang saya terima, setiap keringat saya di padang, semuanya demi anak-anak saya. Saya membeli sebuah rumah yang sama mewah dengan tempat tinggal saya sekarang untuk mereka," kata pemain bergaji £140,000 (RM738,000) seminggu itu.

Sebelum ini, Lampard bergaduh dengan seorang pengacara radio yang menuduhnya sebagai lelaki jalang.

Tuduhan itu dilemparkan susulan perpisahan pemain itu dengan tunangnya pada Februari lalu setelah terpikat dengan wanita lain. Lampard dikurnia dua anak hasil perkongsian hidupnya dengan Rives.

"Rives sendiri yang memilih rumah baru itu dan Lampard hanya membayar untuknya. Semua kos hiasan dalaman juga dilunaskan Lampard" kata satu sumber.

"Dia tinggal di sebuah pangsapuri di sini sementara pengubahsuaian rumah baru itu siap dan sewa flat dibayar oleh Lampard," tambahnya. - Agensi

Read More

Tarikan kuat X-Files dan CSI

Leave a Comment

MENJADI senario biasa penduduk di selatan Johor menghidupkan televisyen seawal pukul 5 pagi. Dalam bersiap untuk menunaikan solat Subuh, sempat juga mereka menonton program ceramah agama.

Dengan pilihan 12 saluran televisyen Indonesia yang bersaing menyiarkan slot kerohanian bersama kiai ternama, menonton TV awal pagi bukan aneh.

Warga Johor juga bertuah kerana menikmati secara percuma tujuh lagi saluran dari Singapura.

Hakikatnya budaya menonton televisyen di Johor barangkali lebih ke hadapan berbanding penduduk di negeri-negeri lain.

Tidak hairanlah kita melihat sebahagian besar bumbung rumah di selatan tanah air itu memasang antena yang cukup tinggi.

Tetulang antena pula menuju ke arah Batam, Kepulauan Riau untuk mendapatkan siaran Indonesia; Bukit Batok bagi menerima liputan TV Singapura dan Gunung Pulai, Kulaijaya yang memancarkan enam saluran televisyen teresterial Malaysia.

Mewahnya siaran TV menyebabkan kanak-kanak Johor suatu ketika dulu malah mampu menghafal lagu kebangsaan Indonesia Raya, Majulah Singapura selain Negaraku akibat pengaruh televisyen.

Berbeza pula di Lembah Klang. Isnin lalu, kita dikejutkan dengan pelancaran kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen.

Kempen julung kali itu yang bermula dari 21 hingga 27 April lalu dianjurkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Menurut Ketua Eksekutif FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, kempen itu merupakan salah satu daripada 12 kempen yang dirancang pihaknya untuk menyedarkan pengguna supaya lebih memberi tumpuan kepada hubungan kekeluargaan.

"Kempen ini bukan untuk menyekat penyebaran maklumat semasa kepada orang ramai kerana mereka masih boleh mengetahui perkembangan negara dengan membaca akhbar atau melayari laman Internet," katanya.

Ironinya, acara itu tidak mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna apatah lagi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini diberi lebih kuasa mengawal selia semua siaran TV.

Persoalannya, jika ingin mendapatkan maklumat daripada Internet, bagaimana dengan orang miskin yang tiada akses kepada teknologi itu?

Bagi golongan ini, televisyen menjadi satu-satunya sumber hiburan dan maklumat terbaru.

Keadaan diburukkan lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang kurang gemar membaca akhbar harian sebagai budaya wajib kecuali jika memaparkan berita sensasi.

Pandangan yang sama dikongsi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan. Katanya, kandungan TV kini berbeza dari zaman dahulu yang lebih hedonisme dan melalaikan penonton.

"Siaran TV era 60-an hingga 80-an hanya bersifat hiburan, namun kemudian timbul kesedaran mengenai program bercorak ilmiah.

"Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting dalam membimbing anak-anak menonton rancangan berfaedah," ujarnya.

Beliau memberi contoh drama MacGyver, X-Files dan Crime Scene Investigations yang memupuk minat remaja kepada sains dan matematik. "Program Discovery Channel dan History Channel mendidik kita untuk meminati sejarah dan geografi," hujah beliau.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa mendedahkan anak sejak kecil kepada rancangan dokumentari dan bersifat drama akademik.

Ia ibarat melentur buluh bermula daripada rebung dan bukan membiarkan si anak sekadar menonton siri kartun.

"Misalnya, kanak-kanak tentu suka meneroka keajaiban kejuruteraan inovatif Terowong Smart di Kuala Lumpur yang pernah disiarkan saluran Discovery Science atau kisah pengembaraan hebat Laksamana Cheng Ho di National Geographic," jelasnya.

Bagi pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, kempen memboikot TV itu menimbulkan tanda tanya kerana ia digerakkan di Barat dan mungkin tanpa disedari ada agenda tersirat pihak tertentu.

Bayangkan, ujarnya, jika kempen sedemikian dilancarkan ketika rejim Israel mengganas di bumi Palestin, adalah amat malang masyarakat Islam di Malaysia tidak tahu perkembangan terkini kerana enggan menonton siaran berita di TV.

Sambil memetik ungkapan pengasas stesen CNN, Ted Turner iaitu sesiapa menguasai maklumat, maka dia menguasai dunia, Hatijah beranggapan kempen tidak menonton TV perlu diteliti semula agar matlamatnya tidak pula merugikan masyarakat.

Read More

Tangkap Doktor Baca Akhbar

Leave a Comment
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan semalam 'menangkap' dua doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagi pun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan,'' kata Saravanan, yang jelas kelihatan kesal, kepada Bernama.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

Sumber : Kosmo

Read More

Najib tinjau Puduraya, Jalan Tuanku Abdul Rahman

Leave a Comment
Tiga minggu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang untuk melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, Perdana Menteri hari ini melakukan satu lagi kejutan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Hentian Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu-lintas.

Beliau kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam semasa melakukan tinjauan selama sejam, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Najib, yang berpakaian kasual berkemeja warna perang dan seluar berwarna kuning air, tiba di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat Semua House pada 3.20 petang, diiringi oleh Raja Nong Chik, timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Di Jalan TAR, yang terkenal dengan kedai-kedai tekstil dan barang kemas, Najib diberi taklimat oleh Ahmad Fuad mengenai cadangan tempat meletak kenderaan bertingkat berhampiran Semua House dan beberapa rancangan menaik taraf lain di situ.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan di sepanjang lorong berkenaan sambil berhenti berbual dengan peniaga dan orang ramai.

Perdana Menteri kemudiannya menaiki perkhidmatan LRT yang penuh sesak ketika itu. Beliau terpaksa berdiri dari stesen Masjid Jamek ke stesen Plaza Rakyat sebelum berjalan kaki ke Hentian Bas Puduraya yang juga sesak.

Najib turut berhenti di salah sebuah gerai di bangunan itu bagi mendapatkan minuman sejuk.

Beliau yang diiringi pegawainya, menarik perhatian orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan Perdana Menteri.

Seorang wanita yang ternampak kelibat Najib lantas memboloskan diri di tengah-tengah kumpulan orang ramai sambil berteriak: “Saya mahu ambil gambar Perdana Menteri saya”.

Najib kemudian bergerak untuk memeriksa bangunan projek Plaza Rakyat yang lama terbengkalai di sebelah Puduraya sebelum berlepas balik pada 4.25 petang.

Raja Nong Chik berkata, Perdana Menteri menyatakan pandangan berat tentang kurangnya fasiliti dan kesesakan di tempat-tempat tertentu dan mahukan penambahbaikan dilakukan segera.

“Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.

“Beliau berkata masalah seumpama itu bukan petanda baik buat negara kita yang berusaha menjadi negara maju menjelang 2020.

“Beliau telah mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kementerian lain yang berkaitan menentukan kemudahan berkenaan dipertingkatkan demi faedah orang ramai,” katanya.

Mengenai projek Plaza Rakyat, Raja Nong Chik berkata, Najib mahu pemaju diberi kata dua untuk menyiapkannya.

“Perdana Menteri mahukan kami memberikan had masa kepada pemaju menyiapkan projek itu. Jika mereka tidak dapat mematuhinya, kami akan tamatkan kontrak dan cari jalan lain,’’ ujarnya.

“Beliau mahukan projek itu dijalankan semula secepat mungkin,” kata Raja Nong Chik.

Projek, yang pada mulanya menelan kos RM1.2 bilion itu telah diabaikan selama 12 tahun selepas ia bertukar tangan beberapa kali. Pemaju sekarang ialah Global Upline.

Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat untuk ruang pejabat, kondominium dan sebuah hotel murah.

Mengenai rancangan menaik taraf kemudahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan di Jalan TAR, Ahmad Fuad berkata, projek itu ialah tempat letak kereta bertingkat yang sudahpun bermula.

“Ia bangunan 13 tingkat dan dianggarkan menelan kos RM50 juta. Ia akan menempatkan tempat letak kereta bertingkat, pusat penjaja dan peniaga, dewan pelbagai guna dan ruang pejabat,” jelasnya.

– BERNAMA

Read More

Waspada Wabak Baru

Leave a Comment
Pengawasan di semua pintu masuk negara akan diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan sejenis wabak baru dikenali sebagai selesema babi yang telah meragut 68 nyawa di Mexico dan mencetuskan suasana cemas di negara itu.

Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.

Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.

“Selesema babi telah merebak di Mexico dan pengawasan di semua pintu masuk negara ini perlu diperketatkan segera.

“Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penyakit berjangkit, kita sentiasa mendahului situasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai wabak selesema babi yang berpunca daripada virus yang tidak pernah dilihat para penyelidik sebelum ini kerana ia mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Tiong Lai berkata, beliau belum menerima laporan terkini wabak tersebut daripada Bahagian Kawalan Penyakit dan hanya mengetahuinya melalui laporan media pagi ini.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaporkan perkembangan terkini mengenai wabak berbahaya itu kepada masyarakat.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Devan lawan Butler di Stadium Nasional

Leave a Comment

SIAPA hebat, K. Devan atau Peter James Butler?
Kedua-dua jurulatih ini memiliki kelebi- han tersendiri dan yang pasti mereka adalah pakar taktikal.

Taktikal yang bakal mereka gunakan pada perlawanan ini akan menjadi penentu kemenangan kepada pasukan yang mereka bimbing.

Jurulatih Kelantan, James Butler akan menggunakan formasi 4-1-3-2 sementara Devan (Selangor) memilih untuk menggunakan formasi 4-4-2.

Bagi Devan, 48, segala perancangannya kini adalah mengikut jadual dan pemainnya kini berada dalam mood yang baik untuk menewaskan Kelantan malam ini.

"Saya jangka pemain-pemain saya akan beraksi cemerlang esok (hari ini). Tempat P. Gunalan yang digantung satu perlawanan mungkin akan diisi salah seorang daripada tiga pilihan sama ada Asraruddin Putra Omar, D. Surendran atau Fitri Shahzwan Raduwan.

"Amirulhadi Zainal juga akan berada dalam senarai 18 pemain. Tetapi kesebelasan utama hanya akan dibuat petang esok (hari ini)," katanya pada sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Keyakinan Devan ditambah dengan rekod cemerlangnya sebelum ini di mana setiap kali pasukan bimbingannya layak ke final, ia akan diakhiri dengan kejayaan menjulang piala.

"Tugas sebagai jurulatih pasukan penuh tradisi seperti Selangor ini merupakan cabaran terbesar dalam karier saya. Tetapi biasanya bila saya masuk final, keputusan- nya akan berpihak kepada saya," ujar Devan yakin.

Sementara itu, Butler, 43, turut optimis pasukannya akan mencipta sejarah dengan menjulang Piala FA, salah satu piala berprestij negara buat pertama kali selepas kali terakhir mereka merasai pentas final pada Piala Malaysia 1970 tetapi tewas 0-1 kepada Perak.

"Kami optimis boleh menewaskan Sela- ngor. Pemain-pemain kami tidak tertekan langsung. Cuma apa yang penting, persembahan di atas padang esok (hari ini). Pemain saya perlu bijak mengawal emosi," katanya pada sidang media yang sama.

Dengan pasukannya tidak menghadapi masalah penggantungan dan kecederaan pemain, Butler akan menurunkan barisan terkuatnya malam ini.

"Walaupun dua kali jumpa Selangor musim ini dan perlawanan ini adalah aksi final, saya anggap ia sama saja, tiada beza. Yang pasti, kami akan cuba memberikan saingan yang sengit kepada Selangor," tegasnya.

Sumber : Kosmo

Read More

8 muka baru, 5 kekal - Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri

Leave a Comment
Read More

Nik Nur Madihah pilih belajar di Universiti Jordan

Leave a Comment
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, bakal melanjutkan pelajaran ke Jordan University Science & Technology (JUST), awal September ini.

Beliau akan melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik dengan tempoh pengajian selama empat tahun di negara tersebut.

"Segala persediaan untuk ke Jordan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaja biasiswa saya.

"Pada 25 Mei ini, saya mula mengikuti kelas persediaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas Program Ikon Inspirasi pada Pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di sini semalam.

Dia turut ditemani bapanya, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41.

Sementara itu, Nik Mohd. Kamal berkata, beliau gembira dengan keputusan Nik Nur Madihah untuk melanjutkan pelajaran ke JUST tetapi berasa sedih akan berpisah dengan anaknya.

Sumber : Kosmo

Read More

Liberalisasi 27 Sektor Galak Usahawan Bumiputera Bersaing

Leave a Comment
DATUK Seri Najib Razak berkata, tiada sebab untuk usahawan Bumiputera gusar dengan keputusan kerajaan meliberalisasi pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan kerana langkah sedemikian sudah pun dilaksanakan di banyak negara lain seperti Indonesia dan Thailand.

Perdana Menteri berkata, pengalaman negara terbabit melaksanakan pendekatan dan liberalisasi sedemikian, sebaliknya menyaksikan usahawan mereka mampu bersaing dengan lebih hebat di pasaran terbuka.

“Saya lihat Bumiputera ada kemampuan bersaing dengan orang lain dan saya tidak bimbang (perniagaan) mereka akan pupus atau kalah dalam pertandingan sebab negara lain pun sudah terbuka sektor perkhidmatannya.

“(Pasaran) Indonesia pun sudah terbuka... adakah orang kita tak boleh bersaing sedangkan orang Indonesia boleh... apa yang salahnya dengan orang kita,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan rasminya ke Indonesia di sini, semalam.

Selasa lalu, Najib mengumumkan kerajaan meliberalisasi 27 sektor kecil perkhidmatan dengan memansuhkan syarat pegangan ekuiti tempatan, berkuat kuasa serta merta dalam usaha menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, keputusan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan itu dibuat selepas perbincangan dengan semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan wakil usahawan Bumiputera sendiri.

Mengenai sambutan kurang memberangsangkan pelabur Bumiputera dan India terhadap Amanah Saham Malaysia (ASM) yang mula dijual kelmarin, beliau berkata, pembelian unit berkenaan tidak semestinya dibuat dalam tempoh satu atau dua hari.

“Bagi masa lagilah... tidak bermakna sesuatu mesti berlaku dalam masa satu atau dua hari, biarlah ada tempoh sikit kerana saya percaya langganan (ASM) sangat menguntungkan,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan 999 juta unit dana ASM yang diperuntukkan kepada kaum Cina habis dilanggan , tetapi daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada Bumiputera, hanya 7.65 juta unit dilanggan dan hanya 53.5 juta daripada 499.5 juta unit diperuntukkan kepada kaum India berjaya dijual.

Sumber : Berita Harian
Read More

Mesyuarat MT Dijangka Rombak Kepemimpinan

Leave a Comment
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung hari ini, dijangka mengumumkan beberapa rombakan dalam barisan kepemimpinan Umno, khususnya pada peringkat negeri dan pelantikan beberapa jawatan dalam parti.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau yakin mesyuarat hari ini, yang pertama dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri akan membuat beberapa perubahan dan pembaharuan kepada barisan kepemimpinan Umno.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rombakan yang dijangka dilakukan itu juga dibuat sejajar hasrat untuk memperkukuh, memperkuat dan mempertingkat prestasi serta pencapaian parti pada masa depan.

“Kita tunggulah esok (hari ini). Presiden akan umumkan dan pastinya ada perubahan kerana biasanya selepas pemilihan parti, wujud pembaharuan.

“Apa yang penting, kita perlu memperkukuhkan parti kita dan semua yang dibuat sebenarnya hanya bertujuan memperbaiki serta memperkukuh prestasi Umno,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Mesyuarat MT petang ini akan membuat pengumuman mengenai barisan kepemimpinan baru Umno di peringkat negeri serta pelantikan beberapa jawatan utama di peringkat Pusat.

Dalam mesyuarat hari ini, Najib dijangka mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan Umno selain 10 Ahli Majlis Tertinggi (MT) tambahan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Umno.

Difahamkan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan kekal sebagai Setiausaha Agung parti tetapi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mungkin digantikan oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib juga dijangka mengumumkan barisan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang baru selain membincangkan isu sama ada Barisan Nasional (BN) akan ertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

“Keputusan bertanding akan diputuskan esok (hari ini) pada mesyuarat MT dan pada mesyuarat itu pandangan semua pihak akan diambil kira. Lepas ini, pimpinan BN yang akan beri (maklum balas) kepada Perdana Menteri.

“Kita tidak pernah takut kepada sesiapa, pilihan raya biasa kita lalui... menang atau kalah adat pertandingan,” katanya mengulas kenyataan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa BN enggan meletakkan calon kerana takut kalah.

Sementara itu Muhyiddin mahu kepemimpinan Umno Terengganu termasuk semua ketua bahagian dan wakil rakyatnya berhenti dari sikap suka mengkritik secara terbuka, sebaliknya berusaha berkhidmat sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

Katanya, beliau dan Perdana Menteri sudah memahami kemelut yang berlaku di negeri itu dan akan berusaha untuk mengatasi masalah berkenaan secepat mungkin tetapi yang penting kini adalah usaha dari pemimpin parti berkenaan menjaga kebajikan rakyat. “Kita sudah lebih faham situasi di sana dan pastinya Presiden tahu apa yang akan dibuat untuk memperkukuh kepimpinan di sana sebab Terengganu negeri BN dan orang Terengganu sudah bagi sokongan kepada kita untuk bentuk kerajaan.

“Kita kena jalankan kerja, apa yang perlu diberi perhatian, pemimpin parti termasuk wakil rakyat adalah kebajikan dan kepentingan rakyat, itu yang PM sebut, apa saja isu dan masalah, kita tidak mahu bincang secara terbuka,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Read More

Planet Ada Lautan Ditemui

Leave a Comment

Gambaran pelukis tentang planet Gliese 581 d (tengah) dan planet Gliese 581 e (kiri) yang dikeluarkan oleh Organisasi Eropah untuk Penyelidikan Astronomi di Hemisfera Selatan, kelmarin.- AP

Para astronomi Eropah hari ini melaporkan penemuan luar biasa, satu planet yang mempunyai saiz hampir sama dengan bumi di luar sistem solar dan sebuah lagi planet yang mungkin mempunyai lautan yang luas.

Penyelidik Eropah itu berkata, mereka bukan sahaja menemui eksoplanet terkecil, yang dipanggil Gliese 581 e, tetapi juga mendapati sebuah planet berada berdekatan yang ditemui lebih awal iaitu Gliese 581 d, berada dalam zon habitat yang mempunyai potensi kehidupan.

"Penyelidikan terbaru eksoplanet yang dipanggil The Holy Grail itu mengesan planet berbatu seperti bumi di 'zon habitat'," kata penyelidik astronomi, Michel Mayor dari Universiti Geneva, Switzerland.

Eksoplanet ialah planet di luar sistem solar. Gliese 581 e hanya mempunyai saiz 1.9 kali lebih besar daripada bumi, manakala planet-planet yang ditemui di luar sistem solar sebelum ini mempunyai saiz hampir sama dengan planet planet Jupiter yang menurut (NASA) saiznya yang terlalu besar itu seolah-olah boleh menelan lebih 1,000 planet Bumi.

Kedudukan Gliese 581 e ialah berada di kawasan yang paling hampir dengan bintang yang terdekat dengan bumi, menjadikannya terlalu panas untuk didiami oleh kehidupan.

Mayor berkata, tetapi ia tetap satu kejayaan, kerana penemuan itu yang terletak 20 1/2 tahun cahaya dari Bumi dalam sistem solar, ''satu contoh terbaik bahawa kita mencapai kejayaan bagi mengesan planet yang menyerupai Bumi."

Saintis turut mendapati orbit planet Gliese 581 d yang ditemui pada 2007 terletak dalam 'zon habitat' - satu kawasan sekitar bintang seperti matahari yang membolehkan air menjadi cecair di permukaan planet itu. - AP

Read More

Pusat Sumber Islam RM300 juta di i-City

Leave a Comment
Pusat Sumber Islam yang akan dibangunkan bagi mewujudkan sektor Kewangan Islam di i-City, milik I-Berhad dijangka menelan kos pembangunan kasar sebanyak RM300 juta.

Pengarah Eksekutifnya, Monica Ong berkata, kerja-kerja pembangunannya di Shah Alam, Selangor akan dimulakan tahun depan dan dijadualkan siap dalam tempoh empat tahun lagi.

Pusat itu akan menyediakan kemudahan operasi kepada pelbagai institusi Islam yang bertapak di i-City,'' katanya ketika ditemui di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009.

Sektor kewangan Islam membabitkan pembinaan tiga buah menara pejabat dengan keluasan satu juta kaki persegi yang mana Kumpulan Perbankan Al-Rajhi membeli 80 peratus daripada pembangunan fasa pertama terdiri daripada pejabat siber gred A.

Baki daripada fasa pertama itu akan dijadikan pejabat operasi I-Berhad, jelas Ong.

Beliau berkata, syarikat itu sedang memberikan tumpuan kepada pembangunan keselesaan komuniti di i-City selaras peranannya sebagai bandar pintar bertaraf dunia.

''Kami sedang menarik penglibatan pelbagai masyarakat peniaga yang berupaya menawarkan kepelbagaian perniagaan termasuk makanan antarabangsa dan hiburan bagi melengkapkan gaya hidup kosmopolitan masyarakat asing di i-City nanti,'' katanya.

Ong berkata, nilai-nilai tambah di i-City menjadi elemen penting kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi pelaburan semata-mata untuk masyarakat perniagaan antarabangsa tetapi turut berfungsi sebagai pusat gaya hidup kosmopolitan untuk rakyat Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Pernikahan Rita Rudaini, Aidil Zafuan sah

Leave a Comment
Pelakon, Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar mampu tersenyum puas hari ini apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak di Songkhla, Thailand tahun lalu adalah sah dari segi hukum syarak.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin memutuskan demikian selepas beliau berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pasangan tersebut kepada mahkamah.

Antara dokumen tersebut ialah surat pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, dokumen perjalanan Rita Rudaini dan suami serta surat nikah daripada Pejabat Agama Islam Wilayah Songkhla.

Mereka yang diwakili peguam syarie, Boestamam Ahmad bagaimanapun dikehendaki mendaftarkan pernikahan mereka di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketika ditemui selepas selesai prosiding yang dijalankan di kamar hakim, pasangan itu mengucapkan rasa syukur dan gembira kerana segala urusan pengesahan pernikahan mereka telah selesai.

Mengenai kelewatan mengesahkan perkahwinan mereka, Rita yang kini sedang mengandung anak pertama memberitahu, ia adalah disebabkan masing-masing agak sibuk dengan kerjaya dan bukan sengaja melewatkan pengesahan tersebut.

''Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Sekarang, mahkamah dah beri arahan untuk mendaftarkan pernikahan di JAWI.

''Pasal denda (lewat mengesahkan perkahwinan) kena tunggu apa kata JAWI. Apa pun, semua dah selesai. Terima kasih kepada pihak mahkamah dan semua,'' ujar Mohamad Aidil yang dilihat tidak lekang daripada memegang tangan Rita.

Pasangan itu bernikah di Songkhla pada 25 Februari lalu dan dinikahkan oleh Naib Kadi Wilayah Songkhla, Chowalit Pinsuwan.

Sementara itu, Rita memberitahu, dia akan berehat daripada bidang lakonan sehingga habis pantang bersalin.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja habis pantang, dia akan mula menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Menjawab pertanyaan mengenai kandungannya yang kini berusia enam bulan, Rita memberitahu, mereka berdua masih belum mahu mengetahui jantina bayi mereka dan ingin menunggu sehingga kandungan berusia lapan bulan.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Minggu Tidak Tonton TV

Leave a Comment
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini melancarkan kempen minggu tidak menonton televisyen bagi menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama.

Ketua Eksekutifnya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kempen selama seminggu itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjalankan aktiviti yang lebih bermanfaat bersama keluarga.

"Kita bukan mahu menyekat masyarakat daripada memperoleh maklumat. Tetapi kita mahu mereka menghiasi masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti berkelah, bersenam, bersiar-siar bersama-sama keluarga.

"Selain merapatkan hubungan keluarga, mereka juga mengamalkan gaya hidup sihat," katanya pada sidang akhbar kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen di sini hari ini.

Menurut beliau, kempen tersebut merupakan pertama kali diadakan di negara ini.

"Di negara luar, mereka telah lama mengadakan kempen sebegini sejak tahun 1995 lagi. Insya-Allah kita akan adakan kempen ini untuk tempoh empat tahun," katanya.

Mohd. Yusof memberitahu, kempen tersebut juga akan membantu masyarakat supaya bersikap lebih berhemah.

"Apabila mereka kurang menonton televisyen ini secara tidak langsung mengurangkan belanja mereka. Sudah tentu bil elektrik mereka juga akan menurun dan ini memberi kesan yang baik dalam masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, beberapa lagi siri kempen akan diperkenalkan sepanjang tahun ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Selepas ini kita akan perkenalkan kempen berkongsi kereta, mengurangkan penggunaan kad kredit dan sebagainya," katanya.

Read More

Manusia Punca Kerosakan Bumi

Leave a Comment
Seluruh dunia menyambut Hari Bumi pada hari ini. Sekadar merenung diri sendiri, apakah sumbangan yang telah anda berikan dalam usaha menyelamatkan Bumi daripada terus ‘dikasari’ oleh penghuninya?

SESIAPA sahaja pasti tidak akan selesa berada di persekitaran yang dicemari dengan pelbagai bahan toksik sehingga menjejaskan kegiatan harian anda.

Persekitaran yang dahulunya menghijau dengan aliran sungai yang jernih, udara yang segar, permukaan tanah yang cantik kini hampir hancur dek kerana perbuatan dan sikap kita sendiri.

Justeru, jangan marahkan alam jika berlaku kejadian seperti tanah runtuh, sungai tercemar, banjir lumpur, banjir kilat dan lain-lain yang kesemuanya berpunca daripada perbuatan kita yang tidak menghiraukan alam sekitar.

Marahlah diri sendiri, masyarakat dan pihak berkuasa yang leka dibuai kepentingan peribadi sehinggakan segala tindakan yang dilakukan merosakkan alam.

Mungkinkah masih belum terlewat untuk kita menyelamatkan Bumi yang merupakan satu-satunya planet di alam semesta ini yang boleh didiami manusia. Justeru, mulakan langkah dan usaha dari sekarang dan tidak perlulah menunggu tibanya sesuatu kempen untuk kembali bersemangat memulihara alam sekitar.

Sikap keprihatinan terhadap keselamatan Bumi haruslah sentiasa bermain di fikiran seseorang bagi memastikan seruan yang dilontarkan iaitu Selamatkan Bumi Kita membekas kental di dalam jiwa.

Sekadar untuk makluman bersama, kekaguman menyaksikan kepesatan pembangunan di negara-negara maju memang tidak dapat dinafikan tetapi tahukah kita bahawa perkara itu turut memberi impak negatif kepada negara-negara lain.

Ini kerana negara-negara pesat tersebut didakwa menjadi sumber utama berlakunya pemanasan global sehingga negara mundur terpaksa menanggung kesengsaraan tersebut.

"Tidak salah untuk mengejar arus pembangunan yang semakin canggih tetapi pembinaan drastik tidak seiring dengan penjagaan alam sekitar.

"Perubahan iklim tidak berlaku secara semula jadi, sebaliknya ia berpunca daripada perbuatan manusia. Hutan semula jadi contohnya perlu dipelihara dan ditanam semula, selain tidak mengetepikan khazanah laut bagi mengurangkan kemusnahan Bumi.

"Justeru, pelepasan sumber gas tercemar yang menyebabkan berlakunya pemanasan global yang memberi kesan negatif kepada kehidupan di seluruh dunia perlu dihentikan dengan segera," kata Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Melihat kemarahan alam yang mencetuskan krisis cuaca dan bencana seperti tanah runtuh, ribut taufan dan gempa bumi, ia secara tidak langsung memberi amaran kepada kita supaya lebih serius dalam menangani masalah persekitaran yang semakin berleluasa pada hari ini.

Jika kita terus angkuh meneruskan 'agenda merosakkan bumi', tidak mustahil krisis kekurangan bahan makanan akan melanda setiap negara di dunia dan bukannya di beberapa negara tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, Ku Halim berkata, kajian mendapati penduduk dunia semakin terancam ekoran perubahan iklim dan Bumi lama kelamaan akan menjadi tempat yang tidak selamat lagi untuk didiami.

Apatah lagi mengetahui bahawa gas-gas yang dibebaskan sebelum ini terkumpul di atmosfera sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Itu bermakna meskipun punca-punca pelepasan gas tercemar tidak lagi wujud, ia tidak akan menghentikan pemanasan global dengan segera.

"Secara amnya, perubahan ini berlaku di seluruh dunia kerana perubahan pembangunan. Pelepasan gas ke ozon telah banyak mengganggu cuaca serta pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan yang meningkatkan paras air laut," ulasnya.

Eksekutif Pendidikan Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia, Evelyn Lim Ai Lin berkata, kesedaran masyarakat di negara ini berhubung isu pemanasan global masih di tahap yang rendah.

"Saya sedar ramai di antara kita tidak mampu meluangkan masa sepenuhnya untuk bersama-sama menyertai kempen memelihara Bumi.

"Namun, itu bukannya alasan untuk anda tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan bagi membantu Bumi berada di dalam keadaan selamat," katanya.

Jelasnya, sudah banyak diperkatakan tentang apa yang boleh disumbangkan oleh setiap individu bagi memastikan persekitaran Bumi sentiasa sihat.

"Bagi saya, pendekatan terbaik untuk berhadapan dengan isu alam sekitar adalah memperkukuhkan sikap sivik yang perlu diasuh dan diamalkan oleh setiap individu. Ia boleh bermula di peringkat rumah dengan amalan yang cukup ringkas.

"Amalan terbaik dan mudah yang boleh membantu membaik pulih keadaan Bumi, antaranya penjimatan penggunaan elektrik dan air, menjaga kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah dan bahan bertoksin ke dalamnya serta tidak menarah bukit sesuka hati," katanya.

Apabila perkara asas sedemikian tidak dapat dilaksanakan oleh orang ramai dan pihak tertentu maka suatu hari nanti, penduduk akan bertambah gusar melihat persekitaran mereka yang semakin rosak.

Meskipun negara semakin giat mencipta pelbagai teknologi canggih tetapi tahukah anda ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang kian menghantui dunia hari ini.

"Bukan mudah untuk mengubah sikap manusia supaya memikirkan kepentingan dunia untuk diduduki pada masa kini dan pada masa akan datang untuk generasi seterusnya," ujarnya.

Sumber : Kosmo

Read More

Toyota Camry bekas exco pembangkang di Perak akan dilelong

Leave a Comment
Kerajaan Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di sini hari ini, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.

Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Kereta itu adalah yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 yang kesemuanya didaftarkan pada 9 Jan tahun ini.

- Bernama

Read More

100 Juta Saham Percuma

Leave a Comment
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan percuma 100 juta unit Amanah Saham Wawasan (ASW 2020) kepada penduduk miskin bandar dan miskin tegar di negara ini.

Peruntukan yang dibuat melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selari dengan langkah yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Peruntukan itu tidak termasuk penambahan unit ASW dan juga Amanah Saham Malaysia (ASM), kesemuanya berjumlah 5.33 bilion unit yang turut diumumkan hari ini.

Daripada jumlah itu, 3.33 bilion unit adalah ASM yang mula dijual esok dan dua bilion unit ASW 2020 boleh dilanggani mulai 27 April ini. Kedua-dua dana berkenaan ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit.

ASM dan ASW 2020 merupakan dana ekuiti pendapatan yang dibuka jualannya kepada rakyat Malaysia berumur enam bulan ke atas.

Pengumuman tersebut dibuat Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) kali ke-10 di Padang Plaza Angsana, dekat sini hari ini.

Najib berkata, tawaran jualan unit baru ASM dan ASW 2020, terhad kepada pelaburan maksimum 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun untuk memastikan penyertaan yang saksama.

Bagi penawaran ASW 2020 percuma, beliau berkata, lebih 20,000 orang daripada pelbagai kaum akan menerima faedah.

‘‘Saya berharap penawaran unit-unit baru (ASW 2020 dan ASM) akan memberi lebih peluang kepada seluruh masyarakat Malaysia bersama-sama membuat pelaburan untuk masa depan kewangan yang lebih terjamin,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri diiringi oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Timbalan Presiden Unit Amanah PNB, Idris Kechot memberitahu Utusan Malaysia, PNB akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk menetapkan model pengagihan ASW 2020 yang diberikan percuma itu.

‘‘Saya tidak boleh mengulas bagaimana pengagihan akan dibuat, kena tunggu rundingan bersama EPU,’’ kata beliau.

Jelasnya, mengambil kira pelaburan maksimum sebanyak 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun, setiap golongan miskin itu akan menerima unit amanah bernilai RM5,000 seorang.

ASM pertama kali dilancarkan pada April 2000 dengan dana permulaan dua bilion unit dan pertambahan unit baru akan menjadikan saiz keseluruhan dana tersebut berjumlah 10.95 bilion unit, ASW 2020 yang dilancarkan pada Ogos 1996 kini bersaiz 12.42 bilion.

Pelaksanaan had pelaburan maksimum bagi ASM berkuatkuasa sepanjang tempoh tawaran bermula 21 April sehingga 27 Julai 2009, tertakluk kepada unit-unit yang masih ada untuk dilanggan dan bagi unit-unit ASW 2020, had pelaburannya adalah sepanjang tempoh tujuh hari bekerja mulai 27 April ini.

PNB dalam kenyataannya di sini menyebut, sebanyak 50 peratus daripada unit baru ASM itu diperuntukkan untuk pelabur bumiputera, Cina (30 peratus), India (15 peratus) dan lain-lain kaum (lima peratus).

Pecahan langganan itu berdasarkan peratusan penduduk mengikut kaum.

Langganan ASW 2020 pula masih mengikut peruntukkan kuota 51 peratus kepada bumiputera dan 49 peratus bukan bumiputera.

Kaunter-kaunter Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Pos Malaysia akan mula menjual dana-dana tersebut mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang manakala agen-agen Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank beroperasi pada pukul 9.15 pagi hingga 4 petang.

Read More

Rajagobal Kemudi Skuad Kebangsaan Malaysia

Leave a Comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengendali skuad bawah 23, K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, semalam pelantikan yang disifatkan sebagai kenaikan pangkat setelah sekian lama membimbing skuad remaja.

Rajagobal akan diberikan kontrak dua tahun dan pilihan satu tahun untuk jawatan tersebut.

Ini bermakna, Rajagobal, yang menggantikan B. Sathianathan akan menjalankan tugas 'dua dalam satu' setelah beliau juga dinamakan sebagai jurulatih skuad bawah 23, baru-baru ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka teki mengenai calon lain yang dikaitkan dengan jawatan tersebut sebelum ini termasuk Mohd. Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda).

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pelantikan Rajagobal mendapat restu Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan jurulatih itu sendiri bersetuju menerima tanggungjawab tersebut.

Menurut Redzuan, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan rekod cemerlang Rajagobal yang pernah melatih skuad remaja kebangsaan, juga skuad Harimau Muda yang kini beraksi dalam Liga Perdana.

''Rajagobal merupakan pilihan terbaik selepas beberapa calon lain tidak dapat menerima tugasan ini kerana tidak mendapat restu majikan masing-masing,'' katanya pada sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hadir sama pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Gulzar Mohamad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Rajagobal akan dibantu oleh Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol Mohd. Faozi Mukhlas dan seorang jurulatih kecergasan.

Mengenai kedudukan Rajagobal sebagai pengendali Harimau Muda, Redzuan berkata, tugasan tersebut akan diambil alih oleh Ong Kim Swee.

Belum pun memulakan tugas secara rasmi, FAM telah menetapkan beberapa tugasan penting buat Rajagobal bersama skuad senior dan bawah 23.

Katanya, kemampuan Rajagobal membentuk skuad senior akan diuji pada perlawanan persahabatan dengan kelab gergasi bola sepak England, Manchester United pada 18 Julai ini, disusuli perlawanan persahabatan antarabangsa, Pestabola Merdeka (Ogos) dan kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan (November).

''Dalam masa yang sama Rajagobal juga akan mengendalikan skuad Bawah 23 untuk Kejohanan Antara Benua (Jun) dan Sukan SEA di Laos (Disember),'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Jambatan Bengkok Wajar Dibina

Leave a Comment
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, jambatan bengkok menghubungkan Malaysia-Singapura wajar diteruskan.

Kata beliau, jambatan yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura itu boleh dilaksanakan dengan semangat setia kawan antara kedua-dua negara.

“Sebagaimana kita maklum kedua-dua Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan empat mata di Pattaya, Thailand baru-baru ini dan isu perbincangan berkisar projek ikon ini dan saya yakin ia dibincangkan secara serius.

“Saya menaruh keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah memperhalusi dan memikirkan secara terperinci berhubung projek ini demi kebaikan bersama,” katanya di sini hari ini.

Mengenai isu jambatan itu yang dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau menjelaskan:

“Jika diamati kenyataan Perdana Menteri Singapura sebelum ini ada menyuarakan komitmennya berhubung projek yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyatakan kerajaan republik itu hanya bersedia turut sama terlibat dengan pembinaan jambatan itu selepas 2007.

“Ini membawa maksud ketika itu, Singapura telah siap bina Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru yang menjadi pelengkap kepada jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924 itu,” jelasnya.

Shahrir berkata, pembinaan projek ikon itu juga boleh dijadikan asas kepada lambang penyertaan Singapura dalam pembangunan di Iskandar Malaysia.

Sementara itu di Raub, Dr. Mahathir ketika mengulas gesaan UMNO Johor Bahru berkata, kerajaan sepatutnya tidak menghentikan langsung pembinaan jambatan itu.

“Bohong, kalau kata rakyat Johor tidak mahu jambatan ini dibina,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Peringatan Sultan Azlan

Leave a Comment
Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.

Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda.

Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.

“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.

Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.

Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.

Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain.

Sumber : Utusan Malaysia

Read More

Tiada Pemberian Tunai Dalam Pakej Rangsangan Kedua

Leave a Comment
Kerajaan tidak menyediakan pemberian wang tunai kepada rakyat di dalam pakej rangsangan ekonomi kedua, kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

"Pakej yang menyaksikan kerajaan menyediakan sejumlah wang yang besar bagi membiayai aktiviti ekonomi adalah semata-mata untuk memulihkan ekonomi negara.

"Antara penerima faedah utama (pakej rangsangan) adalah syarikat besar yang boleh membuka peluang pekerjaan dan perniagaan serta pada masa sama mengelakkan pemberhentian pekerja.

"Apabila mereka kembali pulih, syarikat ini boleh membayar cukai kepada kerajaan," katanya semasa perjumpaan pemimpin bersama rakyat di Pakan, dekat sini, bagi menjelaskan salah tanggapan penduduk luar bandar mengenai pakej rangsangan berkenaan.

Salang berkata, rakyat biasa turut mendapat manfaat menerusi pendapatan yang diperoleh daripada cukai kerana kerajaan boleh membiayai lebih banyak projek pembangunan atau menyediakan subsidi.

Beliau berkata, dengan keadaan kegawatan ekonomi sekarang, banyak kerajaan di dunia mengadakan pakej rangsangan ekonomi masing-masing.

Salang memberi jaminan kepada penduduk luar bandar bahawa kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kebajikan mereka semasa keadaan sukar ini, seperti memberikan rebat petrol kepada pemilik bot panjang. - Bernama

Read More

Hishammuddin wakil Muhyiddin ke UNESCO

Leave a Comment
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mewakili Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudyaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang bermula semalam hingga 24 April ini di Paris, Perancis.

Hishammuddin berkata beliau akan menggunakan kesempatan di penyertaan ini untuk memaklumkan kepada Ketua Pengarah dan semua ahli lembaga Pengarah UNESCO mengenai pelantikan kabinet baru negara.

Dalam kabinet baru itu, Muhyiddin menggantikan Hishammuddin selaku Menteri Pelajaran baru manakala Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Secara amalan Menteri Pelajaran akan mewakili negara ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO selepas kejayaan negara dipilih menduduki kerusi tersebut di Persidangan Agung UNESCO ke 34 bagi tempoh empat tahun bermula tahun lalu hingga 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya mesyuarat itu akan digunakan bagi membantu Muhyiddin mengambil alih tanggungjawab selaku Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO dan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah UNESCO.

Mesyuarat itu yang diadakan sebanyak dua kali setahun merupakan forum kedua tertinggi UNESCO selepas Persidangan Agung.

Hishammuddin berkata mesyuarat ini bertujuan menggubal dasar serta mengkaji keberkesanan program-program UNESCO dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan, sains sosial dan komunikasi.

“Saya yakin dengan kewibawaan dan komitmen Muhyiddin, beliau mampu memainkan peranan yang berkesan dalam mengemukakan pandangan negara serta meningkatkan visibiliti negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hishammuddin berkata sebagai wakil TPM, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pandangan negara dan perkara-perkara utama mendapat perhatian negara-negara anggota selain membincangkan isu-isu semasa.

— BERNAMA

Read More

Isu Tol Dikaji Semula

Leave a Comment
Kerajaan menyedari keperluan menyelesaikan isu tol secara tuntas termasuk tidak mengetepikan cadangan mengambil alih syarikat pengendali Lebuh Raya Utara Selatan, PLUS Expressways Berhad (PLUS), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu, kerajaan telah meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengemukakan penyelesaian komprehensif dengan semua pilihan akan dinilai termasuk mengkaji perjanjian kenaikan kadar tol yang dilakukan setiap tiga tahun.

Jelasnya, penyelesaian terhadap isu kadar tol bertujuan mengurangkan dan menangani masalah kadar tol yang merupakan suatu bebanan kepada rakyat dan kerajaan.

Berita Selanjutnya di Utusan

p/s : Baguslah macam ni kalau kerajaan nak mengkaji isu tol ni sebab boleh membantu rakyat hadapi keadaan ekonomi sekarang ni.

Read More

RazakSAT Dilancarkan ke Orbit 21 April

Leave a Comment
Satelit remote sensing kedua negara RazakSAT yang akan mengelilingi orbit garisan Khatulistiwa dijangka akan dilancarkan mengikut jadual pada 21 April ini jam 6 pagi waktu Malaysia, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof di sini.

Fadillah berkata RazakSAT yang dianggarkan bernilai RM150 juta untuk keseluruhan kos pembangunan akan dilancar menggunakan jet pelancar Falcon 1 dari tapak pelancaran Omelek Island, Kwajalein dengan kawalan misi di SpaceX HQ di Los Angeles.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan pelancaran RazakSAT dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada pagi 21 April ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Astronomi dan Sains Angkasa 2009 di Pusat Maklumat Islam di sini.

Beliau berkata hasil kejuruteraan dan sains tempatan RazakSAT mampu memberikan imej yang berguna untuk pembangunan guna tanah, pemantauan hutan dan alam sekitar, pemantauan bencana seperti banjir, dan pemetaan yang turut memberi faedah kepada negara lain yang berminat menggunakan perkhidmatan RazakSAT. — Bernama

Read More

Lenovo (IdeaCentre A600)

Leave a Comment

LENOVO, baru-baru ini menggabungkan empat teknologi canggih dalam satu pakej yang interaktif. Alat kawalan empat dalam satu, tapak komputer yang nipis serta mudah alih, skrin komputer sebesar 21.5 inci dan teknologi pengesanan wajah adalah antara laluan yang diceburi bagi meningkatkan tahap keselesaan pengguna.

IdeaCentre A600 adalah sebuah komputer futuristik yang menyatukan semua dalam satu, tidak kira di mana juga anda berada. Rekaan elegannya pasti menambat hati golongan muda. Mementingkan konsep mesra pengguna dalam aplikasinya, komputer ini memberikan perkhidmatan yang cukup kompetitif.

Dengan sokongan grafik HD penuh dan ciri hiburan digital, ia disertakan dengan set tangan VOIP, Vista Media Remote dan tetikus tanpa wayar. Di samping itu, IdeaCentre A600 mempunyai pelaras televisyen, sistem Rescue Lenovo dan papan kekunci wayarles.

"All-in-One adalah sebuah komputer yang menggabungkan komponen komputer tradisional seperti tower desktop, skrin dan alat bantuan lain seperti kamera, pembesar suara dan mikrofon dalam satu unit," ujar Pengurus Konsumer, Lenovo Malaysia, Eric Zhao dalam satu taklimat kepada media yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Zhao, siri terbaru itu mudah digunakan bukan sahaja di lokasi berlainan tetapi di atas sofa, meja dan juga katil. Menurutnya, anda boleh menggunakannya sebagai pemain cakera video digital (DVD), menikmati pengalaman tontonan filem yang dinamik dan persembahan multimedia serba boleh.

Dengan moto Have a computer for your room, not a room for your computer, IdeaCentre A600 memiliki sistem dan perisian pengkomputeran yang dijamin seperti Intel, Hi-Def Multimedia dan sebagainya. Rekaannya yang unik dan berstail tinggi, menambah ruang tontonan yang luas tanpa sempadan.

Skrin tanpa bingkai IdeaCentre A600 juga didatangkan dengan elemen ketahanan hentakan, antipantulan cahaya dan antikesan cap jari.

Jika dibandingkan dengan jenama lain bagi komputer riba semua da

ika dibandingkan dengan jenama lain bagi komputer riba semua dalam satu, IdeaCentre A600 daripada Lenovo adalah yang ternipis kerana cuma setebal 27 milimeter berbanding Apple iMac (31.3 milimeter), HP TouchsmartIQ504t (66 milimeter) atau Gateway ZX190 (94 milimeter).

"Binaan bahagian luaran komputer ini juga menarik kerana ia diperbuat daripada butiran mutiara yang bebas daripada habuk dan cantik dipandang mata," jelas Zhao yang menyasarkan produk ini kepada kumpulan pembeli yang berpendidikan, berjiwa muda dan gemarkan gaya hidup semasa sambil mementingkan kos perbelanjaan.

Semasa membuat demonstrasi, Zhao menunjukkan skrin IdeaCentre A600 yang boleh diubah kepada beberapa darjah ke depan dan belakang. Selain itu, kawalan sesentuh timbul atau terpapar apabila jari dibawa mendekati hujung skrin turut ada pada komputer riba ini.

Resolusi Top level HD1920 x 1080 dengan sokongan grafik DirectX 10 dan Shader Model 4 pula menjanjikan efek permainan yang berkuasa tinggi. Kesannya, imej yang disaksikan pada skrin memiliki kedalaman yang tampak, bekas cahaya pada waktu malam dan efek asap yang tajam.

Begitupun, semua ini tidak lengkap tanpa tambahan khidmat alat kawalan yang dinyatakan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Ia bertindak sebagai alat kawalan konsul semasa bermain permainan komputer. Tidak kira tetikus, pengemudi konsul atau butang papan kekunci, semuanya terangkum dalam alat ini.

"Gunakannya juga sebagai telefon bimbit untuk membuat dan menerima panggilan VOIP manakala dalam fungsian tetikus tanpa wayar, ia boleh mengawal kedua-dua papan kekunci dan tetikus laser dari satu kedudukan yang jauh iaitu sehingga 20 meter. Jarak ini mungkin berubah, bergantung kepada keadaan persekitaran," kata Zhao yang menambah transmisi alat kawalan itu tidak terganggu akibat dihalang barangan lain.

"Bagi peminat permainan komputer, anda pasti seronok mencuba empat permainan konsul yang disediakan termasuk permainan tenis, boling, ping pong dan pertempuran snowball," tambahnya.

Sementara itu, dengan teknologi Hi-Def Multimedia, anda boleh merekodkan program televisyen kegemaran sambil menyusun secara kreatif rakaman video. Dolby Home Theatre pula menawarkan sistem bunyi menyeluruh (Dolby Pro Logic IIx), mengurangkan kabel (Minispidf port), menambah efek pendengaran (Sound Space Expander), menukarkan audio daripada komputer atau isyarat konsul permainan komputer kepada Dolby Digital (Dolby Digital Live).

Jika anda sering lupa atau bosan dengan kata kekunci, rakamkan sahaja gambar anda untuk mendapatkan laluan visual setiap kali memasuki sistem pengkomputeran. Teknologi VeriFace ini dapat membezakan antara foto dan muka sebenar serta membolehkan pengguna induk memeriksa siapa yang cuba 'membuka' komputer tanpa kebenarannya.

Antara faedah lain yang disediakan pada komputer IdeaCentre A600 adalah penggera audio dan suara yang memaklumkan pengguna sekiranya duduk terlalu dekat dengan skrin, ciri perlindungan mata, satu kunci antivirus serta mengubah keterangan cahaya secara automatik mengikut kuasa pencahayaan persekitaran.

IdeaCentre A600 dijual pada harga RM3,999 dan berada di pasaran pada pertengahan bulan ini.

Sumber : Kosmo

Read More