American Idol Bermula Januari 2010

Leave a Comment
Rancangan realiti televisyen paling diminati, American Idol akan kembali menemui penonton pada bulan depan bermula dengan episod uji bakat selama empat jam di Boston dan Atlanta yang akan ditayangkan selama dua malam berturut-turut.

Menurut rangkaian Fox, episod uji bakat di Boston akan disiarkan pada 12 Januari ini, diikuti uji bakat di Atlanta sehari kemudian.

Fox berkata, uji bakat bagi rancangan realiti nyanyian itu akan turut diadakan di Chicago, Orlando, Dallas, Los Angeles dan Denver.

Musim terbaru American Idol kali ini bakal menampilkan satu perubahan besar apabila penyanyi Paula Abdul, yang sebelum ini bertindak sebagai panel juri akan digantikan dengan aktres dan pelawak Amerika, Ellen DeGeneres.

DeGeneres akan menyertai rancangan tersebut pada Februari ini selepas pemilihan peserta bagi pusingan awal tamat.

Para juri yang bakal mengikuti proses uji bakat termasuklah bekas anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham; Mary J. Blige, Kristin Chenoweth, Neil Patrick Harris, Joe Jonas, Avril Lavigne, Katy Perry dan Shania Twain.

Paula awal tahun ini telah mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan rancangan tersebut berikutan masalah kontrak, sementara seorang lagi juri, Simon Cowell membuat keputusan untuk berhenti daripada rancangan pencarian bakat paling popular televisyen itu apabila kontraknya tamat pada tahun 2010.

Fox berkata, seramai 12 peserta lelaki dan 12 peserta wanita yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir akan diumumkan pada 17 Februari ini dengan pengundian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dimulakan pada 23 Februari. - AP
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: